#607: Memakan Mang — Mud Lobster

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum memakan mang atau mud lobster? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menundukkan untuk kamu semua segala apa yang ada di langit yang terdiri daripada matahari, bulan dan bintang, serta segala apa yang ada di bumi yang terdiri daripada haiwan-haiwan (makanan dan pengangkutan darat), tumbuh-tumbuhan, kapal dan lain-lain, untuk manfaat buat kamu semua. Kesemua nikmat-nikmat ini adalah merupakan pemberian daripada Allah semata-mata, Dia memberikan perkara-perkara tersebut kepada kamu sebagai nikmat-Nya dan juga kurniaan-Nya. Maka hendaklah kepada-Nya sahaja kamu menyembah (beribadah) dan jangan sekali-kali kamu menjadikan bagi-Nya sekutu. Sesungguhnya pada apa yang telah Dia tundukkan buat kamu itu ada mengandungi tanda-tanda dan bukti-bukti yang menunjukkan kepada keesaan-Nya, bagi mereka yang merenung (berfikir) akan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kekuasaan-Nya) serta hujah-hujah dan dalil-dalil-Nya lalu mereka mengambil pengajaran daripadanya. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 499)

Definisi Mang — Mud Lobster

Mang atau nama saintifiknya ialah Thalassina anomala, yang dikenali juga sebagai lobster lumpur kala jengking, adalah spesies krustasea dalam famili Thalassinidae.[1] Lobster lumpur hampir tidak pernah kelihatan keluar dari lubangnya di dalam lumpur bakau. Tetapi busut yang mengagumkan yang dibina oleh haiwan ini biasanya masih boleh dilihat di kawasan paya bakau lumpur. Mang atau lobster lumpur ini boleh membesar sehingga 30 cm panjangnya. Meskipun ia dinamakan sebagai lobster yakni udang karang tetapi sebenarnya ia lebih menyerupai udang gergasi. Ia lebih berkait rapat dengan udang hantu genus Callianasa. Lobster lumpur hidup jauh di bawah timbunan dalam terowong berbentuk U dan jarang muncul di atas tanah. Menurut Buku Data Merah Singapura, terdapat dua spesies lobster lumpur ditemui di Singapura iaitu Thalassina gracilis dan Thalassina anomala. Thalassina gracilis lebih kecil dengan ‘hidung’ mancung (rostrum) dan diketahui hidup bersebelahan dengan Thalassina anomala. Thalassina gracilis tidak dilihat untuk masa yang lama sehingga baru-baru ini ditemui semula.

Gambar atas: Mang atau dikenali juga sebagai Mud Lobster

Lobster lumpur memainkan peranan penting dalam mengekalkan kehidupan di hutan paya bakau. Ia dipercayai memakan lumpur. Semasa ia makan dan menggali (eats-and-digs), ia mengitar semula nutrien dari bawah tanah yang dalam, membawanya kepada tumbuhan dan haiwan lain. Penggaliannya juga melonggarkan lumpur dan membolehkan udara dan air beroksigen menembusi tanah yang kekurangan oksigen. Semua penggalian ini juga akhirnya menghasilkan busut berbentuk seolah-olah gunung berapi. Busut haiwan ini boleh setinggi 2 meter di atas tanah. Selain itu, busut ini juga lebih kering daripada kawasan persekitarannya, menjadikan ia rumah yang sesuai untuk haiwan lain. Banyak haiwan boleh ditemui tinggal di busut ‘bertingkat tinggi’ ini. Kebanyakan haiwan itu mencipta lubang mereka sendiri di busut, kadang-kadang lengkap dengan cerobong asap. Di antaranya ialah ular, ketam, semut, labah-labah, cacing, kerang dan udang. Sesetengah tumbuhan juga kelihatan tumbuh lebih baik pada busut ini.

Mang atau lobster lumpur dimakan di beberapa Kepulauan Pasifik seperti Fiji. Walau bagaimanapun, haiwan ini telah disenaraikan sebagai ‘terancam’ dalam Senarai Merah haiwan terancang Singapura kerana habitat pilihannya yang semakin hilang.[2] Selain itu haiwan ini juga boleh dijumpai di negeri Sarawak dan merupakan haiwan yang dimakan oleh penduduk tempatan. Rupanya seakan-akan udang tetapi rasanya dikatakan lebih kepada isi ketam. Menurut salah seorang penangkap mang, Rashid Sidik dari Kuala Matu, haiwan itu didapati keluar dari sarangnya dalam tanah ketika musim hujan atau musim banjir. Selain itu, beliau juga mengatakan bahawa mang merupakan juadah paling istimewa ketika tiba musimnya. Di samping itu, Datuk Dr. Juanda Jaya, Ahli Dewan Undangan Negeri Jemoreng turut menyebutkan bahawa mang mudah didapati di kawasan Kuala Matu kerana kebanyakan kawasan Kuala Matu agak berlumpur.[3]

