#6107: Hukuman Perogol

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukuman bagi perogol?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT melarang perbuatan zina, firman Allah:

وَلَا تَقۡرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰۤۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةࣰ وَسَاۤءَ سَبِیلࣰا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu hampiri perbuatan zina, kerana sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji dan jalan buruk yang merosakkan nasab.

(Surah al-Isra’: 32)

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ ذَنْبٍ بَعْدَ الشرك أعظم عند الله من نطفة وَضَعَهَا رَجُلٌ فِي رَحِمٍ لَا يَحِلُّ لَهُ

Maksudnya: “Tidak ada satu dosa pun yang lebih besar di sisi Allah selepas syirik berbanding air mani yang dipancutkan di dalam rahim perempuan yang tidak halal.

Riwayat Ibn Abi al-Dunia di dalam al-Wara’ (137)

Dosa zina itu sendiri sudah sedia besar keburukannya di sisi Allah, apatah lagi jika berzina dalam keadaan memaksa, menzalimi, memeras ugut dan menyakiti orang lain untuk melaksanakannya. Sudah tentu lebih besar murka dan azab Allah ke atas pelakunya. Islam membela mangsa dan memperjuangkan keadilan buat mangsa rogol.

Rogol di sisi Syariah

Jenayah rogol umumnya boleh dipanggil sebagai jenayah al-Ightisab yang bermaksud: merampas sesuatu tanpa hak dan kerelaan pemilik barang. Unsur rampasan dan paksaan ini disebut di dalam kitab-kitab Fiqh sebagai al-Ikrah.

Dalam konteks ini, seorang perogol telah merampas dan menceroboh kehormatan mangsa rogolnya itu secara paksa tanpa kerelaan mangsa tersebut, juga tanpa sebarang ikatan akad yang sah.

Umumnya di sisi fuqaha, perogol digelar al-Mustakrih al-Zani atau al-Zani al-Mustakrih yang bermaksud: pelaku zina secara peras ugut dan paksa.

Manakala, mangsa rogol disebut sebagai al-Mustakrahah iaitu mangsa yang dipaksa, tanpa sebarang rela. Inilah istilah di dalam kitab-kitab Hadith dan Fiqh.

Hukuman Syariah ke atas Perogol

Syariat yang Allah SWT turunkan ini membela keadilan kepada setiap pihak, terutamanya pihak yang dizalimi. Bagi jenayah rogol, umumnya salah laku ini termasuk dalam kategori kesalahan zina dan persetubuhan luar nikah. Namun, pesalah akan dikenakan hukuman tambahan berbentuk bayaran mahar sebagai denda atas kerugian yang berlaku bagi pihak mangsa.

Mangsa rogol tidak akan dikenakan sebarang hukuman, hal ini disepakati oleh sekalian ulama. Demikian merupakan fatwa Imam al-Syafi’i bersumberkan fatwa-fatwa para fuqaha Salaf seperti ‘Umar bin al-Khattab R.A, Qatadah, al-Zuhri, Sufyan al-Thauri dan sekalian ahli al-Ra’yi. (Lihat al-Mughni, 12/347)

Mereka berdalilkan Rasulullah SAW bersabda:

عُفِىَ لأمَّتِى عن الْخَطإِ، والنِّسْيَانِ، وما اسْتُكْرِهُوا عَلَيْه

Maksudnya: “Diampunkan bagi umatku, setiap kesalahan yang dilakukan kerana tersilap, terlupa atau dipaksa untuk melakukannya tanpa rela.”

Riwayat Ibn Majah (2045)

Manakala pesalah rogol akan dikenakan hukuman berikut:

  1. Dikenakan hukuman hudud ke atas penzina

Hukuman had bagi jenayah zina adalah seperti keterangan di bawah:

Jika penzina atau perogol itu berstatus ghairu muhsan (belum berkahwin), maka dia akan dikenakan hukuman 100 kali sebatan dan dibuang negeri. Allah SWT berfirman:

ٱلزَّانِیَةُ وَٱلزَّانِی فَٱجۡلِدُوا۟ كُلَّ وَ ٰ⁠حِدࣲ مِّنۡهُمَا مِا۟ئَةَ جَلۡدَةࣲۖ وَلَا تَأۡخُذۡكُم بِهِمَا رَأۡفَةࣱ فِی دِینِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡیَوۡمِ ٱلۡـَٔاخِرِۖ وَلۡیَشۡهَدۡ عَذَابَهُمَا طَاۤىِٕفَةࣱ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ

Maksudnya: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat setiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali sebatan, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan perlaksanaan hukuman mereka itu oleh sekumpulan orang yang beriman.

