#6057: Melakukan Solat Sunat Taubat Secara Berjemaah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah dibolehkan untuk melakukan solat sunat taubat secara berjemaah? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Bakr al-Siddiq R.A, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ إِلاَّ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ‏ثُمَّ قَرَأَ هَذِهِ الآيَةَ ‏‏ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ ‏ إِلَى آخِرِ الآيَةِ

Maksudnya: Tidak ada seorang hamba yang melakukan satu dosa, lalu dia memperelokkan dalam bersuci dan dia kemudiannya bangun lalu mengerjakan solat dua rakaat dan memohon keampunan kepada Allah melainkan Allah akan mengampunkan dosanya. Kemudian dia membaca ayat ini:

‏ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ

Maksudnya: “Dan mereka yang apabila melakukan satu dosa atau menzalimi diri mereka kemudian mereka mengingati Allah. (Surah Ali Imran: 135).”

Riwayat Abu Daud (1521)

Nas ini menjadi dalil tentang wujudnya solat taubat. Inilah juga pendapat Sayyid Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah (1/211).

Berdasarkan hadith di atas, baginda Nabi SAW memberikan suatu cara untuk seseorang yang telah melakukan dosa itu membersihkan diri mereka dari perbuatan tersebut. Iaitu dengan cara mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian menunaikan solat dua rakaat dan dituruti dengan istighfar kepada Allah SWT.

Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan: Yang dimaksudkan dengan beristighfar di dalam hadith ini adalah taubat yang berterusan dan berhenti dari melakukan maksiat tersebut seerta berazam untuk tidak kembali melakukannya buat selamanya. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 3/988).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bukan semua solat sunat disyariatkan untuk didirikan secara berjemaah. Antara solat sunat yang disyariatkan secara berjemaah adalah seperti solat sunat gerhana bulan atau gerhana matahari, solat istisqa’ iaitu solat minta hujan, serta qiyam Ramadhan.

Diriwayat daripada Abu Bakrah R.A beliau berkata:

‎كُنَّا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَانْكَسَفَتِ الشَّمْسُ، فَقَامَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَجُرُّ رِدَاءَهُ حَتَّى دَخَلَ الْمَسْجِدَ، فَدَخَلْنَا فَصَلَّى بِنَا رَكْعَتَيْنِ، حَتَّى انْجَلَتِ الشَّمْسُ فَقَالَ صلى الله عليه وسلم:‏ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ، فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَصَلُّوا، وَادْعُوا، حَتَّى يُكْشَفَ مَا بِكُمْ

Maksudnya: Kami berada di sisi Rasulullah SAW, kemudian berlakunya gerhana matahari. Maka Nabi S.A.W pun berdiri seraya memakai rida’ sehingga baginda masuk ke dalam masjid. Maka baginda pun menjadi imam solat bersama kami sehingga selesai gerhana. Lalu baginda S.A.W bersabda : Sesungguhnya gerhana matahari dan bulan itu tidak berlaku disebabkan kematian seseorang. Jika kalian melihatnya maka solatlah serta berdoa, sehinggalah tamat gerhana.

Riwayat al-Bukhari (1040)

Berdasarkan kepada hadith yang telah disebutkan, kita dapat fahami bahawa Rasulullah SAW telah menjalankan solat gerhana secara berjamaah. Ini memperkukuhkan pandangan sebahagian golongan yang berpendapat bahawa solat sunat boleh dilakukan secara berjamaah.

Ibn Qudamah al-Maqdisi menyebut: Boleh untuk solat sunat secara berjamaah dan boleh juga secara bersendirian. Kerana Nabi SAW melakukan kedua-duanya (kadang berjamaah dan kadang bersendirian). Dan kebanyakan solat sunat baginda adalah secara bersendirian. (Lihat al-Mughni, 1/442)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: Imam al-Nawawi: Sesungguhnya solat-solat sunat itu tidak disyariatkan padanya untuk berjamaah, melainkan pada solat dua hari raya, solat gerhana, dan solat istisqa’. Demikian juga solat tarawih dan witir selepas tarawih. Sesungguhnya jamaah di dalam semua solat tersebut adalah afdhal. Adapun baki-baki solat sunat yang lain seperti solat rawatib yang dilakukan bersama solat-solat fardhu, solat dhuha, dan juga solat-solat sunat yang mutlak, maka tidak disyariatkan pada semua itu untuk berjamaah, iaitu tidak disunatkan. Akan tetapi jika seseorang melakukannya secara berjamaah maka ia dibolehkan. Tidak dikatakan yang perbuatan itu makruh. Imam Al-Syafie telah menaskan di dalam Mukhtasar Al-Buwaithi dan Mukhtasar Al-Rabi’ bahawa tidak mengapa berjemaah dalam solat sunat. (Lihat al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 3/197)

Justeru, berkaitan dengan solat sunat taubat, ia tidak disyariatkan atau disunatkan untuk dilakukan secara berjemaah. Solat sunat taubat afdhal dilakukan secara bersendirian sama seperti solat-solat mutlak yang lain, namun, sekiranya ia dilakukan secara berjamaah, maka tidaklah ia menjadi satu kesalahan. Solat ini dilakukan dengan tujuan untuk memohon keampunan daripada Allah SWT atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Oleh itu, seseorang yang ingin bertaubat disarankan untuk melakukannya dengan penuh khusyuk dan ikhlas, memohon keampunan serta berazam tidak akan mengulangi perbuatan dosa tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Wallahua’lam