Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan kepada kami berkenaan orang yang berkemampuan menunaikan ibadat haji, tetapi tidak menunaikan haji hingga meninggal dunia?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ فَرَضَ اللهُ عَلَيْكُمُ الْحَجَّ فَحُجُّوْا
Maksudnya: “Telah diwajibkan atas kamu semua ibadah haji, maka tunaikanlah (ibadah haji tersebut).”
Riwayat Muslim (639)
Imam al-Nawawi berkata: Pendapat di sisi kita (mazhab al-Syafi’i), sesiapa yang melewatkan haji kemudian dia meninggal dunia, jelaslah bahawa dia mati dalam keadaan berdosa mengikut pendapat yang paling sahih disebabkan oleh kecuaiannya.
Antara alasan mengapa kematiannya itu dianggap sebagai dalam keadaan berdosa: Bahawa sekiranya seseorang itu menjadi saksi dalam sesuatu penyaksian, dan dia tidak melakukan penyaksian itu sehingga dia mati, maka hukum penyaksiannya itu tidak dikira, seperti mana nyata kefasiqannya.
Dia dihukumkan berdosa kerana melewatkan pada tahun terakhirnya daripada tahun yang mungkin dia dapat melaksanakan haji, mengikut pendapat yang paling sahih. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 77-78)
Imam Ibn Hajar mengemukakan banyak hadith bagi menerangkan kesalahan orang yang enggan pergi haji setelah dia berkemampuan. Sebahagian daripada hadith tersebut, katanya: Telah diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi, juga daripada Abdullah bin Sa’ith, daripada sahabat Abu Umamah RA, daripada Nabi SAW, sabdanya:
مَنْ لَمْ تَحْبِسْهُ حَاجَةٌ ظاَهِرَةٌ أَوْ مَرَضٌ حَابِسٌ أَوْ سُلْطاَنٌ جَائِرٌ وَلَمْ يَحُجَّ فَلْيَمُتْ إِنْ شَاءَ يَهُودِيًّا وَإِنْ شَاءَ نَصْرَانِيًّا
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak dihalangi oleh hajat yang nyata atau penyakit yang menahan atau penguasa yang kejam lalu dia meninggal dunia, sedangkan dia belum menunaikan ibadah haji, maka biarlah dia mati jika dia mahu mati dalam keadaan Yahudi atau mati dalam keadaan Nasrani.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3979), al-Darimi (1785) dan Abu Ya’la dalam al-Mu’jam (231). Dinyatakan sebagai dha’if dalam Dha’if al-Targhib (754)
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”