#6101: Membaik Pulih Masjid Lama untuk Dijadikan Rumah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum membaik pulih masjid lama yang terbiar untuk dijadikan rumah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Masjid lama ini telah menjadi suatu istilah yang difahami oleh masyarakat Islam di Malaysia, sebagai suatu masjid yang mungkin telah kurang digunakan oleh sebab pembinaan masjid baharu, atau masjid yang telah ditinggalkan tanpa diimarahkan dan didirikan padanya solat fardhu 5 waktu serta sebarang aktiviti lain. Apabila perkara ini berlaku, masyarakat Islam cuba untuk memanfaatkan semula masjid lama ini dari dibiarkan terbengkalai.

Masjid termasuk dalam salah satu senarai harta wakaf yang dibina bagi manfaat umum masyarakat muslim. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, perkataan wakaf merujuk kepada sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai atau sesuatu yang diperuntukkan bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam.[1] Menurut syara‘, wakaf bermaksud menahan suatu harta yang boleh dimanfaatkan  pada perkara yang harus menurut syara‘, di samping mengekalkan struktur fizikalnya, dengan melarangnya dari sebarang urusan jual beli. (Lihat I‘anah al-Talibin, 3/186)

Merujuk kepada persoalan yang saudara ajukan, perbahasan mengenai masalah ini amat berkait rapat dengan isu ‘menjual harta wakaf’. Hukum asal menjual harta wakaf adalah haram kerana terdapat larangan yang jelas, sebagaimana warid dalam hadith ‘Umar R.A ketika beliau bertanya kepada Rasulullah SAW tentang harta yang ingin disedekahkan, lalu Baginda SAW bersabda:

تَصَدَّقْ بِأَصْلِهِ، لاَ يُبَاعُ وَلاَ يُوهَبُ وَلاَ يُورَثُ، وَلَكِنْ يُنْفَقُ ثَمَرُهُ

Maksudnya: “Sedekahkanlah (wakafkanlah) pokoknya; ia tidak dijual, tidak dihibahkan serta tidak diwariskan, sebaliknya buahnya itu disedekahkan.”

Riwayat al-Bukhari (2764) dan Muslim (1632)

Akan tetapi, sekiranya harta wakaf itu sudah tidak lagi dimanfaatkan, maka telah hilang tujuan utama dari wakaf itu sendiri, iaitu manfaatnya yang boleh dinikmati oleh masyarakat awam. Bagi mengelakkan harta wakaf itu menjadi sia-sia, dengan melihat kepada maslahah yang lebih baik, para fuqaha’ telah membincangkan tentang hukum menjual harta wakaf tersebut agar dapat dikembalikan wang tersebut untuk manfaat umum. Kami meringkaskan perbincangan ini kepada perbahasan menjual harta wakaf yang tidak boleh alih sahaja (seperti wakaf tanah dan bangunan), terdapat perbezaan pendapat, dan kami cuba meringkaskannya kepada 2:

Pertama: Pendapat yang Mengharuskan

Ini merupakan pendapat majoriti fuqaha’ al-Hanafiyyah, mereka mengharuskan penjualan harta wakaf tidak boleh alih ini sekiranya terdapat maslahah. Akan tetapi, sekiranya diteliti pendapat mereka, ‘penjualan’ yang dimaksudkan adalah sistem tukaran dengan harta tidak boleh alih yang lain, seperti bangunan yang lebih baik atau tanah yang lebih subur, yang boleh mengembalikan semula manfaat asal harta wakaf tersebut.

Kemudian, barulah perbincangan ‘penjualan’ dengan maksud tukaran wang dibincangkan oleh mereka, sebagaimana yang dinukilkan oleh Al-‘Allamah Ibn ‘Abidin daripada Fatawa al-Lutfi. Katanya, wang yang dijadikan tukaran ganti dengan harta wakaf tersebut mesti digunakan untuk membeli sesuatu yang dapat dimanfaatkan juga sebagai harta wakaf sebagaimana manfaat harta wakaf sebelum ini. Wang tersebut tidak boleh menjadi hak milik sesiapa dan tidak juga diwarisi. (Lihat al-‘Uqud al-Durriyyah fi Tanqih al-Fatawa al-Hamidiyyah, 1/115; al-Nahr al-Fa’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq, 3/320)

Antara yang menyokong pendapat ini dari kalangan al-Malikiyyah adalah al-‘Allamah Muhammad bin Abu al-Qasim al-Sijilmasi. Beliau mengatakan, sekiranya tanah wakaf itu rosak dan tidak lagi dapat dimanfaatkan secara sepenuhnya, maka ia boleh dijual. Beginilah yang difatwakan oleh al-Qadhi Abu al-Hasan ‘Ali bin Mahsud, dan begini juga yang dinukilkan oleh Ibn Rahal daripada al-Lakhami dan ‘Abd al-Hamid. (Lihat al-Bahjah fi Syarh al-Tuhfah, 2/389)

Imam Taqiyuddin Ibn Solah al-Syafi‘i juga bersetuju dengan pendapat yang membenarkan jualan harta wakaf tidak boleh alih sekiranya dikhuatiri atau disyaki harta wakaf itu akan disia-siakan. Wang hasil jualan itu pula perlu diinfakkan bagi memastikan maslahah asal harta wakaf itu dapat diperoleh. (Lihat Fatawi Ibn Solah, 1/387)

