#6098: Jarak Imam dan Makmum

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, berapakah jarak antara imam dengan makmum?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Merapatkan saf dengan sempurna merupakan perkara yang sunat lagi dituntut ketika melaksanakan solat secara berjemaah, bagi beroleh ganjaran dan pahala solat berjemaah yang dijanjikan.

Sunnah Merapatkan Saf Solat Berjemaah

Rasulullah SAW bersabda:

رُصُّوا صُفُوفَكُمْ وَقَارِبُوا بَيْنَهَا وَحَاذُوا بِالأَعْنَاقِ

Maksudnya: “Rapatkan saf kalian (ketika bersolat), dekat-dekatkanlah saf kalian, samakan leher-leher.”

Riwayat Abu Daud (667)

Imam Ibn ‘Allan al-Siddiqi mensyarahkan hadith ini berkata, maksud: “Dekat-dekatkanlah saf kalian”, adalah hendaklah jarak antara dua saf adalah sebanyak lebih kurang 3 hasta. Jika terlebih dari 3 hasta, maka hukumnya adalah makruh, dan terluputlah pahala berjemaah jika tiada sebarang uzur seperti sama ada kerana terlalu panas atau terlalu sejuk misalnya.” (Lihat Dalil al-Falihin li Turuq Riyadh al-Salihin, 6/574)

Jarak Antara Imam dan Makmum

Oleh yang demikian, para ulama mazhab al-Syafie menegaskan bahawa jarak antara saf, begitu juga antara imam dengan makmum adalah sebanyak 3 hasta.  Jarak ini ditegaskan oleh al-Qadhi Husain, Imam al-Nawawi dan lain-lain ulama mazhab al-Syafie.

Imam al-Syabramalisi menukilkan pendapat Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’, beliau berkata: “Al-Qadi (Husain) dan lain-lain ulama (mazhab al-Syafie) bahkan ditegaskan oleh (Imam al-Nawawi) di dalam kitab al-Majmu’ berkata: Sunnah adalah imam dan makmum lelaki di belakangnya tidak melebihi jarak lebih kurang 3 hasta, sepertimana ukuran jarak antara saf-saf yang lain juga.” (Lihat Hasyiah al-Syabramalisi ‘ala Nihayah al-Muhtaj, 2/187)

Ukuran 3 hasta kini adalah sebanyak 135 cm. Kebanyakkan masjid dan surau di Malaysia khususnya telah pun menepati jarak yang digariskan ini, sekaligus memenuhi syarat-syarat solat berjemaah.

Titik Berat Kesempurnaan Saf

Kami menasihati sekalian umat Islam agar merapatkan saf dengan sempurna ketika mendirikan solat berjemaah. Hal ini kerana, kesempurnaan saf termasuk di dalam kesempurnaan solat.

Kesempurnaan saf juga berkait rapat dengan kesatuan dan perpaduan umat Islam. Jika saf dirapatkan dengan sempurna, maka rapat dan kuat jugalah perpaduan umat Islam ini.

‘Uqbah bin ‘Amru meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اسْتَوُوا، ولا تَخْتَلِفُوا، فَتَخْتَلِفَ قُلُوبُكُمْ

Maksudnya: “Rapatkan (saf), jangan renggangkan saf, nanti kelak akan renggang jua tautan hati sesama kalian.

Riwayat al-Bukhari (717) dan Muslim (436)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ ٱجۡعَلۡنِي مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِيۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلۡ دُعَآءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, jadikan aku orang yang mendirikan solat, begitu juga dengan zuriatku. Tuhanku, kabulkanlah doa kami.”

Wallahu a‘lam.