#6015: Adab Haji: Jangan Melakukan Fasiq

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah dalam haji ada pantang larangnya? Dan apakah larangan dalam melaksanakan ibadat haji?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami jawab persoalan di atas dengan firman Allah SWT:

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ

Maksudnya: “(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji.”

(Surah al-Baqarah: 197)

Ibn Kathir berkata: “ (فلا رفث) di sini bermaksud sesiapa yang berihram dengan haji atau umrah, maka hendaklah dia meninggalkan rafath (رفث), iaitu bersetubuh. Begitu juga diharamkan kepada perkara yang membawa kepada persetubuhan, berciuman, dan seumpamanya serta membicarakan hal itu di hadapan wanita.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/543)

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 مَنْ حَجَّ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak melakukan rafath dan fasiq, nescaya keluar dosanya seperti baru dilahirkan oleh ibunya.”

Riwayat al-Bukhari (1521) dan Muslim (1530)

Hal ini kerana, dengan menghadap Allah SWT dalam keadaan demikian dan berjuang dalam manasik-manasik tersebut dengan cara yang disyariatkan, maka dapat menghapus bekas-bekas dosa dari dalam jiwa dan memasukkan jiwa ke kehidupan yang baru. Dan dalam kehidupan yang baru itu, setiap jiwa akan mendapat pahala dari kebajikan yang diusahakannya dan mendapat seksa dari kejahatan yang dikerjakannya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 1/432; Tafsir al-Manar, 2/183)

Syeikh Muhammad Zakaria menyebut dalam bukunya Hikmah dan Fadhilat Haji, Umrah dan Ziarah: “Apabila seseorang bayi keluar ke dunia, dia menjalani hidup ini tanpa sebarang noda dan bebas daripada segala bentuk dosa. Sekarang, apabila haji itu dilakukan dengan penuh keikhlasan kepada Allah SWT, maka para jemaah haji itu akan kembali kepada keadaan tanpa dosa itu.”

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”