#6016: Doa Ketika Singgah ke Satu-Satu Tempat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat doa ketika singgah menetap pada satu-satu tempat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Benar sekali sepertimana dalam riwayat Muslim. Daripada Khaulah binti Hakim R.Anha katanya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَن نَزَلَ مَنْزِلاً ثُمَّ قال: أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ لَم يَضُرَّهُ شَيءٌ حَتَّى يَرْتَحِل مِن مَنْزِلِهِ ذلك

Maksudnya: “Sesiapa yang singgah pada satu tempat, kemudian membaca doa: ‘أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ’ (“Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala kejahatan yang diciptakan”), nescaya tidak memberi mudharat oleh sesuatu sehingga dia berangkat dari tempat tersebut.”

Riwayat Muslim (2708)

Begitu juga, kita diajar berdasarkan sunnah, apabila malam telah menjadi gelap, hendaklah dia berdoa seperti yang diriwayatkan dalam Sunan Abu Dawud dan lainnya daripada Ibn Umar R.Anhuma katanya:

كَانَ رَسُول الله صَلَّى الله ُعَلَيْهِ وَسَلَّمْ إِذَا سَافَرَ فَأَقْبَلَ اللَّيْلُ قَالَ: يَا أَرْضُ رَبِّي وَرَبُّكِ الله، أَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شَرِّكِ وَشَرِّ مَا فِيْكِ وَشَرِّ مَا خُلِقَ فِيْكِ وَشَرِّ مَا يَدِبُّ عَلَيْكِ. أَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ أَسدٍ وَأَسْوَدَ، وَالْحَيَّةُ وَاْلعَقْرَبُ وَمِنْ سَاكِنِ الْبلَدِ وَمِنْ وَالِدٍ وَمَا وَلَدَ.

Maksudnya: “Biasanya Rasulullah SAW, apabila Baginda bermusafir dan malam tiba, Baginda akan berdoa dengan mengucapkan: Wahai Bumi, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah. Aku berlindung dengan Allah daripada kejahatanmu dan kejahatan yang terdapat padamu dan kejahatan apa yang diciptakan padamu dan kejahatan yang berjalan atasmu. Aku mohon berlindung dengan Allah daripada singa dan yang warna hitam (orang jahat), ular, kala jengking dan yang menetap di negeri dan daripada bapanya dan apa yang dilahirkan.”

Riwayat Abu Dawud (2596).

Dalam doa ini, Nabi SAW telah mengajar kita agar memohon perlindungan Allah SWT daripada kejahatan yang ada pada waktu malam. Menurut pentahqiq kitab Zikr al-Athar al-Waridah, Nabi SAW mengkhususkan perkataan singa kerana ia merupakan haiwan buas yang paling ditakuti pada waktu itu. Walau bagaimanapun, perkataan ini juga merujuk kepada segala haiwan buas yang berbahaya seperti harimau, anjing liar dan lain-lain.

Kami akhiri dengan doa:

نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”