#6023: Syarat Haji: Sihat Tubuh Badan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimanakah status kesihatan yang sebenar, yang mesti ada pada jemaah haji sehingga melayakkan menjadi kewajiban?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.”

 (Surah Ali ‘Imran: 97)

Syeikh al-Maraghi ketika menafsirkan ayat di atas, menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang Muslim yang mukallaf yang berkemampuan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/853)

Kemampuan mempunyai dua jenis, iaitu kemampuan secara langsung, dan tidak secara langsung.

Pertama: Kemampuan secara langsung bermaksud seseorang itu mampu melakukan sendiri ibadah haji dan umrah disebabkan masih berupaya, iaitu badan yang sihat, mampu menempuh perjalanan dan melakukan kerja-kerja ibadah tersebut tanpa mengalami kemudaratan yang berat dan kesulitan yang tidak mampu ditanggungnya.

Kedua: Kemampuan secara tidak langsung bermaksud seseorang mukallaf yang memiliki harta yang mencukupi untuk mengupah orang lain mengerjakan haji bagi pihaknya sama ada semasa dia masih hidup atau selepas dia meninggal dunia. Ini kerana dia sendiri tidak berupaya melakukannya disebabkan tua, berpenyakit dan seumpamanya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/124)

Manakala maksud berkemampuan dengan sendirinya ialah:

  1. Mampu mengadakan bekalan dan perbelanjaan untuk diri dan saraan nafkah mereka yang di dalam tanggungan dan yang ditinggalkan.
  2. Mampu mendapatkan kenderaan pergi dan balik.
  3. Aman perjalanan bagi diri dan harta daripada musuh dan wabak penyakit.
  4. Sihat tubuh badan.
  5. Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah.

(Lihat al-Idhah fi Manasik al-Haj, 1/96; al-Fiqh al-Manhaji, 2/123)

Dr. Usamah bin Ibrahim Filali dalam kertas kerjanya – Istita’ah fi al-Haj wa al-Mutaghayyirat al-Muasirah berkata: Ulama’ yang thiqah telah menekuni isu ini dengan ijtihad mereka, ia merangkumi mukallaf yang sihat tubuh badan:

Jika kesihatannya lemah dengan sebab tua atau sakit, yang tiada peluang untuk sembuh, hendaklah dia mewakilkan kepada orang lain untuk melakukan haji untuknya.

Dalam Mazhab Hanafi, haji tidak wajib bagi mereka yang sakit, tidak berupaya, lumpuh, mati sebelah tubuh, orang buta, walaupun ada pemandu. Begitu juga orang tua yang tidak boleh duduk tetap di atas kenderaan, dan juga orang yang terkurung dan ditahan oleh penguasa yang zalim daripada melakukan haji. Hal ini kerana Allah SWT meletakkan kemampuan sebagai syarat untuk diwajibkan haji, yang bermaksud kemampuan memikul segala tanggungjawab (التكليف), iaitu mempunyai segala punca dan kemudahan yang baik dan sempurna, yang boleh menyampaikan dirinya ke sana. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 72)

Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-36 Musim Haji 1441H/2019 H menyatakan: Istita’ah sama ada yang berkaitan dengan jasmani (badaniyyah) atau kesihatan (sihhiyyah) merupakan salah satu syarat wajib haji. Tidak wajib haji dan umrah (dengan diri sendiri) bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik (al-zamanah) seperti yang disenaraikan dalam buku Garis Panduan Pemeriksaan Kesihatan Jemaah Haji edisi terkini. (Lihat Kompilasi Resolusi Muzakarah Haji, hlm. 3)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”