Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada mengatakan sekiranya isteri tidak mahu ikut pulang ke kampung saya maka ianya seperti habis dan saya tidak tahu lagi nak berbuat apa-apa. Adakah jatuh talak jika isteri saya melanggarnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Talak Ta‘liq bermaksud suami menggantungkan jatuh isterinya dengan terjadi sesuatu sifat atau syarat yang dikaitkan dengan isteri atau orang lain.
- Contohnya, suami menggantungkan jatuh talak isterinya dengan kedatangan seseorang atau dengan perbuatan tertentu yang dilakukan oleh isterinya, atau orang lain.
- Contoh talak yang dikaitkan dengan sifat ialah suami berkata kepada isterinya: “Kamu tercerai kerana ayahmu datang” atau “kamu tercerai dalam bulan Ramadhan.”Sehubungan dengan itu, apabila ayahnya datang atau masuk bulan Ramadhan, jatuhlah talak.
- Contoh yang dikaitkan dengan syarat ialah suami berkata kepada isterinya: “Kamu tercerai jika keluar dari rumah ini” atau “kamu tercerai jika saudara lelakimu masuk ke dalam rumah ini.” Oleh yang demikian, apabila isteri itu keluar dari rumah atau saudara lelakinya masuk ke dalam rumahnya, maka jatuhlah talak.
Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:
الـمُسْلِمُوْنَ عِنْدَ شُرُوْطِهِمْ
Maksudnya: “Orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang mereka tetapkan.”
Riwayat al-Hakim (2/49)
Kesan daripada Talak Ta‘liq
- Talak ta‘liq akan menyebabkan perkara-perkara berikut:
- Tidak jatuh selagi sesuatu yang disyaratkan belum berlaku.
- Kehidupan berumah tangga masih kekal dengan segala hukum dan kewajipan selagi syarat yang dikaitkan dengan talak belum terjadi walaupun ia pasti berlaku. Contohnya, suami berkata: “Apabila tiba bulan Ramadhan engkau tercerai.”
- Talak jatuh sebaik-baik sahaja syarat yang berkaitan itu berlaku. Suami tidak perlu melafazkan talak yang baru.
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini ia lebih kepada pergaduhan suami isteri. Namun, perlu diambil perhatian, sekiranya anda bermaksud “habis” itu adalah talak, maka anda telah melakukan lafaz ta’liq. Hal ini kerana ia kembali kepada niat anda sebagai suami sewaktu kejadian itu. Justeru, sekiranya anda maksudkan ia sebagai talak, maka jatuh talak satu. Akan tetapi, sekiranya ketika itu anda tidak berniat untuk cerai, maka tidaklah jatuh talak.
Oleh sebab itu, perkara berkaitan nikah,cerai, rujuk tidak boleh dibuat main. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ
Maksudnya: Tiga perkara yang dilakukan secara bersungguh menjadi sah, dan secara gurauan juga akan menjadi sah; nikah, talak dan rujuk.
Riwayat Abu Daud (2194). Syeikh Syuaib berkata hadith ini hasan li ghairih.
Al-Khattabi menukilakan bahawa : para ahli ilmu bersepakat bahawa lafaz talak yang jelas, jika diucapkan oleh seseorang yang telah baligh yang berakal, ia dianggap sebagai talak yang sah dan tidak berguna lagi baginya untuk mengatakan bahawa ia sedang bermain-main, bergurau dan tidak berniat untuk bercerai atau perkara seumpamanya. (Lihat Ma’lim al-Sunan,3/243)
Hadith ini juga menunjukkan bahawa perkara-perkara yang disebutkan dalam hadits dikira sekiranya disertakan dengan niat, kerana hukum asal hanya ditujukan kepada individu yang berakal yang mampu membuat pilihan, yang sengaja, dan ingat dia lakukan. Golongan yang tidak dikira sekiranya melakukan perkata tersebut adalah seperti orang yang dipaksa yang tidak mampu untuk membuat pilihan, orang yang mabuk yang berakal dalam keadaan mabuknya, orang gila, orang yang salah dan yang lupa yang tidak mampu untuk mengingati. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 20/251)
Kami mengesyorkan supaya rujuk kepada Mahkamah Syariah kerana kaedah menyebut:
حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ
Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf.”
Akhir kalam, banyakkan doa kepada Allah. Antaranya:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”