#6064: Keluar Darah Haid Tidak Sampai Satu Hari

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kalau keluar darah tak sampai satu hari dikira period ke? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan definisi haid terlebih dahulu. Dari segi bahasa ia bermaksud mengalir. Dikatakan bahawa, “حَاضَ الوَادِي” apabila lembah mengalir.  Manakala dari segi syarak pula haid diertikan sebagai:

دَمُ جِبِلَّةٍ يَخْرُجُ مِنْ أَقْصَى رَحِمِ الْمَرْأَةِ عَلَى سَبِيلِ الصِّحَّةِ

Maksudnya: “Darah kebiasaan yang keluar dari bahagian paling hujung di dalam rahim seorang perempuan secara sihat.” (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 161).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, sebenarnya ia berkait rapat dengan  tempoh masa haid dari segi minimumnya. Dalam mengira tempoh minimum atau sekurang-kurang tempoh haid iaitu 24 jam. Umumnya, terdapat dua gambaran bagi sekurang-kurang tempoh haid:

  1. Darah keluar secara berterusan atau tetap ada darah pada kemaluan sekalipun ia tidak mengalir keluar, cukup sehari semalam atau selama 24 jam. Contohnya, darah seseorang wanita itu mula keluar pada jam 9.00 pagi hari Ahad sehingga jam 9.00 pagi hari Isnin.
  2. Darah keluar secara terputus-putus atau bercerai-cerai (yakni tidak berterusan) tetapi jika digabungkan kesemua tempoh darah tersebut dalam tempoh 15 hari 15 malam atau ke bawah, maka cukup sehari semalam (24 jam). Contohnya, hari pertama 1 jam, hari kedua 2 jam, hari ketiga 5 jam, hari keempat 6 jam, hari kelima 4 jam, hari keenam 4 jam, hari ketujuh 2, menjadikan jumlahnya setelah digabungkan cukup 24 jam (1+2+5+6+4+4+2 = 24 jam). Jadi, kesemua darah ini dikira darah haid.

Kenyataan di atas adalah sebagaimana difahami melalui kenyataan al-Bujairimi dalam hasyiahnya. (Lihat Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala-al-Khatib, 1/344).

Begitu juga Imam al-Haramain al-Juwaini turut menyebutkan, apabila keseluruhan darah-darah yang dalam tempoh 15 (hari dan malam) itu sampai kepada tempoh sekurang-kurang haid (iaitu 24 jam), sedangkan setiap satu darah itu secara bersendirian tidak sampai sekurang-kurang tempoh haid, maka menurut pendapat (mazhab) yang sahih, darah-darah tersebut dikira sebagai darah haid. (Lihat Nihayah al-Matlab fi Dirayah al-Mazhab, 1/420).

Manakala darah yang tidak mencukupi tempoh sehari semalam atau 24 jam setelah digabungkan dalam tempoh 15 hari 15 malam, maka darah-darah itu dikira sebagai darah fasad (darah istihadhah/penyakit) dan tidak boleh dihukumkan sebagai darah haid. Ini sebagaimana dinyatakan oleh al-Dimyati bahawa sehari semalam itu adalah tempohnya jika haid keluar secara berterusan iaitu cukup tempoh selama 24 jam atau selama 15 hari 15 malam jika darah tersebut tidak keluar secara berterusan dengan syarat tempoh waktu darah-darah itu apabila dihimpunkan bersama cukup 24 jam. Sekiranya jumlah tempoh tersebut tidak cukup atau tidak mencapai jangka masa yang disebutkan (iaitu 24 jam), maka ia adalah seperti darah fasad (yakni bukan darah haid). (Lihat I‘anah al-Talibin, 1/88).

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, bagi situasi saudari yang bertanya di atas, darah yang keluar tidak sampai satu hari hendaklah dilihat; jika mana-mana darah yang keluar kurang dari sehari itu (24 jam) dihimpunkan kesemuanya selama 15 hari 15 malam (tempoh maksimum haid) lalu ia mencapai tempoh minimumnya (iaitu 24 jam), maka ia dianggap sebagai darah haid. Namun, jika darah yang keluar kurang dari sehari itu tidak mencapai tempoh minimum haid (24 jam) sekalipun setelah dihimpunkan kesemuanya selama 15 hari 15 malam itu, maka ia tidak dikira sebagai darah haid, sebaliknya ia dihukumkan sebagai darah rosak (fasad).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”