Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh kongsikan, kelompok yang dikenali sebagai al-’Ajaridah pada zaman awal Islam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا
Maksudnya: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya.
(Surah al-Hasyr: 7)
Imam Ibn Kathir berkata selagi mana suruhan itu daripada Nabi hendaklah dilakukan dan apa yang dilarang hendaklah ditinggalkan. Sesungguhnya apa yang diperintahkan Baginda akan membawa kepada kebaikan dan apa yang dilarang itu akan membawa kepada keburukan. Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim (13/485).
Mereka ialah pengikut ‘Abd al-Karim bin ‘Ajrad yang pada mulanya menjadi pengikut ‘Atiyyah bin al-Aswad al- Hanafi, kemudian dia mempunyai pendapatnya yang tersendiri lalu mengumpulkan pengikut. Ada juga ulama’ yang menyatakan bahawa ‘Abd al-Karim pernah menjadi pengikut Abu Baihas, tetapi akhirnya bertelingkah dengannya.
Kelompok al-’Ajaridah dikaitkan dengan Abdul Karim bin ‘Ajrad, yang berasal dari Sijistan. Abdul Karim bin ‘Ajrad merupakan seorang pemimpin terkemuka dalam kalangan Khawarij. Beliau berasal dari ‘Atawiyyah (العطوية), yang merujuk kepada pengikut ‘Atiyyah bin al-Aswad al-Hanafi di Sijistan. Ini menunjukkan bahawa dalam asal mazhabnya, beliau adalah dari Najdat. Ibn Hazm telah menghubungkannya dengan Safriyyah (الصفرية), dan al-Shahrastani telah menunjukkan bahawa pada asalnya, beliau adalah dari pengikut Abu Baihas. Yang zahirnya, asal-usul Abdul Karim bin ‘Ajrad adalah dari orang-orang Parsi, seperti kebanyakan pengikutnya juga dari Parsi. Imam al-Baghdadi berkata: Apabila Khawarij berbeza pendapat, mereka menjadi dua puluh kumpulan, antaranya: al-Muhakkimah al-Ula, al-Azariqah, al-Najadat, al-Safriyyah, dan al-’Ajaridah.[1]
Antara ajaran mereka ialah:
- Menafikan Surah Yusuf daripada al-Quran al-Karim. Menurut mereka, Surah Yusuf hanyalah satu kisah sahaja kerana dalamnya ada perkara-perkara fasiq. Maka, ia tidak termasuk daripada al-Quran al-Karim.
- Kanak-kanak orang-orang Musyrikin masuk ke dalam Neraka bersama ibu bapa mereka.
- Mengerjakan dosa besar menjadi kafir.
- Berhijrah hanyalah suatu fadilat bukannya fardu. (Lihat Sejarah Mazhab Aqidah dan Firqah Umat Islam, 121-124)
Marilah kita berpegang dengan ajaran al-Quran dan Sunnah yang sebenar sebagaimana sabda Nabi SAW: Daripada Kathir bin Abdillah bin Amr bin Auf, daripada bapanya, daripada datuknya (Auf R.A), bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
Maksudnya: “Aku telah tinggalkan buat kalian dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kalian berpegang pada keduanya iaitu kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.”
Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ (3)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)
Nota Hujung: