#6032: Bersetubuh dengan Lelaki Melalui Dubur dalam Ihram

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah batal haji atau umrah jika dilakukan sebelum tahallul awwal?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ (5) إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ (6) فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ (7)

Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga kehormatannya, – Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: – Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-Mu’minun: 5-7)

Imam al-Syafi‘i ketika mengulas ayat di atas menyebutkan: “Tidak halal menggunakan zakar melainkan kepada isteri atau kepada hamba perempuan yang dimiliki. Begitu juga tidak halal perbuatan beronani.” (Lihat Al-Umm, 5/102)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti berkata, sifat orang yang beriman yang mendapat kejayaan mewarisi Syurga Firdaus dan kekal di dalamnya adalah mereka yang memelihara kemaluan daripada liwat, zina dan selainnya. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 5/759-760)

Syeikh Muhammad Abu Zahrah Rahimahullah berkata: “Isyarat kepada mereka yang mencari selain daripada halal dan isyarat kepada sifat padanya adalah keterangan bahawa ini merupakan illah hukum dan hukumnya adalah mereka yang melampau, zalim dan melebihi had sempadan halal kepada yang haram. Justeru, dia dianggap zalim kerana melakukan yang haram, zalim terhadap keturunannya, zalim terhadap masyarakat dan lain-lain. (Lihat Zahratu al-Tafasir, 10/5048)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Firman-Nya, ‘فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ’, yakni maka sesiapa yang mencari dan menginginkan selain pasangan yang sah dan hamba yang dimiliki, seperti melakukan istimna’ (onani/masturbasi), mereka adalah orang-orang yang melampaui sesuatu yang halal menuju kepada yang tidak halal. Mereka adalah orang-orang yang terlalu berlebihan dalam melakukan perlanggaran dan melampaui batasan-batasan syara’. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 9/287)

Menjawab persoalan di atas, Imam al-Nawawi berkata: Atau bersetubuh di dubur lelaki, maka rosaklah hajinya, jika ia dilakukan sebelum tahallul pertama sama ada ia sebelum wuquf di Arafah dan selepasnya. Jika perbuatan itu dilakukan antara dua tahallul, hukumnya tidaklah rosak haji. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 125)

Suka kami tegaskan, liwat merupakan satu perbuatan luar tabi’i yang diharamkan. Benarlah firman Allah SWT:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: ‘Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?’.”

إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ

Maksudnya: “‘Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas’.”

(Surah al-A‘raf: 80-81)

Dalam ayat ini, Allah SWT menyifatkan liwat itu sebagai perbuatan keji yang melampaui batas. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 4/50)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”