Gambar atas: Mang berada dalam lubangnya di dalam lumpur

Begitu juga, setiap kali peralihan musim tengkujuh di bahagian tengah Sarawak, nelayan yang tidak ke laut akan menjalankan pelbagai pekerjaan sampingan termasuk memburu mang iaitu sejenis udang hidup dalam lumpur. Di muara Kuala Rajang, nelayan yang tinggal di kawasan itu biasanya akan berduyun-duyun turun ke kawasan berpaya untuk menangkap mang sama ada dijual ataupun untuk juadah seisi keluarga. Mang sememangnya jarang diperoleh pada hari biasa dan hanya banyak ditemui ketika tiba musim tengkujuh. Ia tertumpu di kawasan berpaya sahaja. Abdullah Jamaluddin Hashim, yang merupakan seorang nelayan menyebutkan, mang lazimnya membuat sarang yang kelihatan seperti busut di tepi sungai kecil ataupun kawasan berpaya dan alur. Menurutnya lagi, hidupan berwarna jingga yang mempunyai sepit dan ekornya seperti kala jengking itu hanya akan keluar dari sarangnya selepas hujan lebat ataupun guruh yang kuat. Justeru, untuk mendapatkan haiwan ini memang sukar kerana ia tidak akan keluar melainkan ketika hujan lebat dan guruh. Jika digali lubangnya sekalipun masih sukar untuk mendapatkan haiwan ini.

Gambar atas: Busut yang terhasil disebabkan oleh penggalian Mang

Seorang peraih Bakeri Nordin berkata, keenakan mang menyebabkannya mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai, namun ia hanya boleh dijual secara kecil-kecilan. Hal ini kerana jumlah mang yang ditangkap tidak banyak. Tidak cukup untuk dikomersialkan. Selain itu, ia turut dikenali sebagai nguang di Sarawak. Manakala di Sabah, ia dikenali sebagai ngaong atau bengkela, manakala di Semenanjung pula ada yang memanggilnya udang ketok atau udang tanah.[4]

Hidupan air

Haiwan air ialah haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air, tidak kira air masin atau air tawar, sama ada di laut, sungai, tasik, air telaga atau lain-lain. Apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih atau ia dapat hidup tetapi hayatnya tidak kekal lama (di atas darat). (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 8/150; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/127-128)

Secara umumnya, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan bahawa hidupan air terbahagi kepada dua kategori iaitu spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”

Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih

Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini. Bagi kategori ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34)

Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83), al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Haiwan dua alam

Di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah disebutkan, ulama mazhab Syafi‘i berpendapat bahawa haiwan dua alam adalah haram untuk dimakan. Haiwan dua alam yang dimaksudkan ialah haiwan yang dapat hidup secara berterusan sama ada di daratan mahupun lautan (yakni air), jika tiada baginya sebarang bandingan dengan haiwan di darat yang halal dimakan. Di antara contoh haiwan dua alam yang disebutkan oleh mereka ialah katak, ketam, ular, nasnas, buaya dan penyu. Pengharaman haiwan jenis dua alam ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Rafi‘i dan Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Raudhah serta pendapat yang dipegang oleh al-Ramli.

Imam al-Nawawi kemudiannya telah membetulkan semula pendapatnya dalam kitab al-Majmu‘ bahawa semua haiwan yang tinggal di dalam air secara habitatnya[5] adalah halal bangkainya sekalipun ia boleh untuk hidup di atas daratan melainkan katak. Inilah pendapat yang muktamad di sisi al-Khatib dan Ibn Hajar al-Haitami, dan menambah pada katak — dengan memberi sebab — kerana padanya terdapat racun. Oleh itu, berdasarkan kepada pendapat ini, ketam, ular, nasnas, buaya dan penyu, jika kesemua haiwan ini tinggal di dalam air secara habitatnya, maka halal bangkainya dan tidak diambil kira kemampuannya untuk hidup di atas darat. Akan tetapi jika haiwan itu tinggal di atas daratan secara habitatnya,[6] maka haram bangkainya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/130; Lihat juga al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/32-33)

