#6011: Membina Perkampungan di Mina

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah membina perkampungan di Mina?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mina merupakan sebuah lembah padang pasir yang terletak sekitar 5 kilometer dari kota Makkah, Arab Saudi. Mina paling dikenali sebagai tempat pelaksanaan ibadat melontar jamrah dalam ibadah haji. Selain itu, di Mina juga terdapat tanda-tanda yang menjadi tempat penginapan (mabit) bagi jutaan jemaah Haji.

Pada zaman dahulu, Mina merupakan hamparan padang luas dan belum dibangun sedemikian rupa seperti sekarang ini dengan keluasan sekitar 650 hektar.

Mina adalah tempat jemaah haji singgah pada 8 Zulhijjah sebelum ke Arafah, dan mereka yang berada di Mina pada 8 sampai hari ke-9 Zulhijjah kemudian mereka menuju Arafah pada pagi tersebut. Dan kembali dari wukuf di Arafah dan setelah mabit di Muzdalifah, mereka berada di sana pada hari Nahr (Korban), Tasyriq dan malamnya sampai selesai melontar jamrah.[1]

Dinamakan Mina kerana كَثْرَةُ مَا يُمْنَى فِيهَا أَيْ يُرَاقُ مِنَ الدّمَاءِ banyaknya darah korban yang ditumpahkan di dalamnya. Ini disebabkan mereka melakukan ibadat korban di Mina. Rasulullah SAW sendiri melakukan sembelihan unta sebanyak 100 ekor pada masa Hajjatul Wada’ dan disembelih dengan tangannya yang mulia sebanyak 63 ekor ketika berada di Mina.

Daripada Jabir bin Abdillah R.A, katanya:

 أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم حَجَّ ثَلاَثَ حِجَجٍ: حَجَّتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يُهَاجِرَ وَحَجَّةً بَعْدَ مَا هَاجَرَ. وَمَعَهَا عُمْرَةٌ فَسَاقَ ثَلاَثًا وَسِتِّينَ بَدَنَةً وَجَاءَ عَلِيٌّ مِنَ الْيَمَنِ بِبَقِيَّتِهَا فِيهَا جَمَلٌ لأَبِي جَهْلٍ فِي أَنْفِهِ بُرَةٌ مِنْ فِضَّةٍ فَنَحَرَهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَأَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مِنْ كُلِّ بَدَنَةٍ بِبَضْعَةٍ فَطُبِخَتْ وَشَرِبَ مِنْ مَرَقِهَا

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW telah melaksanakan tiga kali haji. Dua kali haji sebelum hijrah, dan sekali selepas hijrah yang bersamanya satu umrah (haji qiran). Dan Nabi SAW telah sembelih 63 ekor unta. Kemudian Ali yang datang dari negeri Yaman telah menyempurnakan baki sembelihan yang lain. Terdapat padanya, unta yang asalnya milik Abu Jahal, pada hidungnya terdapat tali hidung daripada perak, dan kemudian disembelihnya. Maka Rasulullah SAW menyuruh mengambil sebahagian daripada setiap unta, kemudian dimasak. Maka Rasulullah SAW minum dari kuahnya.”

Riwayat al-Tirmizi (815)

Ada riwayat menyebut bahawa setelah Jibril ingin meninggalkan Adam ia berkata “تَمَنَّى” (bercita-citalah, mengharaplah), ia menjawab “أَتَمَنَّى الْجَنَّةَ” yang memberi maksud, “Aku bercita-cita untuk masuk syurga.” Oleh sebab itu disebut Mina, kerana adanya harapan (umniyah) untuk masuk syurga.[2]

Menjawab persoalan di atas, sayugia Mina tidak dibina apa-apa sebagai tempat manasik dan masya’ir ketika pelaksanaan ibadat haji.

Al-‘Allamah Ibn Hajar al-Makki dalam Hasyiah al-Idhah berkata: “Mengikut pendapat al-Zarkasyi bahawa Mina tidak harus dibina perkampungan. Kalau diharuskan, maka ia menjadi tempat untuk orang ramai juga.” (Lihat buku kami al-Taudhih, hlm. 208)

Kami bersetuju dengan situasi semasa betapa ramainya jemaah haji dan bertambah dari tahun ke tahun menyebabkan kawasan Mina dirasakan amat padat dengan jemaah yang bermabit di dalamnya. Justeru, langkah membiarkan Mina sebagai tapak untuk beribadat dalam manasik haji terutamanya bermabit dan melontar adalah sewajarnya dipertahankan dan ini adalah memberi kebaikan kepada jemaah haji itu sendiri.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Nota Hujung:

[1] https://maktabahalbakri.com/1992-penamaan-mina-itu-mina/

[2] https://maktabahalbakri.com/1992-penamaan-mina-itu-mina/