#6029: Duduk Berhampiran Minyak Wangi Semasa Ihram

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh atau tidak seseorang yang dalam ihram duduk berhampiran kedai minyak wangi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَلَا تَلْبَسُوا شَيْئًا مَسَّهُ زَعْفَرَانٌ وَلَا الْوَرْسُ

Maksudnya: “Dan janganlah kalian memakai (ketika ihram) pakaian yang disentuh za‘faran dan al-wars (herba yang biasa dijadikan wangian)”

Riwayat al-Bukhari (1838) dan Muslim (1177)

Syeikh Jalaluddin al-Mahalli menyatakan, bahawa termasuk di dalam larangan ihram mengenakan wangi-wangian pada pakaian dan badan seperti dengan minyak wangi atau kapur barus atau atau wars (الوَرْسُ) atau seumpamanya. Begitu juga, Syeikh Ahmad al-Barlisi ‘Umairah menukilkan daripada Imam al-Rafi’ie, bahawa yang dimaksudkan dengan wangi-wangian adalah penggunaannya bertujuan untuk wangian semata-mata. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 2/168)

Justeru, difahami bahawa antara yang diharamkan dalam ihram adalah memakai minyak wangi.

Bagi menjawab persoalan ini, kami nyatakan sepertimana yang disebut dalam kitab al-Majmu’:

Kami telah menyatakan bahawa mewangikan dalam ihram adalah haram. Inilah yang disepakati secara ijam’. Mazhab kami tidak membezakan antara bukhur (seperti mengasap dengan kemeyan untuk menghasilkan bau wangi) atau yang dijadikan pada badannya atau pakaiannya. Al-Abdari berkata: Inilah pendapat kebanyakan ulama’. Sementara itu, Abu Hanifah berpendapat harus bagi orang yang dalam ihram menggunakan bukhur dengan kayu wangian, tetapi tidak harus dikenakan wangian tersebut pada badannya. Adapun pada sedikit pakaiannya, maka hukumnya diharuskan.

Dinyatakan di sini beberapa hukum berkaitan dengan wangian.

  • Mazhab kami (al-Syafi’i) berpendapat bahawa harus bagi orang yang dalam ihram duduk berhampiran dengan peniaga minyak wangi tanpa dikenakan sebarang fidyah. Inilah pendapat Ibn al-Munzir. Sedangkan ‘Ata’ berpendapat wajib dikenakan fidyah. Manakala Imam Malik pula memakruhkannya.
  • Jika terhasil wangian dengan sebab masakan atau minuman, sedangkan tiada kekal rasa, bau dan warna, maka tidak dikenakan fidyah kepada sesiapa yang memakannya, tetapi jika baunya masih wujud, maka wajib fidyah dengan sebab makan mengikut Mazhab Syafi’i. Sedangkan Abu Hanifah berpendapat tidak dikenakan
  • Memakai inai tidak dianggap sebagai barang bauan atau wangian di sisi kami dan tidak dikenakan fidyah. Ini juga pendapat Malik, Ahmad dan Daud. Sedangkan mengikut pendapat Abu Hanifah ia dianggap sebagai wangian yang mewajibkan (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 117)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”