Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Siapakah yang disebut sebagai kelompok al-Baihasiyyah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ ۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ
Maksudnya: Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.
(Surah al-Baqarah: 147)
Al-Syaukani berkata: “Ayat ini ditujukan kepada Nabi SAW namun sebagai umatnya kita juga diperintahkan untuk tidak menjadi orang yang ragu-ragu kerana keraguan seringkali membuat jiwa kita mengalami tekanan dan was-was. Maka selayaknya kita mengambil yang yakin dan membuang yang meragukan. Sekali lagi tinggalkan semua yang meragukan baik yang berkenaan dengan perkara dunia mahupun akhirat dan beralihlah pada sesuatu yang menyakinkan dan tidak meragukan.” (Lihat Fath al-Qadir, 1/179)
Menjawab persoalan di atas, mereka ialah pengikut Abu Baihas al-Haysam bin Jabir. Sesetengah ulama’ berkata namanya ialah al-Haysam bin ‘Amir. Pada mulanya, dia menjadi pengikut mazhab Khawarij Ibadiyyah. Kemudian, dia tidak bersetuju dengan mazhab itu, lalu mengadakan mazhab sendiri dengan mengambil jalan tengah antara mazhab Ibadiyyah dengan Azariqah.
Permulaan kemunculannya adalah, dikatakan bahawa, Nafi’ bin Al-Azraq telah menulis sebuah buku khusus untuk Khawarij, di mana dia menggesa mereka untuk berjuang dan memperingatkan mereka tentang bahaya duduk dan malas dari jihad. Dia menggunakan dalil tentang larangan tinggal di antara mereka yang menentang, dengan mengatakan bahawa Allah tidak memberi izin kepada sesiapa pun untuk tertinggal, lalu dia berkata: (Berangkatlah, ringan dan berat).
Ketika Abu Baihas mendengar tentang ini, dia menyangkal perkataan ini dan dengan cepat mengumumkan pendapatnya. Dia berkata: “Saya percaya bahawa musuh kita adalah seperti musuh Rasulullah SAW. Kita dibenarkan untuk tinggal di antara mereka, seperti yang dilakukan oleh Muslim ketika mereka tinggal di Mekah. Hukum orang-orang musyrik berlaku di sana. Saya juga percaya bahawa perkahwinan dan warisan mereka adalah halal kerana mereka adalah munafik yang menunjukkan Islam, dan hukum mereka di sisi Allah adalah hukum orang-orang musyrik.” Dia kemudian berpisah dari mereka bersama sekelompok sahabatnya.
Antara ajarannya ialah:
- Iman ialah mengetahui yang hak dan perbezaannya dengan yang batil, di samping mengetahui dengan hati, bukannya dengan akal dan amal.
- Kanak-kanak orang Mukmin, hukumnya Mukmin, dan kanak-kanak orang kafir, hukumnya kafir.
- Bersepakat dengan mazhab Qadariyyah dalam perkara qadar, iaitu Allah menyerahkan kepada hamba dalam perbuatannya. Maka, hamba tidak lagi mempunyai hubungan dengan kehendak Allah. (Lihat Sejarah Mazhab Aqidah dan Firqah Umat Islam, 125)
Marilah sama-sama kita menekuni ilmu daripada guru yang mursyid, yang berpandukan kepada Kitabullah dan Sunnah Rasulullah SAW agar kefahaman kita benar-benar mengikut neraca Syariat Islam. Daripada Kathir bin Abdillah bin Amr bin Auf, daripada bapanya, daripada datuknya (Auf R.A), bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
Maksudnya: “Aku telah tinggalkan buat kalian dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kalian berpegang pada keduanya iaitu kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.”
Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ (3)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)