#603: Kenyataan untuk Mengajarkan Anak-anak Memanah, Berenang dan Berkuda

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah kenyataan bahawa ajarlah anak-anak kamu memanah, berenang dan berkuda, termasuk dalam hadith Nabi SAW? Terima Kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, mengikut pendapat ulama ia adalah kenyataan daripada Saidina Umar bin al-Khattab R.A iaitu:

عَلَّمُوا أَوْلَادَكُم الرِّمَايَةَ وَالسِّبَاحَةَ وَرُكُوبَ الخَيْلِ

Maksudnya:Ajarkanlah kepada anak-anak kamu, memanah, berenang dan menunggang kuda.”

Perkara ini telah dinyatakan oleh beberapa tokoh seperti Ibn Qutaibah dalam ‘Uyun al-Akhbar, Ibn ‘Abd Rabbih dalam al-‘Iqd al-Farid, Ibn al-Jauzi dalam ManaqibUmar. (Lihat ‘Uyun al-Akhbar, 2/168; al-‘Iqd al-Farid, 6/271; Manaqib ‘Umar, hlm. 28)

Sekalipun kenyataan di atas bukanlah hadith Nabi SAW, namun di sana terdapat isyarat daripada hadith lain yang menunjukkan bahawa Baginda SAW memerintahkan kepada kita agar mempelajari perkara-perkara ini. Di antaranya sebuah riwayat daripada Salamah bin al-Akwa‘ R.A, beliau berkata:

مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى نَفَرٍ مِنْ أَسْلَمَ يَنْتَضِلُونَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ارْمُوا بَنِي إِسْمَاعِيلَ، فَإِنَّ أَبَاكُمْ كَانَ رَامِيًا ارْمُوا، وَأَنَا مَعَ بَنِي فُلاَنٍ. قَالَ: فَأَمْسَكَ أَحَدُ الفَرِيقَيْنِ بِأَيْدِيهِمْ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا لَكُمْ لاَ تَرْمُونَ؟ قَالُوا: كَيْفَ نَرْمِي وَأَنْتَ مَعَهُمْ؟ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ارْمُوا وَأَنَا مَعَكُمْ كُلِّكُمْ

Maksudnya:Nabi SAW melalui sekelompok orang daripada Bani Aslam yang sedang berlatih memanah. Maka Nabi SAW bersabda: ‘Panahlah wahai Bani Isma‘il, sesungguhnya moyang kamu — yakni Nabi Ibrahim A.S — ialah orang yang pandai memanah. Panahlah dan aku bersama bani fulan.’ Salamah berkata: Salah satu daripada kedua kelompok itu menahan tangan-tangan mereka — yakni tidak memanah. Rasulullah SAW bertanya: ‘Mengapa kamu tidak memanah?’ Mereka menjawab: ‘Bagaimana kami memanah sedangkan engkau bersama (berada di pihak) mereka?’ Nabi SAW bersabda: ‘Panahlah dan aku bersama kamu semua’.

Riwayat al-Bukhari (2899)

Begitu juga riwayat daripada ‘Uqbah bin Amir, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika berada di atas mimbar:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ، أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ، أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ، أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ

Maksudnya: “Dan sedialah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah).

Riwayat Muslim (1917)

Justeru, jelaslah kepada kita bahawa terdapat saranan daripada Nabi SAW untuk kita semua belajar memanah. Adapun mengenai berenang dan menunggang kuda pula, terdapat riwayat daripada Jabir bin ‘Umair bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ شَيْءٍ لَيْسَ مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ فَهُوَ لَهْوٌ وَسَهْوٌ، إِلَّا أَرْبَعَ خِصَالٍ: مَشْيُ الرَّجُلِ بَيْنَ الْغَرَضَيْنِ، وَتَأْدِيبُهُ فَرَسَهُ، وَمُلَاعَبَتُهُ أَهْلَهُ، وَتَعَلُّمُ السِّبَاحَةِ

Maksudnya:Setiap perkara yang tidak disebut nama Allah SWT adalah sia-sia dan lalai melainkan empat perkara, iaitu perjalanan seorang lelaki di antara dua matlamat, seorang yang mengajar kudanya, bermesra dengan isteri dan juga belajar berenang.

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (8147); al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawaid menyebutkan bahawa perawi-perawinya adalah perawi dalam kitab al-Sahih kecuali ‘Abd al-Wahab bin Bukht dan beliau seorang yang thiqah.

Begitu juga riwayat daripada ‘Urwah bin al-Ja’d daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

الخَيْلُ مَعْقُودٌ فِي نَوَاصِيهَا الخَيْرُ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ

Maksudnya:Kuda itu terikat pada ubun-ubunnya kebaikan sehingga Hari Akhirat.

Riwayat al-Bukhari (2850)

Hadith-hadith ini menunjukkan akan kelebihan yang terdapat pada seekor kuda yang digunakan untuk berjihad di jalan Allah SWT. Bahkan belajar menunggang kuda dan belajar berenang tidak termasuk di dalam perkara yang sia-sia dan juga melalaikan.

Tidak syak lagi bahawa pemuda merupakan tiang kepada ummah dan peneguh ketinggian, kemodenan dan kemajuan satu-satu ummah. Jika seseorang remaja sejak daripada kanak-kanak lagi diberi perhatian dan kecaknaan dengan bersunguh-sungguh untuk membina kekuatan, maka akan kuatlah dia sekali gus menguatkan juga umat yang datang dalam generasinya kelak. Akan tetapi apabila dia diabaikan daripada diberikan tarbiah atau dibiarkan, maka dia akan menjadi lesu dan lemah.

Selain itu, riadhah, senaman, kesukanan dan pergerakan termasuk dalam sekuat-kuat sebab yang boleh memelihara dan mengukuhkan kesihatan seseorang. Apabila ia digunakan dengan kadar yang munasabah dan selayaknya, maka perkara tersebut akan melahirkan pemuda yang tumbesarannya baik lagi sihat. Di samping itu, ia akan menghasilkan pemuda yang kuat dan mampu menghadapi sebarang bentuk cabaran dan boleh berkerja keras pada masa akan datang.

Bukan itu sahaja, bahkan untuk menyemarakkan waktu yang lapang itu dengan perkara yang bermanfaat adalah amat-amat digalakkan. Oleh kerana itu, Saidina Umar bin al-Khattab R.A telah menyeru kepada kita semua untuk mengambil sebab ini dalam mentarbiah anak-anak kita berkenaan dengan tadrib dan latihan, dalam menggunakan senjata-senjata seperti memanah dan lain-lain, untuk memelihara hak-hak dan juga memelihara kekuatan ummah serta menggerunkan pihak musuh. (Lihat Laisa min Qaul al-Nabi, hlm. 52-53)

Apatah lagi ia juga dilihat selari dengan pepatah Arab yang menyebutkan:

الْعَقْلُ السَّلِيمُ فِي الجِسْمِ السَّلِيمِ

Maksudnya:Akal yang sihat terdapat pada tubuh badan yang sihat.”

Semoga Allah SWT memberi kekuatan dan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 28 Februari 2022 bersamaan 26 Rejab 1443H