#6056: Melakukan Ziarah Kubur Setiap Hari

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum ziarah kubur ayah setiap hari? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kubur ialah tempat disemadikan mayat selepas berlakunya kematian. Firman Allah SWT:

ثُمَّ أَمَاتَهُ فَأَقْبَرَهُ

Maksudnya: “Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan.”

(Surah ‘Abasa: 21)

Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini berkata: “Allah menjadikan untuk manusia itu kubur yang menutupi mayatnya sebagai satu kemuliaan baginya, kalau mayat itu dibiar maka ia akan menjelekkan dan dimakan oleh haiwan, ayat ini juga memberi maksud bahawa Allah mengarahkan supaya mayat manusia itu ditanam dan tidak dibakar selepas kematiannya. (Lihat aI-Jami’ li Ahkam al-Quran, 19/219)

Para ulama menjelaskan dengan panjang lebar berkenaan dengan kubur dalam Ahkam al-Janaiz. Dalam Islam, kubur mempunyai haknya yang perlu dijaga oleh orang yang hidup. Rasulullah SAW mengajarkan kita beberapa hak. Antaranya, menziarahi kubur, mengucapkan salam, membaca doa untuk ahli kubur, tidak duduk di atas kubur, tidak memuja kubur, dan jadikanlah kubur sebagai tempat untuk mengingati akhirat. Banyak nas-nas yang menunjukkan ke arah itu.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan  bahawa amalan ziarah kubur sangat digalakkan dalam Islam kerana ia dapat mengingatkan seseorang tentang kematian dan membolehkan seseorang untuk bermuhasabah diri. Selain itu, Islam juga mendorong ziarah kubur kepada ahli waris yang telah meninggal dunia dan mendoakan keampunan untuk mereka. Ziarah kubur juga mengingatkan kita tentang realiti kehidupan yang sementara dan pentingnya untuk sentiasa bersedia menghadapi akhirat.

Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَزُورُوا الْقُبُورَ، فَإِنَّهَا تُزَهِّدُ فِي الدُّنْيَا، وَتُذَكِّرُ الآخِرَةَ

Maksudnya: “Aku dahulunya melarang ke atas kamu ziarah kubur, maka (sekarang) ziarahlah kubur, kerana ia menzuhudkan dirimu dan mengingatkanmu kepada akhirat.”

Riwayat Ibn Majah (307) dan Ibn Hibban (981). Syeikh Syu’aib al-Arnauth menyatakan bahawa isnadnya dha’if dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (981).

Berdasarkan hadith yang disebutkan, kita dapat memahami dengan jelas bahawa agama Islam sangat mendorong pengikutnya untuk menziarahi kubur. Terdapat banyak kebijaksanaan yang terkandung dalam amalan ini, salah satunya adalah untuk mengingatkan kita tentang hakikat kematian.

Dinyatakan dalam kitab Faidh al-Qadir (5/55 )bahawa: sungguh ia merupakan ubat yang baik bagi siapa yang hatinya keras dan terjerat dengan dosanya.

Namun begitu, islam melarang sesiapa yang menziarahi kubur meratap dan meraung atas kematian seseorang individu. Ini kerana ia dianggap tidak menerima ketentuan ilahi. Yang demikian sebagaimana yang telah disebutkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ المَيِّتَ لَيُعَذَّبُ بِبُكَاءِ أَهْلِهِ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya mayat diazab dengan tangisan keluarganya terhadapnya.”

Riwayat al-Bukhari (1286), Muslim (928)

Menurut Imam al-Nawawi, hadith ini diberi beberapa takwilan antaranya:

  • Ia ditanggung dengan maksud jika si mati mewasiatkan kepada keluarga dan yang hidup untuk meratap dan meraung atas kematiannya.
  • Ia memberi maksud kaum keluarga menangis pada tahap ratapan
  • Ia bermaksud ia diazab dengan sebab memperdengarkan tangisan keluarganya untuk menjadikan hati mereka mengasihani berlebihan. Inilah pendapat Ibn Jarir al-Tabari. Hal ini juga dipilih oleh al-Qadhi ‘Iyadh. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/228)

Imam Abu Syuja’ juga menyatakan: “Dan tidak mengapa dengan menangis atas mayat selagimana tidak meratap dan tidak mengoyakkan pakaian dan tidak menampar-nampar pipi.” (Lihat al-Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 16)

Justeru kami katakan di sini, tidak ada kesalahan dalam melakukan ziarah ke kubur waris setiap hari dengan niat mendoakan keampunan untuknya atau memberi sedekah melalui bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan lain-lain. Namun, apa yang perlu dielakkan adalah meratap di kubur. Ini kerana Islam sangat melarang tindakan tersebut, seperti yang telah dinyatakan dalam hadith yang disebutkan sebelum ini.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

(Surah al-Hasyr :10)

Wallahua’lam