Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum meminta maaf sebelum masuknya bulan Ramadhan? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:
كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Maksudnya: “Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.”
Riwayat al-Tirmidzi (2499), Ibn Majah (4251), dan Ahmad (13049). Imam al-Suyuti di dalam al-Jami’ al-Saghir (2674) menyatakan hadith ini sahih.
Berdasarkan hadith di atas, dapat difahami bahawa kesemua anak Adam itu disifatkan sebagai seorang yang berbuat kesalahan. Sekalipun bukan semua kesalahan itu dikira dan dinilai sebagai satu dosa, akan tetapi berdasarkan kepada siyaaq (konteks) hadis secara keseluruhan, perkataan al-khata’ di dalam hadis ini jelas membawa maksud berdosa. Ini kerana, ayat selepasnya menyatakan bahawa sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan adalah mereka yang bertaubat. Umum mengetahui bahawa perbuatan dosalah yang berhajat dan memerlukan kepada taubat dan pengampunan Tuhan. Seakan yang ingin disampaikan oleh hadis di atas adalah, semua anak Adam itu berbuat dosa dan sebaik-baik mereka yang berbuat dosa adalah golongan yang bertaubat kepada Allah SWT.
Dalam menjawab persoalan yang diatas, kami katakan bahawa individu yang telah melakukan kesalahan, terutamanya yang melibatkan hak orang lain, perlu meminta maaf kepada individu yang terlibat. Ini kerana dosa terhadap manusia tidak dapat dihapuskan kecuali dengan permohonan maaf kepada individu yang berkenaan. Selain itu, individu tersebut perlu bertaubat kepada Allah dan berazam untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama. Jika kesalahan tersebut melibatkan harta atau hak milik, maka ia perlu dipulangkan atau digantikan seadilnya. Hanya dengan cara ini, seseorang dapat membersihkan dirinya dari dosa terhadap manusia dan mendapatkan pengampunan dari Allah.
Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan darpada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ ، فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ اليَوْمَ ، قَبْلَ أَنْ لاَ يَكُونَ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ ، إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ ، وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang memiliki kezaliman terhadap saudaranya, hendaklah ia segera minta dihalalkan. Sebab dinar dan dirham (di hari kiamat kelak) tidak akan memberinya manfaat. Kezaliman seseorang akan dibalas dengan cara kebaikannya yang diberikan kepada saudaranya (yang terzalimi), sehingga bilamana ia tidak memiliki kebaikan lagi, keburukan saudaranya (yang terzalimi) akan diambil dan dipikulkan kepadanya.”
Riwayat Bukhari (2449)
Al-Qurtubi menyatakan: Jika sesuatu dosa itu berkaitan dengan sesama manusia,maka tidak sah taubat darinya melainkan hak orang yang dizalimi itu dikembalikan sekiranya dia mampu untuk mengembalikannya. Jika dia tidak mampu maka hendaklah dia berazam untuk mengembalikannya bila sudah mampu. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran,18/199)
Justeru dalam isu ini kami katakan memohon keampunan dan kemafaan kepada Allah mahupun sesama manusia adalah dianjurkan pada setiap waktu kerana seseorang itu tidak mengatahui bila ajalnya tiba. Tindakan memohon maaf dan meleraikan permusuhan sebelum masuknya bulan ramadhan adalah amat dianjurkan bahkan memohon kemaafan ini termasuk dalam amalan soleh.
Oleh yang demikian, seorang Muslim, ketika bersiap sedia untuk memperbanyakkan amalan soleh dalam bulan ramadhan, dan bimbang bahawa dengan permusuhan itu dapat menghalang amalan-amalannya dari diterima Allah SWT, maka hendaklah dia memohon maaf. Perbuatan tersebut bukan sehaja dapat mendamaikan hubungan bahkan dapat juga menenangkan jiwa. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تُعرَضُ أعمالُ النّاسِ في كُلِّ جُمُعةٍ مَرَّتينِ: يومَ الاثنينِ، ويومَ الخَميسِ، فيُغفَرُ لكُلِّ عبدٍ مُؤمِنٍ إلّا عَبدًا بينه وبينَ أخيه شَحناءُ، فيُقالُ: اترُكوا -أو ارْكُوا- هذينِ حتى يَفيئا
Maksudnya: “Amalan manusia dipersembahkan dua kali setiap minggu: pada hari Isnin dan Khamis. Maka, diampunkan bagi setiap hamba yang beriman kecuali hamba yang ada permusuhan antara dia dan saudaranya. Maka dikatakan: ‘Tangguhkan – atau tinggalkan – kedua-dua ini sehingga mereka berdamai.”
Riwayat Muslim (2565)
Berdasarkan hadith-hadith ini, jelaslah hikmah larangan memutuskan hubungan lebih dari tiga hari, supaya seseorang tidak terhalang dari keampunan pada hari-hari amalan dipersembahkan. Allah lebih mengetahui keadaan-keadaan. (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 8/150)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”
Wallahu a‘lam