#6010: Sa’ie: Ibadat Tersendiri atau Tidak

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah sa’ie ibadat mustaqillah, yakni terasing/tersendiri, atau tidak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِن شَعَائِرِ اللَّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya “Safa” dan “Marwah” itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah.”

Surah al-Baqarah (158)

Daripada Jabir bin Abdillah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ابْدَؤُوا بِمَا بَدَأَ اللَّهُ بِهِ

Maksudnya: “Mulakanlah kamu sa’ie dengan apa yang dimulakan Allah SWT.”

Riwayat Muslim (1217)

Pendapat yang rajih, saie adalah ibadat yang berhubungan dengan tawaf, yakni hendaklah dilakukan saie selepas tawaf qudum atau tawaf ziarah, mahupun tawaf ifadhah. Kita tidak disunatkan untuk melakukan saie semata-mata tanpa dikaitkan dengan ibadat umrah atau haji.Tidak sebagaimana tawaf yang boleh dilakukan kerana sifatnya adalah mustaqillah.

Imam Nawawi berkata:

Selain itu, makruh mengulanginya (sa’ie) selepas tawaf ifadhah (jika sudah dilakukan). Ini kerana sa’ie tidak termasuk dalam ibadat berasingan (mustaqillah) yang disyariatkan untuk mengulanginya dan membanyakkannya. Sa’ie adalah sama seperti wuquf di Arafah yang dikira sebagai rukun semata-mata, berbeza halnya dengan dengan tawaf. Hal ini kerana tawaf turut disyariatkan ketika bukan dalam ibadah haji dan umrah. Telah thabit dalam hadith sahih daripada Jabir R.A, beliau berkata:

لَمْ يَطُفْ النَّبِيُّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمْ ولا أَصْحَابُهُ رَضِي اللهُ عَنْهُمُ بَيْنَ الصَّفا وَالمْروَةِ إِلاَّ طَوَافًا وَاحِدًا طَوَافُهُ الأَوَّلَ يَعْنِي السَّعْيَ

Maksudnya: “Nabi SAW dan para sahabatnya tidak melakukan sa’ie antara Safa dan Marwah kecuali sekali iaitu sa’ienya yang pertama.”

Riwayat Muslim (1279)

Yang disuruh kepada kita memperbanyakkan tawaf berdasarkan nas Ilahi:

 وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ ‎

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”

(Surah al-Hajj: 29)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”