(Surah al-Nur: 2)

‘Ubadah bin al-Samit R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

والْبِكْرُ جَلْدُ مِائَةٍ، ثُمَّ نَفْيُ سَنَةٍ

Maksudnya: “Penzina yang belum berkahwin dihukum seratus kali sebatan dan dibuang negeri selama satu tahun.”

Riwayat Muslim (1690)

Manakala, jika penzina atau perogol itu berstatus muhsan (sudah berkahwin), maka dia akan dikenakan hukuman rejam sehingga mati. Rasulullah SAW bersabda:

والثَّيِّبُ يُجْلَدُ وَيُرْجَمُ

Maksudnya: “Penzina yang sudah berkahwin pula disebat dan direjam sehingga mati.”

Riwayat Muslim (1690)

Disebutkan bahawa antara ayat al-Quran yang sudah dimansuhkan bacaan lafaznya, namun dikekalkan perlaksanaan hukumnya adalah:

الشَّيخُ والشَّيخَةُ إذا زَنَيا فارْجُموهما البَتَّةَ

Maksudnya: “Penzina yang sudah berkahwin, sama ada lelaki mahupun perempuan, maka rejamlah kedua-duanya.

Riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak (3600)

Ini merupakan hukuman pertama yang akan dikenakan ke atas perogol.

  1. Diwajibkan membayar mahar denda pampasan ibarat ganti rugi

Ini merupakan hukuman kedua yang dikenakan ke atas perogol menurut majoriti ulama, kecuali Imam Abu Hanifah.

Majoriti ulama termasuklah ulama mazhab al-Syafi‘i mewajibkan bayaran ini berdalilkan hadith Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَإِنْ مَسَّهَا فَلَهَا الْمَهْرُ بِمَا اسْتَحَلَّ مِنْ فَرْجِهَا

Maksudnya: “Jika seorang lelaki menyentuhnya (perempuan, iaitu menyetubuhinya), maka wajib ke atasnya membayar mahar kerana telah menyentuh kehormatannya.”

Riwayat Sa’id bin Mansur dalam al-Sunan (821)

Imam Abu al-Ma’ali al-Juwaini mengatakan bahawa Imam al-Syafi‘i mewajibkan ke atas perogol wajib membayar denda pampasan sebagai mahar dengan sejumlah harta untuk membayar ganti rugi ke atas maruah kehormatan perempuan yang dia telah cerobohi; dengan syarat: perempuan itu bukanlah seorang pelacur. Jika dia seorang perempuan merdeka yang melacur, maka tiada mahar pampasan baginya. (Lihat Nihayah al-Matlab fi Dirayah al-Mazhab, 7/231)

Imam al-Mawardi berkata mensyarahkan hadith di atas: “Antara faedah daripada hadith di atas adalah, perempuan yang dipaksa bersetubuh (dirogol) berhak mendapat bayaran mahar, atas pencerobohan yang berlaku ke atas kehormatannya. Ini bertentangan dengan pendapat Abu Hanifah.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 9/47)

Bagi tujuan keselarasan dan kepentingan semua pihak, jumlah mahar tersebut mestilah ditetapkan oleh hakim yang dilantik ulil amri berdasarkan maslahat dan kepentingan mangsa yang mengalami kerugian kekal secara luaran dan dalaman. Hakim boleh untuk meningkatkan jumlah bayaran denda sebagai suatu bentuk hukuman Takzir kepada pesalah.

Manakala, Imam Abu Hanifah pula berdalilkan dengan hadith yang diriwayatkan oleh Wa’il bin Hujr:

وَلَمْ يُذْكَرْ أَنَّهُ جَعَلَ لَهَا مَهْرًا

Maksudnya: “Tidak pernah disebutkan bahawa Rasulullah SAW pernah mewajibkan bayaran mahar tersebut (bagi perogol).

