#6020: Tempat Asing untuk Solat dan Kiblat 

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya pernah pergi ke sebuah negara yang bukan Islam dan apabila saya ingin solat, saya tiada petunjuk ke arah kiblat. Bagaimana cara yang sebenarnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haram (tempat letaknya Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka, dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.”

(Surah al-Baqarah: 144)

Ibn al-Jauzi berkata: Sebab turunnya ayat ini ialah, Nabi SAW amat suka menghadap ke Kaabah. Inilah pendapat al-Bara, Ibn `Abbas, Ibn Musaiyib, Abu al-`Aliyah dan Qatadah. Mereka juga khilaf kepada dua pendapat berkenaan sebab pilihan Nabi SAW menghadap ke Kaabah dari Bait al-Maqdis. (Lihat Zad al-Masir,1/141)

Berdasarkan ayat di atas, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menafsirkan bahawa “Menghadap kiblat dengan tepat adalah wajib bagi mereka yang berada di sekitar Masjid al-Haram. Manakala bagi mereka yang jauh dari Makkah, memadailah menghadap ke arah Makkah sebagai menetapi syarat hukum.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلَاةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ

Maksudnya: Jika kamu hendak solat maka sempurnakanlah wudhu, kemudian menghadaplah ke kiblat kemudian bertakbirlah”

Riwayat al-Bukhari (6667) dan Muslim (397)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Imam al-Nawawi:

Apabila seseorang itu tidak mampu menentukan arah kiblat dengan yakin, kemudian jika dia mendapati seseorang yang mengkhabarkan kepadanya berdasarkan pengetahuannya, maka hendaklah dia berpegang kepada berita yang disampaikan kepadanya itu. Dia tidaklah perlu berijtihad untuk mencari kiblat, dengan syarat orang yang mengkhabarkannya itu adalah seorang yang adil sama ada lelaki, wanita atau hamba.

Dia tidak perlu berpegang kepada perkhabaran mengenai arah kiblat itu yang disampaikan oleh orang kafir, orang fasiq dan kanak-kanak sekalipun dia sudah menjadi remaja. Sama sahaja keadaan dalam hal kewajipan beramal dengan berita yang dikhabarkan daripada mereka yang ahli ijtihad dan selainnya.

Sekiranya seseorang itu tidak mendapati sesiapa yang boleh mengkhabarkan kepadanya, jika dia mampu untuk berijtihad hendaklah dia berijtihad dan mengadap arah yang disangkakan kiblat. Tidak sah ijtihadnya itu kecuali dengan ada bukti yang menunjukkan ia adalah kiblat, dan buktinya itu amat banyak dan yang paling kuat ialah berdasarkan kutub dan yang paling lemah dengan angin. Tidak boleh bagi orang yang mampu berijtihad ini untuk bertaqlid. Jika dia bertaqlid juga, hendaklah dia menqadha’kan solatnya itu sekalipun apa yang ditaqlidkan itu berbetulan dengan arah kiblat kerana dia berdosa atas kecuaiannya. Jika waktu yang ada itu singkat, maka dia boleh mendirikan solat ke mana-mana arah sekalipun dan dia mesti mengulangi semula solatnya itu.

Jika tersembunyi segala bukti-bukti arah kiblat bagi ahli ijtihad disebabkan langit berawan atau gelap atau terdapat pertentangan antara bukti-bukti arah kiblat tersebut, maka ketika itu mengikut yang paling sahih, dia tidak perlu bertaqlid, sebaliknya dia mendirikan solat mengikut arah kehendaknya dan selepas itu hendaklah meng-ulangi solatnya itu semula.

Adapun kepada orang yang tidak mampu berijtihad kerana lemahnya dia daripada mempelajari bukti dan tanda arah kiblat seperti orang buta, dan orang yang celik yang tidak mengetahui tanda arah, maka ketika itu, dia wajib bertaqlid kepada yang mukallaf, muslim, adil, arif dengan segala tanda arah kiblat sama ada lelaki, wanita, merdeka atau hamba. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 60-61)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

Surah Ibrahim (40-41)