#6044: Membeli Rumah yang Ada Tempat Penyembahan Agama Lain

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana jika saya membeli rumah yang ada tempat penyembahan agama hindu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّالْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Allah tiada melarang kamu untuk berlaku baik dan berbuat adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak mengusirmu dari negerimu.”

(Surah Al-Mumtahanah: 8)

Ibn Kathir telah menafsirkan ayat di atas dengan berkata, bahawa Allah SWT tidak menghalang umat Islam berbuat baik terhadap orang bukan Islam selagi mana mereka tidak menentang dalam hal berkaitan agama, tidak menindas kaum wanita dan orang-orang yang lemah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/90)

Asas hubungan antara Muslim dan non-Muslim ialah toleransi, ihsan dan perdamaian. Perbezaan agama tidak menghalang kita daripada berbuat baik sesama kaum kerabat atas dasar kekeluargaan atau kepada sesiapa sahaja atas dasar kemanusiaan.

Kami juga telah menjawab soalan berkaitan isu sebegini seperti berikut:

#1455: Amalan Memasuki Rumah Baharu

https://maktabahalbakri.com/1455-amalan-memasuki-rumah-baharu/

#9 Terlibat dalam Pembinaan Rumah Ibadat Agama Lain

https://maktabahalbakri.com/terlibat-dalam-pembinaan-rumah-ibadat-agama-lain/

#450 Bantu Bersihkan Rumah Ibadat Bukan Islam

https://maktabahalbakri.com/450-bantu-bersihkan-rumah-ibadat-bukan-islam/

#2257: Bantuan Kecemasan First Aid di Rumah Ibadat Agama Lain

https://maktabahalbakri.com/2257-bantuan-kecemasan-first-aid-di-rumah-ibadat-agama-lain/

#2817: Kadang-kadang Terpaksa Memasang Karpet di Rumah Ibadat Bukan Islam

https://maktabahalbakri.com/2817-kadang-kadang-terpaksa-memasang-karpet-di-rumah-ibadat-bukan-islam/

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak menjadi masalah sekiranya rumah tersebut selesa dan selamat. Isu rumah ibadat itu apabila anda sudah membelinya, maka tidak menjadi masalah untuk merobohkannya dan dibersihkan kerana kawasan tersebut sudah menjadi milik anda.

Alhamdulillah, mutakhir ini, kita juga dapati ada di kalangan Muslim di luar negara dan juga NGO Muslim membeli rumah-rumah ibadat agama yang lain, yang akhirnya diubah dan ditukar menjadi masjid atau pusat Islam bagi kegunaan umat Islam. Hal ini bukan satu perkara yang pelik. Samalah juga yang berlaku kepada Aya Sophea yang asalnya gereja kemudian bertukar menjadi masjid apabila dibeli oleh Sultan Muhammad al-Fateh dan kemudian ditukar pada zaman Mustafa Kamal Attaturk kepada muzium dan alhamdulillah mutakhir ini, telah diputuskan oleh Mahkamah Turki dan dikembalikan kepada kehendak wakaf asal menjadi masjid.

Begitu juga, disyorkan apabila anda mula menetap di rumah tersebut, anda membuat majlis doa selamat agar rumah itu diberkati Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

Wallahu a’lam