RIwayat al-Tirmizi (1453)

  1. Hukuman Tambahan sekiranya mempunyai unsur keganasan, kecederaan, kematian dan lain-lain

Hukuman boleh ditambah jika wujud elemen-elemen berikut:

Penglibatan Qisas

Jika jenayah rogol itu disertai jenayah yang lain seperti memukul, menyakiti, mencederakan atau membunuh, maka hukum Qisas (ganti dan balas semula) mesti turut dilaksanakan bersama dua hukuman di atas.

Allah SWT berfirman:

وَكَتَبۡنَا عَلَيۡهِمۡ فِيهَآ أَنَّ ٱلنَّفۡسَ بِٱلنَّفۡسِ وَٱلۡعَيۡنَ بِٱلۡعَيۡنِ وَٱلۡأَنفَ بِٱلۡأَنفِ وَٱلۡأُذُنَ بِٱلۡأُذُنِ وَٱلسِّنَّ بِٱلسِّنِّ وَٱلۡجُرُوحَ قِصَاصٞۚ

Maksud: “Dan Kami tetapkan bahawa nyawa dibalas nyawa, mata dibalas mata, hidung dibalas hidung, telinga dibalas telinga, gigi dibalas gigi, dan pada setiap luka itu, mesti dibalas semula (Qisas).”

(Surah al-Ma’idah: 45)

Jika kes rogol itu melibatkan:

  • pukul, maka dibalas pukul,
  • luka, maka dibalas luka,
  • nyawa, maka dibalas nyawa.

Kesakitan dibalas dengan kesakitan yang sama menurut prosedur yang ditetapkan oleh ulil amri (pemimpin), demi menuntut bela keadilan mangsa.

 

Jenayah Hirabah

Manakala, jika jenayah rogol disertai perbuatan menimbulkan kerosakan berupa kezaliman dan penindasan kepada masyarakat awam secara terbuka, menyebabkan kedamaian negara tergugat, seperti memperkosa wanita-wanita yang ramai di tempat awam, merampas harta, mengancam nyawa, mencerobohi kehormatan ramai pihak, maka turut dikenakan hukuman had kesalahan Hirabah iaitu mengancam keamanan negara, bersama dua hukuman di atas.

Hukumannya sama ada:

  1. Dibunuh,
  2. Kemudian disalib untuk dipamerkan,
  3. Dalam keadaan dipotong kedua-dua tangan dan kaki secara bersilang,
  4. Atau, hanya dibuang negeri dan dipulaukan.

Ulil amri berhak memilih mana-mana hukuman sesuai dengan kesesuaian salah laku dan kes. Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا أَنْ يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُمْ مِنْ خِلَافٍ أَوْ يُنْفَوْا مِنَ الْأَرْضِ ذَلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya balasan bagi orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya, dan melakukan kerosakan di atas muka bumi itu adalah selayaknya dibunuh, atau disalib, atau dipotong tangan-tangan dan kaki-kaki mereka secara bersilang, atau dibuang negeri; demikianlah kehinaan bagi mereka di dunia, dan di akhirat kelak, mereka akan ditimpa azab yang dahsyat.

(Surah al-Ma’idah: 33)

Maka, jenayah rogol boleh dikenakan penambahan hukuman ini di sisi Syariah berdasarkan kepada penambahan kesalahan dan jenayah.

Manakala, Imam Ibn al-’Arabi memasukkan jenayah rogol sebagai salah satu jenayah Hirabah secara mutlak. (Lihat Ahkam al-Qur’an, 2/247)

Begitu juga, Imam Ibn Hazm yang mentakrifkan jenayah Hirabah sebagai mereka yang membuat kekacauan dengan membunuh orang ramai, merampas harta benda mereka atau merogol. (Lihat al-Muhalla, 11/308)

Di sisi mereka berdua, perogol akan terus dikenakan hukuman had Hirabah.

