Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya jika anak bayarkan zakat fitrah ibu bapa dahulu kemudian baru minta kebenaran selepas bayar, adakah sah zakat mereka? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka. Firman Allah SWT:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Taubah: 103)
Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913)
Zakat fitrah adalah salah satu jenis zakat yang diwajibkan orang Islam membayarnya setiap tahun. Ia mula difardhukan pada tahun ke dua hijrah ketika difardhukan puasa Ramadhan. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:
فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى العَبْدِ وَالحُرِّ، وَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى، وَالصَّغِيرِ وَالكَبِيرِ مِنَ المُسْلِمِينَ، وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW mewajibkan pelaksanaan zakat fitrah dengan segantang tamar, atau segantang barli ke atas hamba dan orang yang merdeka, lelaki dan perempuan, yang muda dan yang tua, daripada kalangan Muslimin, dan baginda menyuruh agar ditunaikan sebelum manusia keluar menuju solat (Hari Raya).”
Riwayat al-Bukhari (1503)
Imam al-Nawawi menyatakan: Di sisi ulama mazhab Imam al-Syafi’i, pendapat yang paling sahih tentang penentuan kadar dan jenis zakat fitrah adalah mengikut غالب قوت البلد (jenis makanan ruji bagi majoriti penduduk). (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 6/132)
Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili menyatakan: Zakat Fitrah telah ditetapkan kadarnya, wajib dikeluarkan ketika matahari terbenam pada hari terakhir bulan Ramadhan, dengan syarat-syarat yang ditetapkan, bagi setiap mukallaf dan orang yang dibawah tanggungan nafkahnya.
Syarat-syarat wajib bagi menunaikan zakat fitrah adalah:
- Al-Islam, diwajibkan juga kepada orang yang murtad selepas ia memeluk islam.
- Waktu, sesungguhnya telah ditetapkan waktu diwajibkannya. Iaitu ketika terbenamnya matahari pada hari yang terakhir bulan Ramadhan
- Berkemampuan untuk mengeluarkan zakat fitrah ketika waktu diwajibkan zakat. Sekiranya kemampuannya itu selepas waktunya maka tidak diwajibkan. ((Lihat al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/95-98)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa salah satu syarat keabsahan dalam pelaksanaan ibadah zakat adalah keperluan adanya niat oleh pembayar zakat. Niat ini dihasilkan dalam hati pada ketika zakat dikeluarkan, dan merupakan keperluan bagi memenuhi syarat sah zakat dan diterima oleh Allah SWT. Niat membezakan antara ibadah dengan perkara-perkara yang lain. Oleh itu, setiap individu yang mengeluarkan zakat perlu berniat dalam hatinya dengan penuh keikhlasan semata-mata kerana Allah SWT. Ha ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ
Maksudnya: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya.”
(Surah al-Bayyinah:5)
Imam al-Qurtubi mentafsirkan ayat ini dengan ayat yang lain iaitu: Firman Allah SWT: ‘قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّـهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ’ (“Katakanlah (wahai Muhammad SAW): “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadah hanya kepada-Nya”). [Surah al-Zumar:11] Ayat ini menjadi dalil bahawa wajibnya kita berniat dalam melaksanakan perkara-perkara berkaitan ibadah. Ini kerana, ikhlas merupakan amalan hati dan ia perlulah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dan tidak pada selain daripada-Nya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 20/144)
Begitu juga diriwayatkan Saidina ‘Umar bin al-Khattab R.A:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
Maksudnya: “Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat.”
Riwayat al-Bukhari (1) dan Sahih Muslim (1907)
Berdasarkan hadith yang dinyatakan, kita dapat memahami bahawa setiap tindakan yang diambil haruslah bermula dengan niat. Oleh itu, sebarang tindakan atau ibadah yang tidak disertakan dengan niat akan dianggap tidak sah dan terbatal. Niat adalah suatu amalan hati yang menentukan tujuan dan matlamat sesuatu tindakan, sama ada ia dilakukan kerana Allah atau atas sebab-sebab lain. Tanpa niat yang ikhlas kerana Allah, amalan tersebut tidak akan diterima sebagai ibadah yang sah.
Sehubungan dengan isu ini, seseorang yang berhasrat untuk mengeluarkan zakat kepada orang lain atau seorang anak yang ingin membayar zakat kepada ibu bapanya perlu mendapatkan kebenaran daripada mereka terlebih dahulu. Ini kerana keabsahan ibadah zakat seseorang itu bergantung kepada niat.
Niat dalam zakat adalah amat penting kerana ia menunjukkan bahawa zakat tersebut dikeluarkan dengan tujuan untuk mematuhi kewajipan agama, bukan sebagai pemberian biasa. Niat ini harus ada di dalam hati orang yang membayar zakat atau wakil yang diberikan kebenaran untuk membayarnya bagi pihak mereka.
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: ia wajib dilakukan dengan segera setelah berkemampuan, kemudian pelaksanaannya memerlukan perbuatan dan niat. (Lihat Raudah al-Talibin, 2/204)
Begitu juga Ibn Qudamah dalam isu ini beliau menyatakan: menurut kebanyakan ulama bahawa niat adalah syarat sah dalam pelaksanaan zakat. (Lihat al-Mughni, 2/264)
Pandangan tersebut juga merupakan pandangan dari Mazhab Maliki, Hanafi, al-Thauri, Ahmad, Abu Thaur dan Jumhur Ulama.
Justeru, untuk memastikan ibadah zakat yang dibayar bagi pihak orang lain itu sah, adalah penting untuk mendapatkan kebenaran daripada mereka terlebih dahulu sebelum membayarnya. Dengan mendapatkan kebenaran, niat orang yang sepatutnya membayar zakat itu akan terzahir, menjadikan zakat tersebut sah dan diterima sebagai ibadah yang mematuhi syarat-syarat syarak.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu’lam