Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Apakah hukumnya ketawakan seseorang yang terkeluar angin?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Allah SWT melarang kita untuk mencemuh dengan memperolokkan dan mengejek sesama kita menerusi firman-Nya:
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا یَسۡخَرۡ قَوۡمࣱ مِّن قَوۡمٍ عَسَىٰۤ أَن یَكُونُوا۟ خَیۡرࣰا مِّنۡهُمۡ وَلَا نِسَاۤءࣱ مِّن نِّسَاۤءٍ عَسَىٰۤ أَن یَكُنَّ خَیۡرࣰا مِّنۡهُنَّۖ وَلَا تَلۡمِزُوۤا۟ أَنفُسَكُمۡ وَلَا تَنَابَزُوا۟ بِٱلۡأَلۡقَـٰبِۖ بِئۡسَ ٱلِٱسۡمُ ٱلۡفُسُوقُ بَعۡدَ ٱلۡإِیمَـٰنِۚ وَمَن لَّمۡ یَتُبۡ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu kaum mencemuh kaum yang lain, kerana mungkin mereka yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula para wanita mencemuh wanita yang lain, kerana mungkin yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sebahagian kamu menyatakan keaiban sebahagian yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amat buruklah sebutan nama fasik kepada seseorang yang sudah beriman. Dan ingatlah, sesiapa yang tidak bertaubat, maka merekalah orang yang zalim.”
(Surah al-Hujurat: 11)
Imam Ibn Jarir al-Tabari berkata menafsirkan ayat di atas: “Berdasarkan ayat ini, Allah SWT hendak melarang kita daripada mengejek orang lain atas apa jua sebab atau alasan sekalipun. Semuanya dilarang, sama ada kerana seseorang itu miskin, atau telah terjerumus ke dalam dosa, atau apa jua sebab sekali pun.” (Lihat Jami‘ al-Bayan fi Ta’wil Ay al-Quran, 22/298)
Larangan Mentertawakan Orang Yang Terkeluar Angin
Kita dilarang untuk mentertawakan orang yang terkeluar angin, sama ada kentut atau sendawa. Rasulullah SAW amat melarang daripada melakukan sedemikian. Hal ini kerana, perbuatan mengeluarkan angin itu adalah naluri manusia dan dilakukan oleh semua orang. Seharusnya, tidak ada sebarang lawak atau keganjilan pada perkara tersebut.
Rasulullah SAW pernah menegur orang yang gelak dan ketawa ketika terdengar orang lain terkentut, baginda bersabda:
لِمَ يَضْحَكُ أَحَدُكُمْ مِمَّا يَفْعَلُ؟
Maksudnya: “Mengapa kalian tertawa pada sesuatu yang kalian juga lakukan?”
Riwayat al-Bukhari (4942)
Imam al-Munawi berkata: “Maksud hadith di atas adalah, semua manusia tidak terkecuali daripada perbuatan keluar angin (kentut), mengapa mahu ketawa kerananya?” (LIhat Faid al-Qadir, 6/320)
Begitu juga, kita dilarang untuk ketawa ketika terdengar sendawa, kerana Rasulullah SAW melarang kita ketawa kerana terdengar angin yang keluar daripada badan. Abdullah bin Zam‘ah juga berkata:
نَهَى النَّبِيُّ ﷺ أَنْ يَضْحَكَ الرَّجُلُ مِمَّا يَخْرُجُ مِنَ الْأَنْفُسِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang seseorang untuk ketawa apabila terdengar apa-apa angin terkeluar (daripada tubuh manusia).”
Riwayat al-Bukhari (6042)
‘Aisyah R.Anha juga berkata:
نَهَى رَسُولُ اللهِ ﷺ عَنِ الضَّحِكِ مِنَ الضَّرْطَةِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang ketawa ketika orang lain kentut.”
Riwayat al-Tabarani di dalam al-Mu‘jam al-Ausat (9/164)
Imam al-Nawawi berkata ketika mensyarahkan hadith di atas: “Di dalam hadith di atas ini terdapat larangan daripada tertawa atau gelak ketika terdengar orang lain terkentut. Kita hendaklah buat-buat tidak dengar, meneruskan perbicaraan dan urusan yang sedang dilakukan seperti biasa sahaja seakan-akan tidak pernah mendengar apa-apa. Kita mesti menzahirkan bahawa kita tidak perasan langsung perkara tersebut, ini termasuk dalam kemuliaan adab dalam berinteraksi sesama manusia.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 17/188)
Ketawa Ketika Orang Kentut: Amalan Jahiliah
Mentertawakan seseorang kerana dia keluar angin sama ada kentut atau sendawa adalah amalan tradisi dan kebiasaan masyarakat Jahiliah.
Syaikh al-Islam Zakariyya al-Ansari berkata: “Masyarakat Jahiliah dahulu, jika ada salah seorang dalam kalangan mereka terkentut di dalam sebuah majlis, lantas mereka akan ketawa dan gelak beramai-ramai kerana itu. Maka, Rasulullah SAW pun melarang kita daripada turut sama melakukannya.” (Lihat Minhah al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, 8/243)
Sebagai umat Islam, kita mestilah menghindari amalan-amalan Jahiliah kerana Islam datang untuk menghapuskan Jahiliah secara keseluruhan. Allah amat membenci amalan Jahiliah, firman-Nya:
أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَـٰهِلِیَّةِ یَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمࣰا لِّقَوۡمࣲ یُوقِنُونَ
Maksudnya: “Apakah hukum Jahiliah yang mereka masih hendaki? Bagi orang yang yakin, siapakah yang lebih baik hukumnya daripada Allah?”
(Surah al-Ma’idah: 50)
Imam Ibn Kathir berkata: “(Ayat ini menegaskan) agar jangan menuruti sistem Jahiliah (amalan dan hukum mereka) sama ada dalam perkara kecil yang sedikit, mahupun perkara besar.” (LIhat Tafsir Qur’an al-’Azim, 3/119)
Jagalah Keindahan Peribadi
Di samping itu, kami juga menasihatkan agar menjaga tatasusila dan tertib peribadi ketika berada di khalayak ramai, berinteraksi sesama manusia. Kita haruslah menjaga keterampilan diri dan keindahan peribadi.
Umumnya masyarakat kita akan berasa malu untuk mengeluarkan angin secara terbuka dan kuat di khalayak ramai. Kita wajib menuruti kebiasaan dan adat yang baik ini.
Bahkan, dalam banyak ketika mengeluarkan angin merupakan sesuatu yang kurang menyenangkan di sisi para fuqaha, kerana perut telah mengalami sesuatu yang berlebihan untuk dikeluarkan. Sebahagian ulama mazhab al-Syafi‘i menganjurkan agar seseorang mengucapkan istighfar selepas sendawa. (Lihat Manzumah Ibn al-’Imad, h. 93)
Maka, bagi seseorang yang hendak mengeluarkan angin, seeloknya terlebih dahulu dia mengasingkan diri atau menjauhkan diri daripada khalayak ramai. Jika dia mengeluarkannya di depan orang ramai, perkara itu akan mendedahkan dirinya kepada gelak tawa dan sendaan atau olokan mereka. Menutup pintu dosa untuk orang lain juga merupakan tuntutan agama.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ كَمَا أَحْسَنْتَ خَلْقِي فَحَسِّنْ خُلُقِي
Maksudnya: “Ya Allah, sepertimana Engkau memperelokkan rupa kejadianku, maka elokkan juga akhlak peribadiku.”
Wallahu a‘lam.