#6091: Kewajipan Haji Bagi Orang yang Trauma Menaiki Kapal Terbang

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Orang yang trauma menaiki kapal terbang, adakah wajib ke atasnya ibadah haji?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kami melihat masalah yang saudara nyatakan ini lebih cenderung ke arah fobia berbanding trauma. Trauma dan fobia ini seakan-akan sama pada kesannya, tetapi terdapat perbezaan yang perlu kita fahami. Trauma menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat didefinisikan sebagai suatu rasa terkejut sehingga terganggu fikiran yang amat sangat, yang meninggalkan kesan yang mendalam, menakutkan dan berpanjangan.[1] Fobia pula bermaksud ketakutan yang amat sangat akan sesuatu.[2] Menurut portal rasmi MyHealth di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia, fobia adalah sejenis penyakit mental yang berkaitan dengan psikologi. Fobia biasanya menzahirkan emosi takut yang melampau tanpa suatu sebab yang jelas dan tidak rasional.[3]

Kami cuba bawakan sedikit penjelasan agar kita dapat lihat dengan baik perbezaan antara trauma dan juga fobia. Menurut  American Psychological Association (APA), trauma merupakan tindak balas emosi terhadap peristiwa yang dahsyat, seperti kemalangan, jenayah, bencana alam, penderaan fizikal atau emosi, pengabaian, mengalami atau menyaksikan keganasan, kematian orang yang disayangi, peperangan dan banyak lagi. Sejurus selepas peristiwa itu, kejutan dan penafian (menipu diri sendiri) adalah tipikal. Reaksi jangka panjang termasuk emosi yang tidak dapat dijangka, terkenang kembali, ketegangan dalam perhubungan, dan juga gejala fizikal seperti sakit kepala atau loya.[4] Adapun fobia, ia sejenis gangguan kecemasan (anxiety disorder) yang menyebabkan seseorang individu mengalami ketakutan yang melampau, tidak rasional tentang sesuatu situasi, makhluk hidup, tempat atau objek, dan fobia ini didiagnosis sebagai kecelaruan mental (mental disorders).[5] Berdasarkan kefahaman kami, trauma ini berpunca dari peristiwa tertentu yang memberikan kejutan, berbeza dengan fobia yang boleh dialami kerana masalah kesihatan mental seseorang.

Mengapa kami katakan bahawa masalah ini lebih dekat kepada fobia? Ini disebabkan ketakutan untuk menaiki kapal terbang ini disebutkan sebagai Aviophobia. Salah satu faktor yang mendorong ketakutan untuk terbang ialah liputan media mengenai kemalangan kapal terbang. Melihat imej nahas kapal terbang di television atau di akhbar boleh mempengaruhi pendapat seseorang tentang keselamatan perjalanan udara tanpa mengambil kira risiko sebenar yang terlibat. Pada hakikatnya, ketakutan ini berpunca dari beberapa faktor lain, seperti; takut terhadap tempat sempit (claustrophobia), takut berada di tempat ramai orang (enochlophobia), takut terhadap ketinggian (acrophobia), dan sebagainya.[6] Sebuah kajian pernah dijalankan oleh sekumpulan pengkaji dari Norway pada tahun 2019, mereka mengkaji beberapa isu anxiety yang direkodkan sejak tahun 1986 sehingga tahun 2015. Mereka menyenaraikan beberapa punca lain yang menyebabkan fobia ini berlaku, antaranya apabila seseorang itu mendengar bunyi-bunyi ganjil yang datang dari kapal terbang, takut terhadap gelora udara (turbulence), takut jika berlakunya serangan pengganas, dan lain-lain.[7]

 

Kewajipan Haji bagi Penghidap Aviophobia

Berbalik kepada persoalan utama yang diajukan, kami katakan terlebih dahulu bahawa kewajipan haji ini ditetapkan bagi mereka yang mempunyai kemampuan untuk mengerjakannya. Ini jelas disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.”

(Surah Ali ‘Imran: 97)

Lafaz ‘الاسْتِطَاعَةُ’ yakni berkemampuan, yang dimaksudkan pada firman Allah SWT di atas bukanlah pada kekuatan jasmani semata-mata. Ini kerana jika yang dikehendaki oleh Allah SWT dengannya ialah kekuatan jasmani, maka ianya tidak perlu disebutkan kerana telah diketahui bahawa Allah SWT tidak pernah membebankan seseorang melainkan dia mampu untuk menggalasnya. (Lihat Al-Muhalla, 7/54; Subul al-Salam, 2/180)

Maksud berkemampuan dengan sendirinya ialah:

  • Mampu mengadakan bekalan dan perbelanjaan untuk diri dan saraan nafkah mereka yang di dalam tanggungan dan yang ditinggalkan.
  • Mampu mendapatkan kenderaan pergi dan balik.
  • Aman perjalanan bagi diri dan harta daripada musuh dan wabak penyakit.
  • Sihat tubuh badan.
  • Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-‘Umrah, 1/96; al-Fiqh al-Manhaji, 2/123)

Adapun mereka yang menghidapi masalah aviophobia ini, mereka bukanlah tergolong dalam kalangan mereka yang tidak berkemampuan secara mutlak, kerana masalah tersebut boleh didepani dan dirawat. Kaedah fiqh ada menyebut:

مَا لَا يَتِمُّ الْوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

Maksudnya: “Suatu perkara yang mana tidak sempurna suatu kewajiban itu melainkan dengan perkara tersebut, maka hukumnya juga adalah wajib.”

