Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum tidak menziarahi rumah keluarga yang baru berlaku kematian di dalam kawasan kariah?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pertamanya, apabila berlakunya kematian, kita dianjurkan untuk mengucapkan takziah kepada keluarga si mati sebagai bentuk simpati terhadap pemergian tersebut. Ini selaras dengan hadith ‘Amru bin Hazm R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ مُؤْمِنٍ يُعزِّي أَخَاهُ بِمُصِيبَةٍ إِلَّا كَسَاهُ اللهُ مِنْ حُلَلِ الْكَرَامَةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Tidaklah seorang mukmin mengucapkan takziah kepada saudaranya yang ditimpa musibah, kecuali Allah SWT akan memakaikan untuknya pakaian kehormatan pada hari kiamat.”
Riwayat Ibn Majah (1601)
‘Abd al-Ra’uf al-Munawi berkata, hadith ini menunjukkan bahawa takziah adalah sunat yang dituntut, dan ia tidak hanya dikhususkan pada kematian semata-mata, bahkan ia meliputi segala bentuk musibah yang berlaku. Beliau juga menukilkan dari fuqaha’ al-Syafi‘iyyah, bahawa waktu yang disenatkan untuk mengucapkan takziah kematian bermula dari sampainya berita kematian itu, sehingga 3 hari selepas pengebumian dan makruh mengucapkan takziah setelah dari itu, melainkan jika keluarga si mati tidak dijumpai sebelumnya. (Lihat Faidh al-Qadir, 5/495)
Syeikh Muhammad bin ‘Abd al-Hadi al-Sindi pula menerangkan maksud takziah dalam hadith di atas, iaitu berpesan kepada keluarga si mati agar bersabar, seperti kita berkata kepadanya: “Semoga Allah memberikan ganjaran pahala yang besar kepadamu (atas kesabaran).” (Lihat Kifayah al-Hajah fi Syarh Sunan Ibn Majah, 1/486)
Apabila kita memahami hakikat ucapan takziah ini, ia tidak semestinya terikat dengan urusan ziarah-menziarahi ke rumah keluarga si mati. Tambahan pula, perkembangan teknologi telah membolehkan kita untuk berhubung secara jarak jauh. Maka ucapan takziah melalui perantara ini juga sudah memadai dan bertepatan dengan tuntutan yang dianjurkan oleh syara‘. Perlu difahami, kenyataan ini tidak bermaksud larangan untuk menziarahi keluarga si mati, akan tetapi, isu berkumpul beramai-ramai di rumah si mati untuk mengucapkan takziah telah dibincangkan oleh ulama’ kerana dikhuatiri ia boleh mewujudkan rasa sedih dan ratapan. Di Malaysia, sebahagian tempat telah menjadikan amalan menziarahi keluarga si mati secara beramai-ramai sebagai satu adat dan budaya.
Majoriti ulama’ dari kalangan al-Syafi‘iyyah, al-Hanabilah dan al-Malikiyyah berpendapat, hukum berkumpul di rumah si mati beramai-ramai adalah makruh, meskipun dengan tujuan mengucapkan takziah.
Imam al-Nawawi berkata, adapun isu duduk berkumpul untuk mengucapkan takziah, Imam al-Syafi‘i dan ashab beliau mengatakan hukumnya makruh. Duduk berkumpul yang dimaksudkan di sini, apabila ahli keluarga si mati berkumpul di satu rumah, kemudian orang datang ke rumah tersebut untuk mengucapkan takziah. Fuqaha’ al-Syafi‘iyyah berpendapat, sebaiknya ahli keluarga tersebut bersurai dan selesaikan hajat keperluan harian mereka. Sekiranya orang lain terserempak dengan mereka, ucapkanlah pada mereka takziah. Imam ‘Ala’uddin al-Mardawi juga menyatakan perkara yang sama. Perbuatan duduk berkumpul untuk mengucapkan takziah ini adalah makruh menurut Mazhab Hanbali, dan inilah yang dinaskan. Abu Bakr al-Turtusyi menukilkan pendapat fuqaha’ al-Malikiyyah, bahawa perbuatan duduk di kawasan khalayak dengan harapan diucapkan padanya takziah atas pemergian ahli keluarganya, ia adalah sebahagian dari perbuatan bidaah yang ditegah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/306; al-Insaf fi Ma‘rifah al-Rajih min al-Khilaf, 2/565; al-Hawadith wa al-Bida‘, hlm. 170)
Imam al-Syafi‘i sendiri menyebutkan di dalam kitab al-Umm (1/318), makruh hukumnya adat berhimpun untuk mengingati orang yang telah meninggal dunia, meskipun mereka yang berkumpul itu tidak menangis, kerana perbuatan berkumpul itu boleh mengembalikan kesedihan.
