#6045: Pindah Wang Simpanan ke Tabung Haji Perlu Dizakat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ingin bertanya berkenaan zakat simpanan, saya berasal dari perak. Pada hujung tahun 2023, pada awal bulan 12 saya telah pindahkan wang simpanan saya dari akaun bank ke dalam tabung haji. Yang mana jumlah simpanan RM26k. Adakah saya perlu bayar zakat simpanan ataupun tidak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, wang simpanan wajib dizakat sekiranya memenuhi syarat-syaratnya iaitu cukup nisab dan haul.

Nisab ialah had minimum harta yang dimiliki. Nisab zakat wang simpanan adalah berdasarkan nilai semasa bagi nisab emas 20 mithqal (85 gram) atau perak (595 gram).[1] Dalam erti kata lain, nisab zakat wang simpanan sama bersamaan nilai 85 gram emas zakat dikenakan sebanyak 2.5% ke atas jumlah baki terakhir dalam tempoh setahun simpanan apabila cukup nisab dan haulnya serta menyamai atau melebihi nisab.[2]

Dalilnya adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A, daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW bersabda:

إِذَا كَانَتْ لَكَ مِائَتَا دِرْهَمٍ وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ فَفِيهَا خَمْسَةُ دَرَاهِمَ ، وَلَيْسَ عَلَيْكَ شَيْءٌ يَعْنِي فِي الذَّهَبِ حَتَّى يَكُونَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا ، فَإِذَا كَانَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ فَفِيهَا نِصْفُ دِينَارٍ ، فَمَا زَادَ فَبِحِسَابِ ذَلِكَ

Maksudnya: “Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham, dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun.

Riwayat Abu Daud (1572)

Begitu juga zakat tidak wajib dikeluarkan kecuali setelah genap setahun memilikinya. Ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ فِى مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ

Maksudnya: “Tidak wajib zakat harta hingga berlalu masa setahun.

Riwayat Abu Daud (1573)

Dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (21/29-30), para fuqaha bersepakat bahawa nisab emas yang menjadikannya wajib dikeluarkan zakat adalah 20 dinar, jika genap 20 dinar maka zakatnya adalah 2.5 %.

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami katakan bahawa wang simpanan wajib dikeluarkan zakat sekiranya cukup haul dan nisabnya. Namun, jika institusi yang menyimpan wang tersebut sudah pun mengeluarkan zakat bagi harta simpanan tersebut bagi tahun itu, maka tidak perlu lagi keluarkan zakat daripadanya bagi tahun itu.

Dalam erti kata lain, zakat tidak diambil dua kali daripada harta yang sama dalam satu haul. Ini adalah berdasarkan kepada riwayat bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا ثِنَى فِي الصَّدَقَةِ

Maksudnya: “Tidak ada gandaan dalam zakat.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (11044)

Ibn al-Athir menyatakan, maknanya adalah zakat tidak diambil dua kali (dari harta yang sama) dalam setahun (yang sama). Lafaz “الثِّنَى” bermaksud sesuatu itu dilakukan dua kali. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 1/224).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.zakatselangor.com.my/info-zakat/zakat-kewajipan-berzakat/zakat-wang-simpanan/. Diakses pada 25 April 2024.

[2] Lihat https://www.zakat.com.my/info-zakat/jenis-jenis-zakat/zakat-wang-simpanan/. Diakses pada 25 April 2024.