Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah memberi tazkirah (ceramah) sebelum kutbah Jumaat dikategorikan membuat perkara Bid’ah? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
Maksudnya: “Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
(Surah al-‘Asr:3)
Imam al-Tabari berkata: Saling berpesan dengan kebenaran membawa maksud: “Mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam Kitab-Nya, iaitu yang diperintahkan-Nya dan menjauhi apa yang dilarang-Nya.” Saling berpesan dengan kesabaran pula bermaksud: “Mereka saling menasihati untuk menetapi kesabaran dalam melaksanakan ketaatan terhadap Allah.” (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/590)
Diriwayatkan daripada Abi Ruqayyah Tamim bin Aus al-Dariy RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ، قَلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ، وَعَامَّتِهِمْ
Maksudnya: “Agama itu merupakan nasihat. Kami bertanya: Kerana siapa? Sabda Baginda: Bagi Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat semuanya.”
Riwayat Muslim (55), Abu Daud (4944) dan al-Nasaie (7/156)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bid’ah itu adalah menciptakan perkara baharu dalam agama yang tidak ada di zaman Rasulullah SAW. Menurut Imam al-Syatibi pula beliau menyatakan:
الْبِدْعَةُ: طَرِيقَةٌ فِي الدِّينِ مُخْتَرَعَةٌ، تُضَاهِي الشَّرْعِيَّةَ، يُقْصَدُ بِالسُّلُوكِ عَلَيْهَا مَا يُقْصَدُ بِالطَّرِيقَةِ الشَّرْعِيَّةِ.
Maksudnya: “Suatu jalan dalam agama yang dibuat-buat (tanpa ada dalil) dan menyerupai syari’at (ajaran Islam), yang dimaksudkan ketika melakukan (adat tersebut) adalah sebagaimana niat ketika menjalani syari’at.”(Lihat al-I’tisam, 1/26).
Dalam isu ini, memberikan tazkirah sebelum solat Jumaat tidaklah dikategorikan sebagai amalan bid’ah. Ini kerana memberikan peringatan atau tazkirah adalah perkara yang amat digalakkan dalam islam bahkan Allah SWT dan Rasul-NYA memerintahkan agar kita saling berpesan-pesan ke arah kebaikan dan menjauhi segala larangannya. Allah SWT berfirman:
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُون
Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar merekalah orang-orang yang beruntung.”
(Surah Al-Imran: 104)
Ibn Kathir berkata: “Maksud ayat ini adalah hendaklah ada segolongan daripada umat ini yang sedia memegang tanggungjawab ini (amar makruf nahi munkar). (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 11/91)
Ibn al-‘Arabi berkata: “Ayat ini dan ayat berikutnya merupakan dalil bahawa amar ma’ruf dan nahi munkar itu adalah fardhu kifayah.” (Lihat Ahkam al-Quran, 1/292)
Begitu juga sabda Nabi SAW:
بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً
Maksudnya: “Sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat.”
Riwayat Bukhari (3461)
Justeru, mengadakan tazkirah sebelum solat Jumaat amatlah digalakkan kerana hari Jumaat adalah hari di mana umat Islam berkumpul di masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Oleh itu, sangatlah sesuai untuk memanfaatkan waktu sejam atau setengah jam sebelum makuknya waktu Jumaat dengan penyampaian tazkirah. Dengan ini, para jemaah dapat memperoleh manfaat dan pelajaran dari tazkirah tersebut.
Tambahan lagi, tazkirah sebelum solat Jumaat juga dapat menjadi saluran untuk menyampaikan nasihat, peringatan, serta ilmu agama yang bermanfaat kepada jemaah. Ini dapat meningkatkan kesedaran dan pemahaman mereka terhadap ajaran Islam, serta memperkuat ikatan ukhuwah di kalangan umat Islam. Melalui tazkirah, para jemaah juga dapat diberikan motivasi dan dorongan untuk terus melakukan amal soleh dan menjauhi perkara-perkara yang dilarang oleh agama. Oleh itu, memanfaatkan waktu sebelum solat Jumaat dengan tazkirah adalah amalan yang sangat bermanfaat dan sejajar dengan semangat hari Jumaat sebagai hari yang mulia dalam Islam.
Walaupun begitu, hendaklah penyampai tazkirah meraikan waktu agar tidak terlajak sehingga masuk waktu Jumaat, bahkan melebihi waktu Jumaat. Ini kerana, boleh jadi pihak masjid ingin menyampaikan sebahagian maklumat kepada jemaah dan menjaga perasaaan mereka yang hadir untuk menunaikan kewajipan solat Jumaat dan mendengar khutbah yang wajib pada solat Jumaat.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua’lam