#6048: Tanam Rambut Sintetik

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ada beberapa badan berautoriti yang membenarkan tanam rambut, adakah kebenaran ini termasuk pada rambut sintetik?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Rawatan tanam rambut atau Follicular Unit Extraction (FUE), merupakan salah satu kaedah pemulihan rambut tanpa jahitan, di mana folikel rambut diekstrak dari belakang kepala setelah pesakit di berikan bius anaesthesia. Pembedahan ini dilakukan dengan bantuan micropunches khas, dan folikel rambut yang diambil kemudiannya akan ditanam di kawasan yang mengalami masalah kebotakan.[1]

Akan tetapi, satu inovasi telah dilakukan sebagai alternatif bagi pesakit yang mungkin tidak sesuai untuk menjalani rawatan Follicular Unit Extraction (FUE) ini. Sekumpulan ahli perubatan dari Denmark telah membuat suatu kajian tentang penggunaan rambut sintetik atau juga dikenali sebagai biofibre. Ia pertama kalinya diperkenalkan pada tahun 1970, dan ia mula diperakui menurut undang-undang pada tahun 1996 setelah suatu pembedahan yang dilakukan di Itali pada tahun 1993 memberikan hasil yang memberangsangkan. Transplantasi ini menggunakan teknik pembedahan, dilakukan sama ada dengan implan secara manual atau mesin automatik, di bawah bius anaesthesia. Jarum pengait kecil digunakan untuk meletakkan akar gentian fiber ini di bawah kulit kepala pada paras galea (lihat rajah 1), di mana akar boleh dipegang oleh tisu berserabut.[2] [3]

Rajah 1: Lapisan kulit kepala

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/core/lw/2.0/html/tileshop_pmc/tileshop_pmc_inline.html?title=Click%20on%20image%20to%20zoom&p=PMC3&id=7369527_gr1.jpg 

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, kami melihat isu ini dapat dipecahkan kepada dua permasalahan utama:

Pertama: Keterkaitan Antara Tanam Rambut Sintetik dan Sambung Rambut.

Permasalahan ini ditimbulkan oleh mereka yang tidak mengharuskan rawatan kebotakan atau Alopecia Areata dengan cara menanam rambut. Mereka mendakwa bahawa tanam rambut sintetik ini menyerupai tujuan yang sama dengan masalah sambung rambut, iaitu berhias dengan rambutg yang disambung tersebut. Hal yang demikian kerana rambut sintetik tidak akan melalui proses pertumbuhan seperti folikel rambut, dan ia akan kekal dengan dandanan rambut yang sama untuk tempoh masa yang lama. Mereka beristidlal dengan hadith Mu‘awiyah bin Abu Sufian R.A bahawa Rasulullah SAW menegah kaum wanita dari menyambung sesuatu bahan lain dengan rambut, Baginda SAW bersabda:

زَجَرَ النَّبِيُّ ﷺ أَنْ تَصِلَ الْمَرْأَةُ بِرَأْسِهَا شَيْئًا

Maksudnya: “Nabi SAW melarang wanita dari menyambungkan sesuatu pada kepalanya (rambut).”

Riwayat Muslim (2126)

Imam al-Nawawi membawakan takwilan majoriti fuqaha’, katanya, larangan tersebut pada isu menyambung rambut dengan apa jua benda, sama ada rambut, bulu biri-biri, kain perca dan lain-lain. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/104)

Dan terdapat sebahagian ulama’ moden pula beranggapan, sekiranya rambut sintetik itu menyerupai rambut sebenar, ia seolah-olah suatu bentuk tipu daya. (Lihat al-Jarahah al-Tajmiliyyah – ‘Ard Tibbi wa Dirasah Fiqhiyyah Mufassalah, hlm. 157)

Akan tetapi, kami melihat bahawa terdapat perbezaan antara menyambung rambut dan menanam rambut sintetik ini, kerana rawatan dengan menanam rambut sintetik ini tidak dilakukan untuk mengubah ciptaan Allah SWT dengan tujuan kecantikan, bahkan ia dilakukan bagi mengangkat kemudaratan yakni keaiban seseorang terutamanya bagi kaum wanita. Kaedah fiqh ada menyebutkan:

الضَّرَرُ يُزَالُ

Maksudnya: “Kemudaratan perlu dihilangkan.”

