Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukumnya memakai ear buds semasa solat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan jawapan ini dengan firman Allah SWT:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
Maksudnya: “Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.”
(Surah al-Mukminun: 1-2)
Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat di atas berkata: ‘Ali bin Abi Talhah menceritakan daripada Ibn Abbas R.anhuma: ” خَاشِعُونَ” (orang-orang yang khusyuk) iaitu orang-orang yang takut lagi penuh ketenangan. Daripada Ali bin Abi Talib R.A: Yang dimaksudkan dengan khusyu’ di sini ialah kekhusyukan hati.
Hasan al-Basri pula berkata: “Kekhusyukan mereka itu berada di dalam hati mereka, sehingga kerananya mereka menundukkan pandangan serta merendahkan diri mereka.” Khusyuk dalam solat hanya dapat dilakukan oleh orang yang memfokuskan hati padanya sambil melupakan pelbagai aktiviti yang lain. Pada ketika itulah akan terwujud ketenangan dan kebahagiaan baginya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/110).
Diriwayatkan bahawa sebab turunnya ayat ini adalah ketika Rasulullah SAW mendirikan solat, Baginda sedang memandang ke atas. Maka turunlah ayat ini kepada Baginda SAW. Kemudian Baginda menundukkan pandangannya ke tempat sujud beliau. (Lihat al-Tafsir al-Munir fi al-‘Aqidah wa al-Syari’ah wa al-Manhaj, 9/329).
Menurut al-Baghawi, para ulama berselisih pendapat dalam mentafsirkan maksud khusyuk dalam firman Allah SWT “الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ” (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. Namun, mereka sepakat menyatakan bahawa khusyuk merupakan elemen penting kepada solat yang berkualiti.
Definisi Earbuds
Earbuds merupakan peranti yang boleh disambung kepada telefon tanpa wayar (Bluetooth). Kebiasaannya ia digunakan untuk mendengar muzik, podcast dan seumpamanya. Pada hari ini, pelbagai jenis peranti telah dicipta seperti earbuds, headphone, earphone dan headset.
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan harus hukumnya memakai ear buds semasa solat sekiranya tidak ada sambungan kepada mana-mana muzik, podcast dan seumpamanya. Hal ini kerana ia tidaklah mengganggu pergerakan semasa solat. Namun, kami lebih mengesyorkan agar dibuka/dicabut terlebih dahulu agar lebih fokus dan khusyuk ketika melaksanakan ibadat solat.
Semoga Allah menjadikan kita hamba yang sentiasa mentaati-Nya dengan sebaik mungkin dan kami akhiri dengan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada sahabatnya, Muaz bin Jabal R.A:
اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah aku untuk zikir kepada-Mu, syukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”
Riwayat Abu Daud (1522)
Wallahu a’lam.