Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, bolehkah ambil wuduk sambil mandi?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kewajiban Berwuduk Sebelum Bersolat
Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”
(Surah al-Ma’idah: 6)
Ambil Wuduk Ketika Mandi
Mengambil wuduk sambil mandi hukumnya harus dan dibolehkan. Wuduk tersebut juga sah hukumnya, selagi seseorang tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan wuduk selepas itu seperti berhadas kecil atau menyentuh kemaluan dengan tapak tangan yang lazimnya kedua-dua perkara ini dilaksanakan ketika seseorang di dalam bilik air.
Rasulullah SAW juga mengambil wuduk ketika sebelum melaksanakan mandi wajib. Daripada ‘Aisyah R.Anha, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنَ الْجَنَابَةِ يَبْدَأُ فَيَغْسِلُ يَدَيْهِ، ثُمَّ يُفْرِغُ بِيَمِينِهِ عَلَى شِمَالِهِ فَيَغْسِلُ فَرْجَهُ، ثُمَّ يَتَوَضَّأُ وُضُوءَهُ لِلصَّلَاةِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW, apabila baginda mandi wajib, baginda akan mula dengan membasuh kedua-dua tangan baginda, kemudian baginda akan mengambil air dengan tangan kanan baginda, dan membasuh kemaluan dan memulakan dengan bahagian kiri dahulu. Kemudian, baginda berwuduk seperti wuduk hendak menunaikan solat.”
Riwayat al-Bukhari (248)
Daripada hadith di atas, kita dianjurkan untuk berwuduk secara sempurna sebelum mandi wajib. Imam Ibn al-Mulaqqin berkata: “Diambil daripada hadith ini: anjuran untuk mendahulukan basuhan anggota wuduk ketika mandi wajib, zahir hadith ini menunjukkannya sebagai tata cara wuduk yang hakiki.” (Lihat al-Taudih li Syarh al-Jami‘ al-Sahih, 4/547)
Menerusi hadith di atas juga, kita juga dapat mengetahui kebolehan berwuduk sambil mandi, sama ada mandi wajib, mandi sunat atau mandi mubah yang diamalkan setiap hari.
Amaran Jangan Membazir Ketika Wuduk
Namun, kami menasihati agar tidak membazir dalam penggunaan air ketika berwuduk, khususnya bagi sesiapa yang mandi menggunakan ‘shower’, iaitu pancuran air daripada arah atas. Jumlah air yang digunakan untuk mandi turut digunakan untuk berwuduk. Hal ini boleh menyebabkan pembaziran secara tidak sedar. Antara perkara sunat Ketika berwuduk adalah menggunakan air dalam kuantiti yang sedikit.
Allah SWT berfirman:
إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِینَ كَانُوۤا۟ إِخۡوَ ٰنَ ٱلشَّیَـٰطِینِۖ وَكَانَ ٱلشَّیۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورࣰا
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan. Dan syaitan itu kufur mengingkari Tuhannya.”
(Surah al-Isra’: 27)
Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As meriwayatkan bahawa:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ مَرَّ بِسَعْدٍ وَهُوَ يَتَوَضَّأُ، فَقَالَ: مَا هَذَا السَّرَفُ يَا سَعْدُ؟! قَالَ: أَفِي الْوُضُوءِ سَرَفٌ؟! قَالَ: نَعَمْ، وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ
Maksudnya: “Nabi SAW berjalan melewati Sa‘d yang sedang berwuduk, lantas baginda menegur: ‘Mengapa kamu membazir ini, wahai Sa‘d?’ Sa‘d bertanya: ‘Dalam berwuduk pun ada membazirkah?’ Nabi menjawab: ‘Ya, sekalipun engkau berwuduk menggunakan air sungai yang mengalir’.”
Riwayat Ahmad (7065) dan Ibn Majah (425)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami dalam kalangan orang-orang yang bertaubat, jadikan kami dalam kalangan orang-orang yang pembersih, dan jadikan kami dalam kalangan hamba-hamba-Mu yang soleh.”
Wallahu a‘lam.