Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, kenapa dinamakan Muzdalifah sebagai Muzdalifah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Muzdalifah (Arab: مزدلفة) adalah suatu kawasan dari kawasan yang terletak di antara Mina dan Arafah di Arab Saudi. Kawasan ini merupakan sebahagian dari Tanah Haram (Masyair Haram). Umat Islam yang menunaikan ibadah Haji pada bulan Zulhijjah adalah diminta untuk berada di Muzdalifah sekurang-kurangnya dari waktu terbit fajar hari Nahr, tanggal 10 Zulhijjah (menurut ulama Syafi`iah (Syafie) dan Hanabilah boleh dari setengah akhir malam pada hari Nahr) sampai waktu terbit matahari hari Nahr.[1]
Imam Nawawi berkata: Muzdalifah terletak di antara Mina dan Arafah. Muzdalifah juga dikenali sebagai jam’u (جَمْع) kerana manusia berkumpul di situ. Sebab dinamakan Muzdalifah kerana:
- Manusia mendatanginya pada permulaan malam atau tengah malam.
- Manusia meninggalkannya secara serentak.
- Di sana manusia telah berada berhampiran dengan Mina.
- Dikatakan Adam A.S dan Hawa telah ditemukan semula di Muzdalifah, serta kerana manusia berkumpul di situ.
Muzdalifah juga dikenali sebagai Masy’ar al-Haram. Firman Allah SWT:
فَإِذَا أَفَضْتُم مِّنْ عَرَفَاتٍ فَاذْكُرُوا اللَّهَ عِندَ الْمَشْعَرِ الْحَرَامِ ۖ وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَاكُمْ وَإِن كُنتُم مِّن قَبْلِهِ لَمِنَ الضَّالِّينَ
Maksudnya: “Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju Muzdalifah), maka sebutlah nama Allah (dengan doa, talbiyah dan tasbih) di tempat Masy’ar al-Haram (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Dia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.”
(Surah al-Baqarah: 198)
Ulama’ Tafsir berpendapat berkenaan al-Masy’ar al-Haram (الْمَشْعَرِ الْحَرَام):
- Imam al-Tabari berkata: Adapun “Masy’ar”, maka ia adalah antara dua bukit di Muzdalifah dari Ma’zam Arafah hingga ke Muhassar. (Lihat Tafsir al-Tabari, 3/515)
- Al-Baghawi berkata: Antara dua bukit di Muzdalifah, dari Ma’zam Arafah hingga ke Muhassar, bukannya Ma’zam dan Muhassar dari Masy’ar, dan dinamakan Masy’ar kerana itu adalah tanda-tanda haji dan asal larangan daripada Allah, maka dilarang melakukan apa-apa di dalamnya kecuali dengan izin. Muzdalifah dinamakan jam’ (جَمْعٌ) kerana di situ dijama’kan antara dua solat Isyak (Maghrib dan Isyak). (Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/229)
- Ibn Kathir berkata: Masy’ar adalah tanda-tanda yang jelas, dan dinamakan Muzdalifah sebagai al-Masy’ar al-Haram (الْمَشْعَرِ الْحَرَام) kerana ia berada di dalam tanah Haram. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/554)
- Syeikh al-Sa’di berkata: Perintah untuk berzikir kepada Allah di tempat al-Masy’ar al-Haram (الْمَشْعَرِ الْحَرَام), iaitu di Muzdalifah dan ini adalah sesuatu yang diketahui umum. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 92)
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”
Nota Hujung: