#6086: Wanita dalam Iddah Menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Sanak-Saudara

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah seorang yang masih dalam iddah menghadiri majlis berbuka puasa bersama sanak-saudara? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Takrifan ‘Iddah dan Kewajipannya

‘Iddah dari sudut bahasa bermaksud kiraan, hitungan atau bilangan. Ini kerana ia merangkumi bilangan suci daripada haid dan juga bilangan bulan.

Manakala dari segi istilah, ‘iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta‘abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/61).

‘Iddah kerana kematian ialah ‘iddah yang diwajibkan kepada isteri yang kematian suami:

  • Jika perempuan itu mengandung semasa kematian suaminya, maka ‘iddahnya berakhir dengan kelahiran anaknya sama ada ‘iddah itu mengambil masa yang panjang atau pendek.
  • Jika isteri tidak mengandung atau mengandung akan tetapi bukan daripada benih suami yang meninggal dunia. Ini seperti isteri mengandung, sedangkan suaminya belum baligh atau suaminya telah lama hilang melebihi empat tahun sama ada dia telah menyetubuhi isterinya ataupun belum, maka ‘iddahnya adalah dengan berakhirnya empat bulan sepuluh hari. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji 3/63).

Perempuan yang berada di dalam ‘iddah kerana kematian wajib ke atasnya melakukan perkara seperti berikut:

Pertamanya, berkabung atas kematian suaminya dengan tidak berhias dan mengenakan bau-bauan seperti bersolek, memakai baju berwarna terang, memakai barang kemas dan selainnya.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah R.Anha:

لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ مُسْلِمَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أَنْ تُحِدَّ فَوْقَ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ، إِلاَّ عَلَى زَوْجِهَا أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya:Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat berkabung di atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan apabila kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan dan sepuluh hari.”

Riwayat al-Bukhari (5339)

Keduanya, dia wajib menetap di rumah yang didudukinya selama tempoh ‘iddah. Isteri juga tidak dibenarkan keluar melainkan sekiranya ada keperluan dan hajat. Ini seperti membeli keperluan makanan, bekerja sekiranya tidak dibenarkan untuk tinggal di rumahnya secara berterusan sepanjang dalam tempoh ‘iddah dan isteri terpaksa menghilangkan kesunyian dengan berbual-bual bersama jiran. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/71-73).

Keharusan untuk keluar rumah kerana keperluan adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Jabir R.A:

طُلِّقَتْ خَالَتِي فَأَرَادَتْ أَنْ تَجُدَّ نَخْلَهَا فَزَجَرَهَا رَجُلٌ أَنْ تَخْرُجَ فَأَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: بَلَى فَجُدِّي نَخْلَكِ فَإِنَّكِ عَسَى أَنْ تَصَدَّقِي أَوْ تَفْعَلِي مَعْرُوفًا

Maksudnya:Ibu saudaraku telah diceraikan dan dia ingin memetik buah tamarnya, tetapi seorang lelaki telah menegahnya keluar. Lalu, dia pergi menemui Nabi SAW. Lantas Baginda bersabda: ‘Ya, keluarlah dan petiklah buah tamar itu. Mudah-mudahan engkau akan bersedekah ataupun melakukan kebaikan.”

Riwayat Muslim (1483)

Imam al-Nawawi menyebutkan, hadith ini adalah dalil membolehkan wanita yang dalam ‘iddah ba’in untuk keluar bagi suatu hajat atau keperluan. Pendapat mazhab Malik, al-Thauri, al-Laith, al-Syafi‘i, Ahmad dan lain-lain ulama bahawa dibenarkan wanita beriddah ba’in itu keluar pada hari siang bagi suatu hajat. Mereka juga mengharuskan juga keluar bagi wanita yang kematian suami dan dalam hal ini dipersetujui juga oleh Abu Hanifah sekalipun dalam kes talak ba’in beliau berpendapat tidak boleh keluar, sama ada malam ataupun siang. Hadith ini juga adalah dalil bahawa digalakkan bersedekah dengan tamar apabila tiba masa menuainya, begitu juga dengan memberinya sebagai hadiah. Digalakkan juga agar pemilik tamar itu sendiri yang melakukan serta mengingatkan perkara yang makruf dan kebaikan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/108).

