#6021: Air Tiada: Adakah Boleh Tayammum dan Bagaimana Syarat-Syaratnya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Minta pencerahan, jika air tiada, adakah boleh tayammum? Dan apa syaratnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tayammum dari segi bahasa bererti tujuan. Sementara pada syara’ pula adalah menyapu-kan debu tanah yang suci ke muka dan dua tangan dengan niat dan cara yang tertentu.

Pensyariatan tayammum adalah berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Adapun dalil al-Quran ialah firman Allah SWT:

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib, dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), dalam pelayaran, salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayammum dengan tanah, debu yang bersih, iaitu: Sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah debu itu.”

(Surah al-Maidah: 6)

Menjawab persoalan di atas, apabila ketiadaan air, dia hendaklah berusaha mencarinya terlebih dahulu. Jika tidak didapatinya, maka pada ketika itu dia hendaklah bertayammum.

Sekiranya didapati air, tetapi dia memerlukannya kerana dahaga atau rakannya dahaga, atau haiwan tunggangannya itu dahaga, atau haiwan peliharaannya dahaga, dia hendaklah bertayammum dan tidak perlu untuk dia berwuduk sama ada dahaganya itu pada hari tersebut atau selepasnya sebelum dia menjumpai air yang lain.

Ulama dalam mazhab kami berkata: Haram bagi seseorang itu berwuduk dalam keadaan seperti ini kerana memelihara jiwa adalah lebih utama, dan air untuk diminum tidak boleh diganti, sedangkan air wuduk ada gantinya. Ini adalah masalah yang amat patut dijaga dan disebarkan kepada khalayak ramai. Hal ini kerana ramai jemaah haji dan selain mereka tersilap dalam hal ini. Seseorang itu sanggup berwuduk sedangkan dia amat tahu keperluan orang ramai kepada minuman. Wuduk dalam keadaan sebegini adalah haram tanpa ragu-ragu lagi. Begitu juga dengan hukum bagi mandi junub, haid dan lain-lain sama keadaannya sebagaimana hukum berwuduk seperti yang kami nyatakannya.

Sesiapa yang menyangka bahawa berwuduk dalam keadaan seperti ini mempunyai kelebihan, sebenarnya dia adalah seorang yang jahil dan amat jelas kesilapannya. Sesungguhnya kelebihan wuduk ini jika sekiranya tiada seorang pun yang memerlukan air tersebut untuk minum, sama ada orang yang memerlukan air untuk diminum tersebut adalah rakannya yang bercampur dengannya, atau penunggang atau salah seorang ahli rombongan tersebut.

Jika tuannya mempunyai air, tetapi enggan memberikan air sedangkan dia tidak memerlukan air kerana dahaga, sedangkan di sana terdapat orang yang amat memerlukannya kerana dahaga, maka yang dahaga itu berhak mengambilnya secara kekerasan dan dia berhak memeranginya. Jika salah seorang daripada keduanya dibunuh; jika yang terbunuh itu adalah pemilik air, maka darahnya adalah halal, dan tiada qisas, diyat dan kaffarah dikenakan. Sebaliknya, sekiranya yang memerlukan air itu yang terbunuh, dia diberi jaminan dengan qisas atau diyat atau kaffarah. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 62-64)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ.

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami daripada kalangan orang yang bertaubat, dan jadikan kami daripada kalangan orang yang bersuci.”