#6013: Nama Arafah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan sebab dinamakan Arafah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَإِذَا أَفَضْتُم مِّنْ عَرَفَاتٍ فَاذْكُرُوا اللَّهَ عِندَ الْمَشْعَرِ الْحَرَامِ

Maksudnya: “Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju Muzdalifah), maka sebutlah nama Allah (dengan doa, talbiyah dan tasbih) di tempat Masy’ar al-Haram (di Muzdalifah).”

(Surah al-Baqarah: 198)

Daripada ‘Abd al-Rahman bin Ya’mar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الحَجُّ عَرَفَةُ

Maksudnya: “Haji adalah Arafah.”

Riwayat al-Tirmizi (814)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin mengatakan, yang dimaksudkan dengan (الحَجُّ عَرَفَةُ) adalah wajib berwuquf di Arafah, jika tidak berwuquf di Arafah maka tiada baginya haji. Oleh yang demikian, para ulama’ berkata: “Sesiapa yang terlepas berwuquf di Arafah, maka dia telah terlepas haji.” (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, 24/23)

Menjawab persoalan di atas, Arafat juga dikenali sebagai Arafah. Arafat ialah nama untuk mufrad dengan lafaz jama’. Dalam al-Quran ia disebut sebagai Arafat:

فَإِذَا أَفَضْتُم مِّنْ عَرَفَاتٍ

Arafah dan Arafat merupakan nama bagi tempat ini, disebut dengan kata jama’ walaupun tempatnya satu kerana semua sudut tempat ini dinamakan Arafah.

Ada juga yang membezakan antara dua lafaz ini. Arafah dengan lafaz mufrad ialah hari Arafah 9 Zulhijjah manakala Arafat dengan lafaz jama’ pula ialah nama tempat, iaitu bumi Arafah.

Ia dinamakan sebagai Arafah kerana Adam A.S dan Hawa dipertemukan dan saling mengenali semula di bumi ini. Mengikut beberapa hikayat bahawa Adam yang diturunkan di India dan Hawa di Jeddah, buat pertama kalinya mereka bertemu di Arafah.

Begitu juga kerana di sanalah tempat Jibril mengajar Nabi Ibrahim AS tentang manasik (amalan) haji. Setelah selesai menerangkan amalan haji, Jibril bertanya: “’Arafta — yakni Sudahkah kamu tahu?”  Ibrahim A.S menjawab: “Araftu — yakni Ya, aku sudah tahu.”

Mungkin juga kerana di situlah tempat manusia mengakui segala dosa dan kesalahannya. (Lihat Makkah al-Mukarramah: Kelebihan dan Sejarah)

Sebahagian ulama’ berkata, Arafah (عَرَفَةُ) dengan maksud hari atau masa, iaitu 9 Zulhijjah yang menjadi masa untuk berwukuf. Sedangkan Arafat (عَرَفَات) dengan maksud tempat di mana di situlah jemaah haji berwukuf.

Pada hari seperti ini, yakni 9 Zulhijjah, kita digalakkan untuk memperbanyakkan amal. Antaranya puasa, zikrullah, doa dan munajat. Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”