#6046: Meletakkan al-Quran Di Atas Rehal Setelah Selesai Membaca

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, ada yang mengatakan bahawa al- Quran selepas dibaca hendaklah diletakkan atau disimpan ditempat yang lebih tinggi dari pusat atau atas kemaluan kita. Jangan tinggalkan diatas rehal.  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّهُ لَقُرْآنٌ كَرِيمٌ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan).”

(Surah al-Waqi’ah: 77)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: “Adapun bagi yang telah disumpahkan ke atasnya ianya  mengithbatkan Al-Quran bahawa ia adalah kebenaran yang tiada keraguan padanya dan ia adalah kalam yang mulia iaitu banyak kebaikan, padat dengan ilmu. Setiap kebaikan dan ilmu ia hanya diperolehi daripada Kitabullah dan diambil dariNya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm 836)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْقُرْآنَ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengangkat suatu kaum dengan al-Quran ini dan merendahkan kaum yang lain dengannya.”

Riwayat Muslim (817), Ibn Majah (218) dan Ibn Hibban (772)

Maknanya, sesiapa yang beriman dengan al-Quran, memuliakan kedudukannya dan beramal dengannya, maka Allah SWT akan mengangkat kedudukannya di dunia dan akhirat serta mengurniakannya ke‘izzahan dan kemuliaan, manakala sesiapa yang tidak beriman dengan al-Quran atau tidak memuliakan kedudukannya, maka Allah SWT akan merendahkan dan menghinakannya di dunia dan akhirat, sekalipun dia ada kedudukan atau kemuliaan pada kaca mata manusia. (Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/67-68; Tatriz Riyadh al-Salihin, hlm. 581)

Tiada perbezaan di kalangan ulama tentang kewajipan memuliakan al-Quran. Hal ini telah disebut oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ : Ulama bersepakat hukum menjaga mushaf dan memuliakannya adalah wajib. (Lihat al-Majmu’, 2/85)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa isu ini berkaitan dengan adab seseorang terhadap al-Quran. Salah satu adab yang harus dijaga ketika membaca al-Quran atau setelah membacanya adalah meletakkannya di tempat yang selayaknya baginya. Ini kerana mushaf al-Quran harus dihormati dan tidak boleh diletakkan di tempat yang tidak sesuai untuk sesuatu yang dimuliakan. Menempatkan al-Quran di tempat yang tinggi dan bersih adalah salah satu cara untuk menunjukkan penghormatan kita kepada kitab suci ini. Dengan menjaga adab-adab ini, kita menunjukkan rasa hormat dan penghargaan yang tinggi terhadap al-Quran dan mengukuhkan hubungan kita dengan Allah SWT.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa:  para ulama telah bersepakat bahawa wajib memelihara dan menghormati mashaf al-Quran. (Lihat  al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm 190)

Al-Bujairimi dalam isu ini beliau menyatakan bahawa: Diharamkan meletak mushaf di atas lantai dan hendaklah mengangkatnya sesuai dengan uruf walaupun sedikit. (Lihat  Hasyiah al-Bujairimi,1/ 376)

Justeru kami katakan, tidaklah diwajibkan untuk meletakkan al-Quran pada paras tinggi dari pusat atau kemaluan melainkan ia lebih kepada cara menghormati dan menjaga adab bersama al-Quran. Oleh yang demikian, tidaklah menjadi satu kesalahan untuk meletakkan al-Quran di atas rehal di lantai selepas membacanya. Namun, apa yang lebih baik adalah dengan meletak dan menyimpannya pada tempat yang sesuai seperti rak, meja, dan sebagainya sebagai menjaga dan menghormati kesucian al-Quran tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahua’lam