Fuqaha’ al-Hanabilah juga antara yang berpendapat harta wakaf tidak boleh alih itu boleh untuk dijual sekiranya ia tidak dapat lagi dimanfaatkan. Ini dinukilkan sendiri oleh Syeikh Soleh bin Ahmad bin Hanbal, bahawa diharuskan boleh diubahsuai masjid untuk maslahah umum masyarakat. (Lihat Syarh Muntaha al-Iradat, 2/425; al-Insaf fi Ma‘rifah al-Rajih min al-Khilaf, 7/101)

Kedua: Pendapat yang Melarang

Fuqaha’ al-Malikiyyah dan al-Syafi‘iyyah melarang dari penjualan harta wakaf tidak boleh alih, lebih-lebih lagi apabila harta wakaf tersebut berupa masjid. Imam al-Nawawi berkata, masjid wakaf meskipun ia telah mula hancur dan tidak dapat dibaik pulih lagi, tetap tidak boleh menjualnya, dan manfaat lain dari masjid lama ini diberikan kepada mana-mana masjid lain yang terdekat. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 6/325; Minhaj al-Talibin, hlm. 170)

Mereka kekal melarang meskipun harta wakaf tersebutg tidak dapat lagi dimanfaatkan, dengan beristidlalkan hadith ‘Umar al-Khattab R.A di atas.

Tarjih

Pada zahirnya, kami lebih cenderung memilih pendapat yang membenarkan kerana harta wakaf tersebut, seperti masjid, akan dapat dikembalikan semula manfaatnya pada masjid-masjid baharu yang dibina di kawasan berdekatan. Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Baz menyebutkan, sekiranya masjid lama sudah tidak lagi digunakan setelah dibina masjid baharu, dan tidak ada sebarang keperluan untuk dimanfaatkan masjid lama tersebut, maka boleh dijual dan digunakan hasil jualan tersebut untuk tujuan pengimarahan masjid baharu. Hal yang demikian kerana, harta wakaf itu tidak boleh digunakan melainkan untuk tujuan syara‘. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 2/717)

Masjid lama itu adalah sebahagian dari harta wakaf, dan Islam melarang umatnya dari mensia-siakan harta yang mereka miliki. Oleh itu, sekiranya kita dilarang dari menjual masjid lama yang diyakini sudah tidak lagi digunakan, maka ia akan dibiarkan terbengkalai tanpa diuruskan oleh sesiapa. Pada suatu sudut, agama lain juga akan memandang rendah terhadap umat Islam yang seolah-olah tidak lagi mengambil peduli terhadap masjid tersebut yang dahulunya menjadi sebuah rumah ibadah yang meriah dengan pengabdian diri terhadap Allah SWT. Diriwayatkan dalam hadith al-Mughirah bin Syu‘bah R.A, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ كَرِهَ لَكُمْ ثَلاَثًا: قِيلَ وَقَالَ، وَإِضَاعَةَ المَالِ، وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah membenci tiga hal pada kamu; banyak berbual-bual kosong (daripada kata-kata manusia), mensia-siakan harta, dan banyak meminta-minta”

Riwayat al-Bukhari (1477) dan Muslim (593)

Antara yang menguatkan pendapat ini juga, sebuah riwayat yang dibawakan oleh al-Tabarani daripada al-Qasim, katanya, Abdullah ibn Mas‘ud R.A menceritakan ‘Umar al-Khattab R.A pernah memindahkan kedudukan sebuah masjid pada zaman pemerintahan beliau. Syeikh Baha’uddin al-Maqdisi menghurai riwayat ini seraya berkata, peristiwa tersebut berlaku dengan disaksikan oleh ramai sahabat Rasulullah SAW tanpa sebarang penentangan. Ini merupakan hujjah yang mengharuskan untuk dipindah dan diubah suatu masjid wakaf ke tempat lain, inilah yang dimaksudkan dengan penjualan. Yang demikian dapat mengekalkan manfaat harta wakaf tersebut ketika mana kita tidak dapat hendak memelihara lagi infrastruktur serta manfaatnya yang asal. (Lihat al-‘Uddah Syarh al-‘Umdah, hlm. 313)

Sekiranya jelas perbincangan ini, maka kami katakan bahawa membaiik pulih masjid lama untuk dijadikan rumah itu dibolehkan, sekiranya orang yang membaik pulih itu membayar imbalan yang bersesuaian dengan nilai masjid lama tersebut. Hal yang demikian agar wang tersebut dapat dikembalikan manfaatnya bagi penambahbaikan masjid-masjid baharu yang lain.

Meskipun begitu, pengendalian harta wakaf seperti masjid-masjid di Malaysia, semua ini tertakluk di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam bagi setiap negeri di Malaysia. Ini disebutkan dengan jelas dalam seksyen 61, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993: “Walau apa pun apa-apa peruntukan yang bertentangan yang terkandung dalam mana-mana suratcara atau perisytiharan yang mewujudkan, mengawal atau menyentuh perkara itu, Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf, sama ada wakaf am atau wakaf khas, semua nazr ‘am, dan semua amanah daripada segala perihal yang mewujudkan apa-apa amanah khairat bagi menyokong dan memajukan agama Islam atau bagi faedah orang-orang Islam mengikut Hukum Syarak.” Mereka lebih berkuasa dalam menentukan sama ada masjid lama tersebut boleh dijual kepada pihak lain untuk tujuan membaik pulih menjadi rumah, atau mengekalkan masjid lama tersebut sebagai harta wakaf yang tidak dimanfaatkan.

Kami amat berharap agar pihak-pihak yang berautoriti dapat memberikan penerangan lebih lanjut dan terperinci berkenaan masalah ini, kerana ia amat penting dalam memastikan wakaf tersebut kekal dapat dimanfaatkan oleh umum masyarakat Islam dalam apa jua bentuk.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=wakaf. Diakses pada 10 Jun 2024.