Dalam erti kata lain, adanya kebarangkalian bahawa terdapat faktor lain yang mendorong kepada pengharaman kesemua haiwan dua alam yang disebutkan di atas seperti nas yang melarang, memberi mudarat kepada pemakannya atau lain-lain. Hal ini dapat difahami dengan lebih jelas melalui kenyataan daripada Dr. Muhammad al-Zuhaili yang menyebutkan bahawa katak haram dimakan kerana ada nas yang melarang untuk membunuhnya. Manakala ular dan ketam kerana racunnya serta kedua-duanya dianggap haiwan yang jijik. Selain itu juga diharamkan untuk memakan buaya kerana ia memburu dengan taringnya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548-549)

Selain itu, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari juga ada menukilkan pendapat Imam al-Mawardi yang menjadi dhawabit (garis panduan) dalam menentukan kategori suatu haiwan itu apabila berhimpun pada dirinya darat dan laut, iaitu:

مَا يَجْمَعُ مِنْ الْحَيَوَانِ بَيْنَ الْبَحْرِ وَالْبَرِّ إنْ كَانَ اسْتِقْرَارُهُ بِأَحَدِهِمَا أَغْلَبَ وَمَرْعَاهُ بِهِ أَكْثَرَ غَلَبَ عَلَيْهِ حُكْمُهُ

Maksudnya: “Haiwan yang berhimpun padanya antara laut dan darat (dapat hidup di kedua-duanya), sekiranya ia dapat tetap (berterusan) hidup pada salah satunya menurut kebiasaan dan hidupnya lebih banyak di situ. Maka, hukumnya mengikut kebiasaannya.”

Oleh itu, apa-apa haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air sahaja atau apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih, maka hukumnya adalah halal dimakan, walau bagaimana keadaannya pun serta ia dinisbahkan sebagai hidupan air. Kemudian, jika suatu haiwan itu tidak cenderung kepada mana-mana antara keduanya (air atau darat), maka hukumnya adalah seperti haiwan darat mengikut pendapat yang sahih serta tidak halal untuk memakannya melainkan setelah disembelih, jika ia termasuk dalam jenis haiwan yang boleh disembelih. Sekiranya tidak, hukumnya adalah haram — untuk memakannya. (Lihat Asna al-Matalib, 1/566)

Tambahan pula Imam al-Syafi‘i juga ada menyebutkan bahawa untuk menentukan haiwan tersebut dalam kategori haiwan buruan yang mana, maka lihatlah haiwan itu hidupnya lebih banyak di darat atau di laut. Termasuk juga dalam kategori haiwan yang mengambil hukum haiwan laut ialah haiwan yang tinggal di dalam air perigi, paya, air tawar, air masin, air sedikit, air banyak dan lain-lain. (Lihat al-Umm, 2/199; 2/230)

Dr. Soleh bin Fauzan al-Fauzan ada menukilkan pendapat dalam kalangan ulama mazhab Hanbali yang berpendapat bahawa semua haiwan laut (hidupan air) yang dapat hidup di atas daratan adalah tidak halal untuk dimakan kecuali setelah disembelih mengikut syarak seperti burung air, penyu, dan anjing laut, melainkan haiwan yang tidak mempunyai darah merah seperti ketam kerana ia adalah halal untuk dimakan tanpa berhajat kepada sembelihan. (Lihat al-At‘imah wa Ahkam al-Said wa al-Zaba’ih, hlm. 91)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa mang atau mud lobster adalah halal dimakan selagi mana tiada nas yang jelas mengharamkannya dan tidak memberi mudarat kepada pemakannya. Lebih-lebih lagi, ‘uruf atau adat setempat menunjukkan ia dimakan dan menjadi antara juadah istimewa serta tidak dianggap jijik. Selain itu, makan lobster atau udang karang — yang terdiri daripada pelbagai spesies — ini juga sudah tidak lagi menjadi pelik, ganjil atau asing, bahkan sebaliknya ia sudah menjadi perkara yang umum oleh kebanyakan manusia.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 28 Februari 2022 bersamaan 26 Rejab 1443H

 

[1] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Thalassina_anomala. Diakses pada 25 Februari 2022.

[2] Lihat http://www.wildsingapore.com/wildfacts/crustacea/othercrust/lobster/thalassina.htm, https://wiki.nus.edu.sg/display/TAX/Thalassina+anomala+-+Mud+Lobster. Diakses pada 28 Februari 2022.

[3] Lihat Utusan Borneo (Sarawak) bertajuk: Mang sumber rezeki penduduk Kuala Matu, bertarikh 2 Ogos 2020,  https://www.pressreader.com/. Diakses pada 28 Februari 2022.

[4] Lihat https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2016/01/105908/mang-jingga dan lihat juga https://www.youtube.com/watch?v=47wrMLv7Hfo.  Diakses pada 28 Februari 2022.

[5] Yakni kehidupannya lebih banyak di dalam air.

[6] Yakni kehidupannya lebih banyak di atas daratan.