#6093: Wanita Terlupa dengan Memakai Niqab dalam Ihram

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Seorang wanita niat ihram kemudian terlupa pakai niqab sehari lebih kemudian baru ingat adakah dikenakan dam? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asalnya wanita yang berada dalam keadaan ihram tidak dibolehkan untuk menutup mukanya dan memakai sarung tangan kerana ia termasuk dalam perkara-perkara yang dilarang dalam ihram bagi wanita. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 502; al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/396). Adapun pakaian selain daripada dua perkara itu, mereka bebas untuk memakainya dengan syarat menutup aurat. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma:

أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: نَهَى النِّسَاءَ فِي إِحْرَامِهِنَّ عَنِ القُفَّازَيْنِ وَالنِّقَابِ

Maksudnya:Beliau mendengar Rasulullah SAW melarang kaum wanita semasa dalam ihram mereka daripada memakai sarung tangan dan menutup muka.

Riwayat Abu Daud (1827)

Dalam riwayat yang lain menyebut:

وَلَا تَنْتَقِبْ الْمَرْأَةُ الْمُحْرِمَةُ وَلَا تَلْبَسْ الْقُفَّازَيْنِ

Maksudnya:Wanita yang dalam ihram tidak boleh menutup wajahnya dan tidak boleh juga memakai sarung tangan.

Riwayat al-Bukhari (1838)

Walau bagaimanapun, perkara-perkara yang diharamkan semasa ihram hanya menjadi haram sekiranya ia memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Haram bagi seseorang yang telah ihram melakukan perkara-perkara yang diharamkan, jika dengan sengaja, diketahui haramnya, dengan ikhtiyarnya (pilihan) sendiri serta telah mukallaf.
  2. Tidak haram jika tidak memenuhi syarat di atas. (Lihat Matla‘ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/307)

Begitu juga Habib Hasan al-Kaff ada menyatakan bahawa di antara perkara yang dimaafkan jika ia dilakukan oleh orang yang lupa (tidak sengaja) dan jahil (tidak tahu keharamannya) adalah perkara yang dilakukan bagi tujuan berhias/bersenang-lenang seperti memakai wangi-wangian, berjima‘, memakai pakaian yang berjahit, menutup wajah dan kepala, dan memakai minyak, maka tidak wajib ke atas kedua-duanya (orang yang lupa dan jahil) membayar fidyah (dam). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 502)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa seorang wanita yang berniat ihram kemudian dia terlupa dengan memakai niqab dalam keadaan ihram, maka tidak mengapa dan dia tidak dikenakan dam akan hal tersebut kerana dia terlupa dan tidak sengaja melakukannya. Akan tetapi dengan syarat dia hendaklah segera membuka niqab tersebut bila mana dia tersedar akan ketidaksengajaan yang dilakukannya. Sekiranya dia sengaja melengah-lengahkannya tanpa sebarang sebab yang diizinkan syarak, maka dia dikenakan dam.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.