#6028: Doa Selepas Talbiyah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah doa yang terbaik selepas talbiyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara kelebihan talbiyah adalah sepertimana riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, katanya, Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِن مُحْرِمٍ يُضَحِىِّ لِلَّهِ يَوْمَهُ يُلَبِّي تَغِيبُ الشَّمْسُ إِلاَّ غَابَتْ ذُنُوبُهُ، فَعَادَ كَمَا وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya: “Tiada yang berihram berkorban kerana Allah pada hari tersebut, bertalbiah hingga tenggelamnya matahari kecuali tenggelam bersama dosa-dosanya dan dia pulang seperti baru dilahirkan oleh ibunya.”

Riwayat Imam Ahmad (15008)  dan Ibn Majah (2925)

Berkenaan lafaz talbiyah pula, ia adalah seperti berikut:

لّبَّيْكَ اللَّهُمَّ لّبَّيْكَ ، لّبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لّبَّيْكَ ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ، لَكَ وَالمْلُكَ لَا شَرِيكَ لَكَ

Maksudnya: “Ya Allah, aku menyahut seruan-Mu. Ya Allah aku menyahut seruan-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu, aku menyahut seruan-Mu. Sesungguhnya puji-pujian dan nikmat adalah bagi-Mu, dan begitulah juga pemerintahan, tiada sekutu bagi-Mu.”

Riwayat al-Bukhari (5915) dan Muslim (1184)

Menjawab persoalan di atas,  sebahagian ahli ilmu menggalakkan berselawat kepada Nabi SAW selepas talbiah, kemudian, memohon kepada Allah untuk mendapatkan tempat di dalam syurga, berlindung daripada api neraka, sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Syafi’i, al-Daraqutni dan al-Baihaqi, seperti riwayat Khuzaimah bin Thabit R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا فَرَغَ مِنْ تَلْبِيَتِهِ فِي حَجٍّ أَوْ عُمْرَةٍ، سَأَلَ اللهَ رِضْوَانَهُ وَالْجَنَّةُ، وَاسْتَعَاذَ بِرَحْمَتِهِ مِنَ النَّارِ، ثُمَّ يَدْعُو بِمَا أَحَبَّ.

Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW selepas selesai daripada talbiah sama ada haji atau umrah, memohon kepada Allah keredhaan-Nya, mendapatkan tempat di dalam syurga, berlindung daripada api neraka, kemudian berdoa mengikut apa yang dia suka.”

 Riwayat al-Syafi’i dalam Musnadnya (hlm. 123)

Justeru, Rasulullah SAW antara yang dilakukan selepas talbiyah berdoa untuk mendapat keredhaan Allah SWT, syurga, dan berlindung daripada neraka. Selain daripada itu, Nabi SAW berdoa dengan doa yang dipilihnya.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”