#6065: Haji Diambil daripada Rasulullah SAW

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah kita disuruh untuk mengambil ibadat haji mengikut apa yang Rasulullah SAW lakukan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

Maksudnya: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.”

(Surah al-Mulk: 2)

Perkataan ‘ أَحْسَنُ عَمَلًا ’ ditafsirkan dengan amalan yang ikhlas dan berbetulan dengan kehendak Syariat atau Sunnah. Bukan sekadar ibadat haji sahaja tetapi semua ibadat kerana wazifah Rasul adalah menyampaikan serta menerangkan kepada umat, hidayah dan Syariat Islam. Firman Allah SWT:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا

Maksudnya: “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya untuk kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya.”

(Surah al-Hasyr: 7)

Menurut al-Maraghi, dalam ayat ini, Allah SWT memerintahkan umat Islam agar bertaqwa kepada-Nya dengan mematuhi segala perintah- Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Sesungguhnya Allah SWT amat berat ujian-Nya bagi mereka yang mengingkari perintah-Nya dan melakukan larangan-Nya. Sedangkan Rasul-Nya merupakan penjelas kepada apa yang dikehendaki oleh Allah SWT demi kebaikan hamba-Nya di dunia dan akhirat. (Lihat Tafsir al Maraghi, 28/40)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan ya. Dengan sebab itu, para sahabat merawikan hadith dan perjalanan haji Nabi SAW bermula dari Madinah sehingga selesainya ibadat haji. Antara periwayatan yang lengkap, terperinci lagi panjang ialah riwayat Jabir bin Abdillah R.A dalam Sahih Muslim.

Kami katakan, Rasulullah SAW menyebut:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مَنَاسِكَكُمْ فَإِنِّي لاَ أَدْرِي لَعَلِّي لاَ أَحُجُّ بَعْدَ عَامِي هَذَا

Maksudnya: “Wahai manusia, ambillah kerja-kerja haji kamu. Se-sungguhnya aku tidak mengetahui apakah aku masih akan melaksanakan haji lagi selepas tahun ini,”

Riwayat al-Nasa’i (3062) dengan lafaz ini. Begitu juga diriwayatkan dengan sedikit perbezaan lafaz oleh Muslim (1297), Abu Daud (1970), al-Tirmizi (886), Ibn Majah (3023) dan Ahmad (14593).

Marilah sama-sama kita berdoa agar haji yang kita lakukan mendapat haji yang mabrur.

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”