Sebaliknya, jika ziarah tersebut tidak dilakukan secara beramai-ramai, dan ia diyakini dapat memberikan ketenangan buat keluarga si mati, maka perbuatan ziarah itu dianjurkan. Hal yang demikian kerana ucapan takziah itu sendiri mengandungi elemen nasihat serta pesanan yang baik. Rasulullah telah mengajarkan kepada kita ucapan takziah, sebagaimana dalam hadith Usamah bin Zaid R.A, katanya:
أَرْسَلَتِ ابْنَةُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِ إِنَّ ابْنًا لِي قُبِضَ، فَأْتِنَا، فَأَرْسَلَ يُقْرِئُ السَّلاَمَ، وَيَقُولُ: إِنَّ لِلَّهِ مَا أَخَذَ، وَلَهُ مَا أَعْطَى، وَكُلٌّ عِنْدَهُ بِأَجَلٍ مُسَمًّى، فَلْتَصْبِرْ، وَلْتَحْتَسِبْ
Maksudnya: “Puteri Nabi SAW mengutuskan pesanan kepada Nabi SAW dan memberitahu bahawa anak lelakiku hampir meninggal, maka datanglah melawat kami. Lalu Baginda SAW mengirimkan utusan untuk menyampaikan salam dan Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya hanya milik Allah apa yang diambil-Nya, dan bagi-Nya apa yang telah diberi, dan setiap sesuatu di samping-Nya sudah ditentukan ajalnya. Maka bersabarlah dan mohonlah ganjaran-Nya’.”
Riwayat al-Bukhari (1284) dan Muslim (923)
Nasihat dan pesanan yang baik ini seiring dengan perintah Allah SWT dalam firman-Nya:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.”
(Surah al-Ma’idah: 2)
Mewujudkan ketenangan dalam diri orang lain ini termasuk dalam akhlak yang terpuji. Disebutkan dalam hadith al-Nu‘man bin Basyir, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَرَى المُؤْمِنِينَ فِي تَرَاحُمِهِمْ وَتَوَادِّهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ، كَمَثَلِ الجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى عُضْوًا تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ جَسَدِهِ بِالسَّهَرِ وَالحُمَّى
Maksudnya: “Engkau melihat (keadaan) orang-orang mukmin itu saling kasih-mengasihani, cinta-mencintai, dan saling tolong-menolong seperti satu jasad, jika ada (walau) satu anggota badan yang sakit, nescaya seluruh anggota badan yang lain akan ikut merasakannya dengan tidak dapat tidur dan demam.”
Riwayat al-Bukhari (6011) dan Muslim (2586)
Kesimpulan
Kami simpulkan, tidak menjadi masalah jika saudara tidak pergi menziarahi rumah keluarga si mati di kawasan kariah tersebut, kerana ucapan takziah masih boleh disampaikan melalui pelbagai platform penghubung yang ada kini. Akan tetapi, seandainya ziarah tersebut dapat mengurangkan kesedihan keluarga si mati, maka usahalah sebaiknya untuk mengurangkan kesedihan mereka dengan ziarah serta ucapan takziah.
Manakala ziarah secara beramai-ramai, berkumpul di rumah keluarga si mati dengan tujuan menyampaikan takziah, perbuatan ini tidaklah dianjurkan bahkan makruh hukumnya menurut fuqaha’, kerana ia boleh menambahkan rasa sedih dan ratapan keluarga. Cukuplah ucapan takziah itu disampaikan semasa bersua muka di luar rumah, seperti di pasar, di masjid dan sebagainya.
Semoga kita beroleh kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala perintah-Nya. Wallahu a ‘lam.