Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah doa dan zikir ketika memulakan tawaf?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِي أَيَّامٍ مَّعْدُودَاتٍ ۚ فَمَن تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ وَمَن تَأَخَّرَ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ لِمَنِ اتَّقَىٰ ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ
Maksudnya: “Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertaqwa dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya.”
(Surah al-Baqarah: 203)
Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:
لِّيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۖ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
Maksudnya: “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”
(Surah al-Hajj: 28)
Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat 203 Surah al-Baqarah di atas menukilkan pendapat Ibn Abbas R.Anhuma yang menyatakan, ayyam ma‘dudat (أَيَّام مَّعْدُودَات) ialah hari-hari tasyriq (iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah), manakala ayyam ma‘lumat (أَيَّام مَّعْلُومَاتٍ) pula ialah hari-hari sepuluh (yakni 10 hari terawal Zulhijjah). (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/417-418)
Dalam menjawab persoalan di atas, Imam al-Nawawi menyebut: Disunatkan ketika menyentuh (istilam) Hajarul Aswad pada kali pertama dan juga ketika hendak memulakan tawaf untuk mengucapkan:
بِسْمِ اللهِ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللَّهُمَّ إِيْمَانًا بِكَ، وَتَصْدِيْقاً بِكِتَابِكَ، وَوَفَاءً بِعَهْدِكَ، وَاتِّبَاعاً لِسُنَّةِ نَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم
Maksudnya: “Dengan nama Allah yang Maha Besar, Ya Allah! Aku beriman kepada-Mu, mempercayai kitab-Mu, menunaikan segala janji terhadap-Mu dan mengikut segala sunnah Nabi-Mu, Muhammad SAW.”
Doa seperti ini disebut ketika berdekatan dengan Hajarul Aswad pada setiap kali pusingan tawaf. Imam al-Syafi’i Rahimahullah ta’ala berkata: Seseorang mengucapkan (ketika hendak memulakan tawaf):
اللهُ أَكْبَرُ وَلاَ إلهَ إِلاَّ اللهُ
Maksudnya: “Allah Maha Besar, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan hanya Allah.”
Beliau berkata lagi: Jika dia berzikir dan berselawat ke atas Nabi SAW, alangkah baiknya. Beliau juga berkata: Aku suka jika dia berdoa ketika melakukan al-Ramal (berlari-lari anak):
اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ حَجًّا مَبْرُوْراً، وَذَنْباً مَغْفُوْراً، وَسَعْياً مَشْكُوْراً
Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah baginya haji yang diterima, dosa yang diampuni dan sa’ie yang disyukuri.”
Beliau berkata lagi: Dia hendaklah berdoa pada empat pusingan yang terakhir dengan mengucapkan:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ وَارْحَمْ، وَاعْفُ عَمَّا تَعْلَمُ، وَأَنْتَ الأَعَزُّ الأَكْرَمُ، اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Ya Allah, ampuni dan rahmatilah kami, dan maafkanlah kami daripada sebarang kesalahan yang Engkau ketahui, kerana Engkaulah Tuhan yang Maha Perkasa dan Mulia. Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan akhirat serta peliharalah kami daripada azab api neraka.”
Selain daripada itu, telah thabit dalam sahihain (Sahih al-Bukhari dan Muslim), daripada Anas R.A, beliau berkata: Rasulullah SAW adalah orang yang paling banyak berdoa (dengan doa):
اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan akhirat serta peliharalah kami daripada azab api neraka.”
Imam al-Syafi’i Rahimahullah ta’ala menyebutkan: “Inilah doa yang aku suka untuk diucapkan dalam tawaf.” Tambahnya lagi: “Aku suka agar doa ini diucapkan dalam kesemuanya (tawaf tersebut).” Manakala ashab kami berkata: Di antara Rukun Yamani dan Hajarul Aswad adalah lebih ditekankan untuk dibaca doa, dan dia berdoa di antara pusingan tawafnya dengan apa-apa doa yang disukainya daripada urusan agama dan dunia untuk dirinya sendiri, juga kepada sesiapa yang disukainya dan kaum Muslimin secara umumnya. Sekiranya seseorang berdoa dan sekumpulan yang lain pula mengaminkannya, maka ia juga adalah baik. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 180-183)
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”