Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah solat sunat di atas haiwan tunggangan mestri meletakkan dahi di atas haiwan tunggangan atau tidak?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ
Maksudnya: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.
(Surah al-Baqarah: 238)
Ibn Kathir berkata: Ayat ini merupakan arahan untuk meninggalkan bercakap semasa solat kerana ia bertentangan dengan tuntutan berdiam diri dalam solat. Ketika seseorang diperintahkan untuk khusyu’ dalam solat, maksudnya adalah arahan untuk berdiam diri, dan bercakap akan bertentangan dengan tuntutan khusyu’ ini. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/496)
Dalam menjawab persoalan di atas, hadith Ibn ‘Abbas R.Anhuma, sabda Nabi SAW:
أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الْجَبْهَةِ وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ، وَالْيَدَيْنِ، وَالرُّكْبَتَيْنِ، وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ
Maksudnya: “Aku diperintahkan sujud dengan tujuh tulang anggota, dengan dahi (sambil Baginda menunjukkan tangannya ke bahagian atas hidung), dengan dua tangan, dua lutut dan hujung kedua-dua belah kaki.”
Riwayat al-Bukhari (812) dan Muslim (490)
Tetapi dalam isu ini, ulama’ berpendapat, jika solat sunat dilakukan di atas kenderaan seperti binatang tunggangan, maka tidak perlu dia sujud seperti sujud biasa.
Hal ini berdasarkan pendapat Imam al-Nawawi: Apabila seseorang itu mendirikan solat sunat di atas tunggangan yang terdapat pelana atau seumpamanya tidaklah wajib baginya meletakkan dahi atas belakang binatang dan juga atas pelana ketika hendak rukuk dan sujud. Bahkan sudah cukup untuk dia membongkokkan sedikit ketika rukuk dan sujud ke arah jalannya. Hendaklah sujudnya itu lebih rendah daripada rukuknya. Wajib membezakan antara keduanya jika dia mampu melakukannya dan tidaklah wajib untuk sampai ke tahap yang berlebihan untuk membezakan dalam membongkokkannya itu.
Disyaratkan bagi orang yang solat secara menunggang, dan pakaiannya yang bersentuhan dengan pelana dan selainnya dalam keadaan suci. Sekiranya binatang tunggangannya itu kencing atau terpijak najis atau terdapat pada pelananya itu najis yang ditutupnya dan dia solat, maka ia tidak menjadi masalah baginya.
Kami akhiri dengan doa:
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doaرَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”
Surah Ibrahim (40-41)