#6059: Doa yang Warid Berkenaan Istisqa’

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat doa daripada Nabi SAW untuk memohon hujan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (10) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا (11)

Maksudnya: Sehingga Aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu.”

(Surah Nuh: 10-11)

Setelah berlalu sepertiga khutbah yang kedua, khatib hendaklah berpaling menghadap kiblat dan membelakangi para jemaah.

Seterusnya dia mengubahkan kedudukan selendangnya yang bahagian atas ke bawah dan yang bawah ke atas, diikuti bahagian kanan diubahkan ke kiri dan bahagian kiri diubahkan ke kanan. Semua ini dilakukan untuk menzahirkan rasa rendah diri yang teramat sangat kepada Allah SWT.

Hal ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah katanya:

خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ يَوْمًا يَسْتَسْقِي فَصَلَّى بِنَا رَكْعَتَيْنِ بِلاَ أَذَانٍ وَلاَ إِقَامَةٍ ثُمَّ خَطَبَنَا وَدَعَا اللَّهَ وَحَوَّلَ وَجْهَهُ نَحْوَ الْقِبْلَةِ رَافِعًا يَدَيْهِ ثُمَّ قَلَبَ رِدَاءَهُ فَجَعَلَ الأَيْمَنَ عَلَى الأَيْسَرِ وَالأَيْسَرَ عَلَى الأَيْمَنِ‏.‏

Maksudnya: “Pada suatu hari Rasulullah SAW keluar untuk melakukan solat Istisqa’. Kemudian Baginda bersolat bersama-sama kami sebanyak dua rakaat tanpa azan dan iqamah. Seterusnya Baginda berkhutbah dan berdoa kepada Allah sambil memalingkan mukanya ke kiblat dan mengangkat kedua-dua belah tangannya. Kemudian Baginda membalikkan selendangnya yang kanan ke kiri dan yang kiri ke kanan.”

Riwayat Ibn Majah (1268), Ahmad (8327) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (3/347). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij al-Musnad (8327) menyatakan hadith ini bertaraf sahih li ghairih

Dalam menjawab persoalan di atas, berkenaan doa yang dianjurkan untuk memohon hujan, penulis hanya menyebut di sini sebahagian daripadanya, antaranya:

Doa Pertama:

اللَّهُمَّ أَغِثْنَا، اللَّهُمَّ أَغِثْنَا، اللَّهُمَّ أَغِثْنَا

Maksudnya: “Ya Allah siramilah kami, Ya Allah siramilah kami, Ya Allah siramilah kami.”

Riwayat al-Bukhari (1014), Muslim (897), al-Nasaie (1517) dan al-Baihaqi (546)

Doa Kedua:

‏ اللَّهُمَّ اسْقِنَا غَيْثًا مُغِيثًا مَرِيئًا مَرِيعاً نَافِعًا غَيْرَ ضَارٍّ عَاجِلاً غَيْرَ آجِلٍ ‏

Maksudnya: “Ya Allah! Siramilah kami dengan hujan yang menyuburkan dan yang baik kesudahannya yang bertapis-tapis yang memberi manfaat tidak memberi mudharat, segera tidak berlambat-lambat.”

Riwayat Abu Dawud (1169), al-Tabarani (2197), al-Hakim (1/327), al-Baihaqi (3/355), Hadith ini dinilai sahih berdasarkan kitab Sahih Abi Dawud (1169)

Doa Ketiga:

اللَّهُمَّ اسْقِ عِبَادَكَ وَبَهَائِمَكَ وَانْشُرْ رَحْمَتَكَ وَأَحْىِ بَلَدَكَ الْمَيِّتَ

Maksudnya: “Ya Allah siramilah hamba-Mu dan haiwan-haiwan ternakan-Mu dan sebarkanlah rahmat-Mu dan hidupkanlah negeri-Mu yang mati.”

Riwayat Abu Dawud (1176), Malik (610), al-Baihaqi (6441) dan Abdul Razzaq (4912). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij Zad al-Ma’ad (1/441) menyatakan sanad hadith ini hasan.

Doa Keempat:

اللَّهُمَّ اجْعَلْهَا سُقِيَا رَحْمَةٍ وَلاَ سُقْيَا عَذَاب ٍوَلاَ مَحْقٍ وَلاَ بَلاَءٍ وَلاَ هَدَمٍ وَلاَ غَرْقٍ اللَّهُمَّ عَلَى الظِّرَابِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا اللَّهُمَّ اسْقِنَا غَيْثاً مُغِيْثا،ً هَنِيْئاً مَرِيْئاً مَرِيْعاً، غَدَقاً مُجَلَّلاً عَاماً، دَائِماً إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ، اللَّهُمَّ اسْقِنَا الغَيْثَ وَلاَ تَجْعَلْنَا مِنَ القَانِطِيْنَ اللَّهُمَّ إِنَّ بِالعِبَادِ وَالبِلاَدِ وَالْبَهَائِمِ وَالخَلْقِ مِنَ الجُهْدِ وَالجُوْعِ وَالضَّنْكِ مَا لاَ نَشْكُوْ إِلاَّ إِلَيْكَ اللَّهُمَّ أَنْبِتْ لِنَا الزَّرْعَ وَأَدِرَّ لَنَا الضَّرْعَ وَاسْقِنَا مِنْ بَرْكَاتِ السَّمَاءِ وَأَنْبِتْ لَنَا مِنْ بَرْكَاتِ الأَرْضِ اللَّهُمَّ وَاكْشِفْ عَنَّا مِنَ البَلاَءِ مَا لاَ يَكْشِفُهُ غَيْرُكَ اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْتَغْفِرُكَ إِنَّكَ كُنْتَ غَفَّاراً فَأَرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْنَا مِدْرَاراً

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah hujan itu rahmat, bukan azab, bukan kemusnahan bukan bala bukan kehancuran bukan kebanjiran. Ya Allah! Turunkanlah hujan ke atas bukit, kawasan berpasir, kawasan tumbuh-tumbuhan dan kawasan lembah. Ya Allah! Turunkanlah hujan di sekeliling kami, bukan di atas kami.

Ya Allah! Turunkanlah hujan yang menyelamatkan kami daripada kegetiran. Hujan yang menyegarkan dan menyuburkan, hujan yang turun lebat di merata bumi, hujan yang sentiasa mendatangkan manfaat sehingga hari Kiamat. Ya Allah! Siramilah kami dengan hujan dan janganlah Engkau jadikan kami golongan yang berputus asa.

Ya Allah! Sesungguhnya hamba-hamba-Mu dan negara ini telah didatangi kesukaran, kesempitan hidup dan kelaparan. Kami tidak mengadu melainkan kepada-Mu.

Ya Allah! Tumbuhkanlah tanam-tanaman kami, banyakkanlah susu ternakan kami, turunkanlah kepada kami keberkatan dari langit, dan tumbuhkanlah bagi kami dari bumi tanam-tanaman yang berkat

Hindarkanlah bala bencana daripada kami yang tiada siapa yang boleh menghindarkannya selain-Mu. Ya Allah! Kami memohon ampun kepada-Mu kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, maka turunkanlah hujan yang lebat ke atas kami.” (Lihat al-Umm oleh Imam al-Syafi’ie, 1/287)

Marilah sama-sama kita sentiasa berdoa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”