#6027: Makna Ni’mah dalam Talbiah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa yang dimaksudkan dengan kalimah ‘Ni’mah’ (وَالنِّعْمَةَ) ketika kita mengucapkan talbiah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, katanya, Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِن مُحْرِمٍ يُضَحِىِّ لِلَّهِ يَوْمَهُ يُلَبِّي تَغِيبُ الشَّمْسُ إِلاَّ غَابَتْ ذُنُوبُهُ، فَعَادَ كَمَا وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya: “Tiada yang berihram berkorban kerana Allah pada hari tersebut, bertalbiah hingga tenggelamnya matahari kecuali tenggelam bersama dosa-dosanya dan dia pulang seperti baru dilahirkan oleh ibunya.”

Riwayat Imam Ahmad (15008)  dan Ibn Majah (2925)

Rasulullah SAW ditanya tentang haji yang paling afdhal, lantas Baginda bersabda:

اَلْعَجُّ وَالْثَجُّ

Maksudnya:  “Mengangkat suara dengan bertalbiah dan berkorban.”

Riwayat al-Tirmizi (827) dan Ibn Majah (2924)

Ibn Abbas R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هِيَ زِيْنَةُ الْحَجِّ

Maksudnya: “Ia adalah perhiasan haji.”

Riwayat al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (2815)

Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى مُوسَى – عَلَيْهِ السَّلاَمُ – هَابِطًا مِنَ الثَّنِيَّةِ وَلَهُ جُؤَارٌ إِلَى اللَّهِ بِالتَّلْبِيَةِ ‏

Maksudnya: “Seolah-olah aku melihat kepada Musa AS turun daripada Thaniyyah dan beliau berada di sisi Allah dengan melaungkan talbiah.”

Riwayat Muslim (166)

Berkenaan lafaz talbiyah, ia adalah seperti berikut:

لّبَّيْكَ اللَّهُمَّ لّبَّيْكَ ، لّبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لّبَّيْكَ ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ، لَكَ وَالمْلُكَ لَا شَرِيكَ لَكَ

Maksudnya: “Ya Allah, aku menyahut seruan-Mu. Ya Allah aku menyahut seruan-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu, aku menyahut seruan-Mu. Sesungguhnya puji-pujian dan nikmat adalah bagi-Mu, dan begitulah juga pemerintahan, tiada sekutu bagi-Mu.”

Riwayat al-Bukhari (5915) dan Muslim (1184)

Menjawab persoalan di atas, kalimah ‘وَالنِّعْمَةَ’  – Yang masyhur padanya dengan nasab (النِّعْمَةَ). Al-Qadhi Iyadh berkata: “Harus merafa’kan (النِّعْمَةُ) sebagai mubtada’, dan khabarnya adalah dihazafkan.“

Ibn al-Anbari berkata: “Jika kamu mahu jadikannya ‘خبر’ kepada ‘ان’ yang mahzuf, taqdirnya ialah: ‘إِنَّ الْحَمْدُ لله وَالنِّعْمَةَ مستقرة لك’.

Perkataan ‘النِّعْمَةَ’ memberi banyak makna, antaranya ialah:

  • Al-Jurjani berkata: “Nikmat ialah apa yang diqasadkan untuk ihsan dan manfaat, bukan untuk habuan dan sesuatu tujuan.”
  • Nikmat ialah dapatan sesuatu.
  • Nikmat ialah kurniaan.
  • Nikmat pada syara’nya ialah apa yang dapat berlazatan dengannya daripada perkara halal.
  • Nikmat ialah segala manfaat sama ada di dunia atau di akhirat.
  • Antara nikmat yang besar ialah iman, Islam, taufik, hidayah, akal, kesihatan, kekayaan, kelapangan dan lain-lain.

Golongan yang mendapat nikmat adalah semua makhluk Allah SWT, tetapi nikmat kurniaan hidayah dan taufik terkhusus kepada para nabi, ahli benar, para syahid dan orang soleh.

Sayyid Qutb berkata: Ia berdiri di hadapan penyempurnaan nikmat Allah ke atas para Mukminin dengan menyempurnakan agama ini. Itulah nikmat yang amat sempurna, amat besar dan agung dan itulah nikmat yang melambangkan kelahiran manusia mengikut hakikat yang sebenar, di samping melambangkan kewujudan dan kesempurnaannya.

Seseorang “insan” itu tidak mempunyai kewujudannya sebelum ia mengenal Allah seperti yang diperkenalkan oleh agama ini dan sebelum ia mengenal dirinya sendiri dan peranannya di alam al-wujud, yang menjadi tempat hidupnya, seperti yang diperkenalkan oleh agama ini dan sebelum ia mengenal kemuliaan martabatnya di sisi Allah, seperti yang diketahuinya dari agamanya yang diredhai Allah.

Seorang insan itu tidak mempunyai kewujudannya sebelum ia membebaskan dirinya daripada Ubudiyyah kepada sesama manusia dengan mengabdikan diri kepada Allah yang Maha Esa. Sebelum ia mencapai taraf persamaan yang hakiki, iaitu syariat yang dipatuhi olehnya ialah syariat daripada ciptaan Allah dan dikuatkuasakan dengan kuasa Allah, bukan syariat daripada ciptaan manusia dan bukan dikuatkuasakan dengan kuasa manusia.

Hakikat nikmat Allah dalam agama ini tidak dapat dirasa dan dinilai dengan sewajarnya oleh mereka yang tidak mengenal hakikat jahiliah dan tidak merasa akibatnya yang buruk. Jahiliah di seluruh zaman dan tempat ialah sistem hidup yang tidak diaturkan oleh Allah. Oleh itu, sesiapa yang telah mengenal jahiliah dan merasa akibatnya yang buruk, dalam kefahaman, kepercayaan dan akibat yang buruk dalam realiti kehidupan, maka dialah yang dapat merasa, melihat, mengenal, memahami dan menghayati hakikat nikmat Allah di dalam agama ini. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 99-100)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”