Kewajipan haji itu pula tidak boleh untuk ditunaikan melainkan dengan mendapatkan rawatan, maka hukum mendapatkan rawatan ketika itu menjadi suatu kewajipan ke atasnya. Terdapat juga beberapa alternatif untuk mencegah aviophobia ini dari tercetus semasa penerbangan, antaranya seperti yang dinyatakan dalam portal rasmi MyHealth:

  • Perancangan yang baik adalah penting untuk mengatasi kebimbangan. Dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan. Dapatkan vaksinasi dan ubat-ubatan yang diperlukan dengan lebih awal.
  • Bayangkan tentang hari berlepas sebelum melakukan penerbangan yang sebenar.
  • Buat tempahan tempat duduk dan makanan khas yang mungkin diperlukan.
  • Jika terdapat sebarang keperluan khas, hubungi syarikat penerbangan dengan lebih awal bagi membincangkan keperluan tersebut (contohnya kerusi roda dan bantuan sebelum dan semasa menaiki pesawat).
  • Jika tidak pernah ke lapangan terbang sebelum ini, bertolaklah lebih awal atau peruntukkan lebih banyak masa atau buat cubaan sebelum hari perjalanan untuk mengelakkan sebarang kelewatan.
  • Jika berasa cemas, sibukkan diri dengan membaca, menonton televisyen atau lakukan perkara lain yang boleh menenangkan.
  • Elakkan meminum alkohol atau pengambilan dadah sebagai kaedah untuk menenangkan diri. Alkohol tidak menghilangkan kebimbangan, malah boleh memburukkan lagi keadaan.
  • Jika melakukan penerbangan yang jauh, elakkan penerbangan transit.[8]

Akan tetapi, sekiranya penerbangan masalah yang dihidapi tersebut memberikan kesan yang teruk seperti sebarang bentuk penyakit mental atau kemurungan, maka kami lebih cenderung mengatakan bahawa ibadah haji tersebut belum lagi diwajibkan ke atasnya sehinggalah dia mampu untuk mendapatkan pengangkutan pergi dan pulang dengan selamat. Seperti yang kita lihat di kaca television kini, beberapa individu telah berjaya menunaikan haji dengan menaiki kenderaan lain seperti motosikal dan juga kereta. Sekiranya saudara mampu, maka berusahalah dan buatlah persiapan sebaik-baiknya dari segenap aspek untuk mengerjakan ibadah haji dengan menaiki motosikal atau kereta. Sekiranya tidak mampu, maka kewajipan haji belum ditetapkan ke atasnya kerana dia tidak termasuk dalam kalangan mereka yang berkemampuan.

Kami sarankan agar saudara dapatkan nasihat doktor serta rawatan sesegera mungkin agar masalah ini tidak berlanjutan. Semoga dengan ikhtiar dan juga usaha tersebut, Allah SWT meredhai saudara dan memberikan sebaik-baik ganjaran, serta menjemput kita sebagai tetamu-Nya untuk menunaikan haji. Amin. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ يَسِّرْ لَنَا زِيَارَةَ بَيْتِكَ الْحَرَامِ بِالْحَجِّ

Maksudnya: “Ya Allah, permudahkanlah bagi kami untuk menziarahi rumah-Mu Masjidil Haram dengan menunaikan haji.”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=trauma. Diakses pada 13 Jun 2024.

[2] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=fobia. Diakses pada 13 jun 2024.

[3] Lihat http://myhealth.moh.gov.my/1-34/. Diakses pada 13 Jun 2024.

[4] Lihat https://www.apa.org/topics/trauma/. Diakses pada 13 Jun 2024.

[5] Lihat https://www.medicalnewstoday.com/articles/249347. Diakses pada 13 Jun 2024.

[6] Lihat https://www.medicalnewstoday.com/articles/10609#causes_aviophobia. Diakses pada 13 Jun 2024.

[7] Lihat https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/30922426/. Diakses pada 13 Jun 2024.

[8] Lihat http://www.myhealth.gov.my/takut-menaiki-pesawat-aviophobia/. Diakses pada 13 Jun 2024.