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin pernah ditanya tentang permasalahan memakai rambut palsu, dan isu ini hampir serupa dengan menanam rambut sintetik, lalu beliau berkata: “Pada hakikatnya ia tidak menyerupai sambung rambut kerana wanita tersebut tidak berhajat untuk menambah kecantikan atau memanjangkan rambut asal yang telah diciptakan oleh Allah SWT. Wanita tersebut hanya ingin menghilangkan aib yang ditimpanya, dan ini tidak mengapa, kerana ia termasuk dalam bab menghilangkan aib dan bukannya menambahkan kecantikan. Antara kedua perkara ini terdapat perbezaan.” (Lihat Fatawa Nur ‘Ala al-Darb, 22/2)

Kedua: Kesan Sampingan daripada Bahan-bahan Pembuatan Rambut Sintetik

Sebelum melakukan sebarang rawatan, pesakit seharusnya diberikan penjelasan berkenaan bahan-bahan pembuatan rambut sintetik tersebut dan kesannya terhadap kesihatan. Sekiranya ia diperbuat dari bahan bernajis, maka hukumnya adalah haram. Ini jelas berdasarkan hadith  Ummu Salamah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لَـمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فِيمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penyembuh buat kamu pada perkara yang telah Dia haramkan ke atas kamu.”

Riwayat Ibn Hibban (1391)

Sebaliknya, jika rambut sintetik itu diperbuat dari bahan yang tidak najis, maka hukum melakukan rawatan tersebut adalah diharuskan selama mana terdapatnya darurat dan keperluan bagi menutup keaiban diri. Beginilah sebagaimana yang dipersetujui oleh Syeikh al-Fauzan, katanya, sekiranya masalah kebotakan tidak dapat dirawat melainkan dengan kaedah ini, maka ia diharuskan berdasarkan pendapat sebahagian fuqaha’ yang membenarkan pemakaian rambut palsu. Hal ini kerana ia termasuk dalam bab menghilangkan aib dan bukan bertujuan untuk menambahkan kecantikan, terutamanya apabila kebotakan itu boleh mendatangkan gangguan mental (seperti kemurungan), dengan syarat rambut sintetik tersebut tidak diperbuat dari bahan bernajis. (Lihat al-Jarahah al-Tajmiliyyah – ‘Ard Tibbi wa Dirasah Fiqhiyyah Mufassalah, hlm. 158)

Kesimpulan

Kami simpulkan, hukum merawat masalah kebotakan atau Alopecia Areata dengan kaedah menanam rambut sintetik adalah diharuskan, dengan syarat ia dihasilkan daripada bahan-bahan yang suci dan tidak mendatangkan mudarat pada pesakit.

Pihak kesihatan dan kecantikan pula harus cakna pada tujuan sebenar setiap pelanggan yang ingin menjalani rawatan ini. Ini kerana, dikhuatiri sebahagian dari mereka mempunyai tujuan yang bertentangan dengan keharusan yang diberikan oleh syara‘, iaitu lebih kepada kecantikan dan mengubah ciptaan yang telah Allah SWT jadikan baginya. Manakala, pelanggan yang sekadar menanam rambut demi menghilangkan aib diri, tidak menjadi masalah bagi seseorang doktor untuk turut serta membantu dalam menjayakan rawatan tersebut. Allah SWT berfirman:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

Semoga, kita beroleh faedah dari perbincangan ini, kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2956961/#:~:text=PROCEDURE%20OF%20FUE&text=It%20is%20a%20sutureless%20method,to%201%E2%80%932%20mm%20length. Diakses pada 31 Mei 2024.

[2] Lihat https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC7369527/#bib2. Diakses pada 31 Mei 2024.

[3] Lihat https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5816292/. Diakses pada 31 Mei 2024.