Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah seseorang itu yang meninggal dunia sedangkan dia kaya dan mampu diambil hartanya untuk melaksanakan ibadat haji sebelum dibahagi pusaka?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.”
(Surah Ali ‘Imran: 97)
Imam al-Qurtubi menjelaskan: “Orang yang mampu dari segi harta maka wajib baginya haji berdasarkan hadith al-Khaithamah. Adapun kemampuan bagi dirinya bermaksud mempunyai kekuatan yang mana tidak menyebabkannya berada dalam kesusahan ketika di dalam perjalanan. Maka sesiapa yang memiliki bekalan dan kekuatan maka wajib baginya kefardhuan Haji. Adapun bagi yang tidak memiliki kedua-duanya, maka tidak wajib Haji baginya.” (Lihat al-Jami’ Li al-Ahkam al-Quran, 4/95)
Menjawab persoalan di atas, Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menyebut: “Sesiapa yang telah wajib menunaikan haji kerana telah memenuhi syarat yang perlu, kemudian dia mati sebelum menunaikannya, maka ibadahnya wajib ditunaikan dengan menggunakan harta peninggalannya sekadar yang cukup bagi melaksanakan haji dan umrahnya, walaupun tanpa wasiat sama ada hajinya tidak dilakukan tanpa sebarang keuzuran atau sebaliknya, disebabkan oleh sakit yang mungkin sembuh, atau kerana ditahan atau ditawan, atau sebagainya.”
Harta pusaka tidak boleh dibahagi sebelum selesai hak-hak antara Allah dan makhluk. Antara hak-hak Allah SWT ialah zakat, puasa, haji, fidyah, qada’, kaffarah dan nazar yang wajib.
Manakala antara hak-hak sesama manusia termasuklah pinjaman, hutang, gadaian yang mesti diselesaikan dan diberikan hak kepada mereka.
Seterusnya harta tersebut hendaklah dilihat, sama ada si mati pernah meninggalkan wasiat. Jika ada hendaklah menunaikan dengan tidak melebihi sepertiga kepada yang berhak kecuali kepada waris. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abi Umamah al-Bahili bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ, فلا وصيَّةَ لوارثٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris”
Riwayat Abu Daud (2870), Ibn Majah (2210), dan Ahmad (286)
Imam al-Nawawi menyatakan: Pengurusan harta peninggalan si mati dimulakan dengan membiayai kelengkapan dan pengurusan jenazahnya, kemudian diselesaikan hutang-hutangnya kemudian dipenuhi wasiatnya (hanya satu pertiga daripadanya) kemudian baharulah diberikan baki harta tersebut secara faraid kepada waris-waris yang berhak”. (Lihat Minhaj al-Talibin, 180)
Telah dinyatakan juga dalam Mausua’h Fiqh al-Islami bahawa: “Hak pertama yang perlu diberi perhatian dalam urusan harta pusaka adalah hak yang berkaitan dengan harta yang ditinggalkan, seperti cagaran, hutang, dan zakat yang wajib. Kemudian, kelengkapan untuk persiapan jenazahnya. Termasuk juga dalam hal ini adalah keperluan tanggungan si mati ketika dia masih hidup seperti hambanya dan isterinya yang tidak nusyuz. Yang demikian sekiranya dia seorang yang mampu yang memiliki harta peninggalan. Kemudian hendaklah diselesaikan segala hutang-hutang yang menjadi tanggungannya samada hutang tersebut berkaitan hutang kepada Allah SWT atau kepada manusia.
Selain itu juga, hendaklah melaksanakan segala wasiat-wasiat yang ditinggalkan seperti pembebasan hamba yang diwasiatkan selepas kematiannya atau sumbangan yang tidak sempat dipenuhi ketika dia sakit serta melaksanakan wasiatnya dengan kadar 1/3 daripada peninggalannya setelah melangsaikan hutangnya dan kemudian barulah dibahagikan harta peninggalan tersebut kepada ahli waris. (Lihat Mausua’h Fiqh al-Islami, 4/295)
Secara ringkasnya, pengurusan harta pusaka perlu mengikut turutan sebagaimana yang ditetapkan oleh syara’:
- Pengurusan jenazah
- Hutang
- Wasiat
- Faraid
Maka, digunakan daripada harta si mati bagi pengurusannya yang wajib sahaja. Kemudian, dibayar hutangnya jika ada. Hutang di sini ada dua, hutang kepada manusia dan hutang kepada Allah. Hutang kepada Allah seperti zakat, puasa, haji, fidyah, qada’, kaffarah dan nazar yang wajib. Dalam mazhab al-Syafie, hutang kepada Allah lebih utama untuk dilunaskan. Sabda Rasulullah SAW:
فَدَيْنُ اللهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Maksudnya: Maka hutang kepada Allah lebih berhak untuk ditunaikan.
Riwayat al-Bukhari (1953) dan Muslim (1148)
Kemudian, diuruskan harta pusaka selebihnya mengikut wasiat. Wasiat hanya boleh menggunakan 1/3 daripada harta pusaka, maka hanya 1/3 daripada harta si mati yang boleh disalurkan kepada masjid dan lain-lain. Hal ini sebagaimana pertanyaan Saad bin Abi Waqqas RA, beliau bertanya kepada Rasulullah SAW:
يا رَسولَ اللَّهِ، أُوصِي بمالِي كُلِّهِ؟ قالَ: لا، قُلتُ: فالشَّطْرُ، قالَ: لا، قُلتُ: الثُّلُثُ، قالَ: فالثُّلُثُ، والثُّلُثُ كَثِيرٌ، إنَّكَ أنْ تَدَعَ ورَثَتَكَ أغْنِياءَ خَيْرٌ مِن أنْ تَدَعَهُمْ عالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ في أيْدِيهِمْ
Maksudnya: “Ya Rasulullah, Bolehkah aku mewasiatkan kesemua hartaku?” Rasulullah SAW menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan saparuh daripadanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan satu pertiga daripadanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Maka (boleh berwasiat) satu pertiga (daripada harta), sedangkan satu pertiga itu pun banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan warismu dalam keadaan kaya atau mencukupi, ia lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan tidak cukup, dengan menadah-nadah tangan meminta daripada tangan-tangan (bantuan) manusia.”
Riwayat al-Bukhari (2742)
Marilah sama-sama kita berdoa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”