Imam al-Nawawi berkata lagi: Perempuan yang kematian suami boleh keluar ketika dalam iddah kematian tersebut (dengan hajat), begitu juga bagi yang dalam ‘iddah ba’in pada siang hari untuk membeli makanan dan seumpamanya, dan juga pada malam hari dengan jiran tetangga untuk bercakap, dan seumpamanya, dengan syarat dia pulang dan bermalam di rumahnya. (Lihat al-Minhaj al-Talibin, hlm. 256-257)

Rukhsah dan keharusan ini terikat dengan satu syarat iaitu hendaklah wanita yang beriddah tadi hanya keluar pada waktu siang dan mesti balik bermalam ke rumah tempat iddahnya. Fakta ini ada disebutkan oleh Imam Syamsuddin al-Ramli apabila mensyarahkan perkataan Imam al-Nawawi: [Dengan syarat hendaklah wanita itu pulang ke dan bermalam di rumahnya] sepertimana yang riwayat daripada al-Syafi‘i dan al-Baihaqi – semoga Allah Ta’ala merahmati mereka berdua: Sesungguhnya ramai orang lelaki telah syahid sewaktu Perang Uhud. Lalu golongan wanita (balu-balu itu) berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami berasa takut berada di rumah-rumah kami lalu kami bermalam di rumah salah seorang daripada kalangan kami.” Lalu Baginda SAW mengizinkan mereka untuk berbual di rumah salah seorang daripada mereka, tetapi apabila waktu tidur, setiap seorang daripada mereka hendaklah balik ke rumah masing-masing.”  (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 7/156)

Selain itu, dalam al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir oleh Ibn Hajar al-Haitami (2/101) ada dinyatakan bahawa keluarnya wanita yang dalam ‘iddah dari rumah yang diwajibkan untuknya berada sehingga selesai tempoh ‘iddahnya tanpa sebarang alasan yang diizinkan oleh syarak adalah termasuk dalam dosa-dosa besar. Hal ini kerana kewajipannya untuk berada di rumahnya itu adalah hak yang pasti yang telah ditetapkan oleh Allah SWT bagi memelihara nasab dan selainnya.[1]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa wanita yang sedang dalam tempoh ‘iddah tidak dibolehkan untuk menghadiri majlis berbuka puasa bersama sanak-saudara. Ini kerana jika dia tidak menghadiri majlis berbuka puasa itu sekalipun, ia tidak memberi kesan apa-apa kepada dirinya kerana ia bukanlah suatu keperluan mahupun darurat. Sebaliknya, kewajipannya adalah untuk tetap berada di dalam rumah sepanjang tempoh tersebut dan tidak keluar darinya melainkan kerana suatu hajat dan keperluan.

Ini selari sebagaimana dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi wanita yang ber‘iddah kerana kematian suami. Antara perkara-perkara yang mesti dipatuhi oleh mereka ialah:

  • Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.
  • Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan juga semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.
  • Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam. Namun, pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawat dan sebagainya. Bagi larangan bermusafir, ia termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.
  • Berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal sepanjang tempoh perkahwinan. Namun, sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir, tanah runtuh, gempa bumi dan sebagainya, mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang atau dapat diatasi.
  • Wajib berkabung sepanjang tempoh ‘iddah. Oleh itu, sepanjang dalam tempoh tersebut, mereka wajib meninggalkan semua perkara yang mempunyai unsur-unsur berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan. Termasuk dalam larangan berhias ini ialah:
  • Memakai pakaian berwarna terang atau berwarna-warni yang boleh menarik perhatian orang yang memandang;
  • Memakai barang-barang kemas walaupun sebentuk cincin, gelang, rantai dan barang-barang perhiasan lain yang diperbuat daripada emas, perak dan permata;
  • Memakai wangi-wangian pada anggota badan, rambut dan pakaian; dan
  • Bersolek, memakai celak, berinai dan memakai minyak rambut serta perbuatan-perbuatan lain yang dianggap sebagai berhias pada pandangan masyarakat setempat.[2]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Nota Hujung:

[1] Lihat https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=2884. Diakses pada 19 Mei 2023.

[2] Lihat https://www.islam.gov.my/ms/garis-panduan/479-garis-panduan-ber-iddah-bagi-wanita-yang-bercerai-atau-kematian-suami. Diakses pada 19 Mei 2023.