Hukuman Jenayah Rogol: Undang-Undang di Malaysia

Secara umumnya menurut undang-undang sivil di Malaysia, dalam mendepani kes jenayah rogol, kita akan merujuk Seksyen 375 dan 376, yang termaktub di dalam Kanun Keseksaan (Akta 574).

Seksyen 375 menyatakan:

“375. Rogol

Seseorang lelaki adalah dikata melakukan “rogol” jika ia, kecuali dalam hal yang dikecualikan kemudian daripada ini, bersetubuh dengan seseorang perempuan dalam keadaan yang termasuk di bawah mana-mana daripada perihal yang berikut:

  1. Bertentangan dengan kemahuan perempuan itu;
  2. Dengan tiada kerelaan perempuan itu;
  3. Dengan kerelaan perempuan itu manakala kerelaannya telah didapati dengan mendatangkan kepadanya atau mana-mana orang lain ketakutan mati atau cedera, atau telah didapati melalui salah tanggapan fakta dan lelaki itu tahu atau ada sebab untuk mempercayai bahawa kerelaan itu telah diberi akibat dari salah tanggapan tersebut;
  4. Dengan kerelaan perempuan itu manakala lelaki itu ketahui bahawa ia bukan suaminya, dan kerelaan itu diberi kerana perempuan itu percaya lelaki itu ialah seorang lelaki yang menjadi atau yang ia percaya menjadi suaminya yang sah di sisi undang-undang atau yang kepadanya ia akan memberi kerelaan;
  5. Dengan kerelaannya, jika pada masa memberi kerelaan itu dia tidak boleh memahami jenis dan akibat mengenai apa yang dia memberi kerelaan;
  6. Dengan kerelaan perempuan itu, apabila kerelaannya didapati dengan menggunakan kedudukannya yang berkuasa ke atas perempuan itu atau atas sebab hubungan professional atau lain-lain hubungan amanah berkaitan dengannya;
  7. Sama ada dengan kerelaan perempuan itu atau tidak, apabila perempuan itu di bawah umur enam belas tahun.”

Manakala Seksyen 376 pula menyatakan:

“376. Seksaan bagi rogol

  • Tertakluk kepada subseksyen (2), (3) dan (4), barang siapa melakukan rogol hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua puluh tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat.
  • Barang siapa melakukan rogol ke atas seseorang perempuan di bawah mana-mana keadaan berikut:
  1. Pada masa, atau segera sebelum atau selepas melakukan kesalahan itu, menyebabkan kecederaan kepada perempuan itu atau kepada mana-mana orang lain;
  2. Pada masa, atau segera sebelum atau selepas melakukan kesalahan itu, meletakkannya dalam ketakutan kematian atau kecederaan kepada perempuan itu atau mana-mana orang lain;
  3. Kesalahan itu telah dilakukan dalam kehadiran atau di hadapan mana-mana orang lain;
  4. Dengan tiada kerelaan perempuan itu, apabila perempuan itu di bawah umur enam belas tahun;
  5. Sama ada dengan kerelaan perempuan itu atau tidak, apabila perempuan itu di bawah umur dua belas tahun;
  6. Dengan kerelaannya, apabila kebenaran diperolehi dengan menggunakan kedudukan berkuasanya terhadap perempuan itu atau kerana hubungan profesional atau hubungan amanah lain yang berhubungan dengannya; atau
  7. Pada masa kesalahan itu perempuan itu mengandung,

Hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari tiga puluh tahun dan bolehlah juga dikenakan sebat.

(3) Barang siapa melakukan rogol ke atas seseorang perempuan di mana hubungan perempuan itu dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan, untuk berkahwin dengan perempuan itu, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari lapan tahun dan tidak lebih dari tiga puluh tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat tidak kurang dari sepuluh sebatan.

(4) Barang siapa semasa melakukan atau percubaan melakukan rogol menyebabkan kematian perempuan yang dirogol itu atau yang ke atasnya percubaan rogol itu dilakukan hendaklah dihukum mati atau penjara selama tempoh tidak kurang dari lima belas tahun dan tidak lebih dari tiga puluh tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat tidak kurang dari sepuluh sebatan.” (Lihat Kanun Keseksaan (Akta 574), hlm. 604-607)

Kesimpulan

Kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar tidak mendiamkan sebarang kes jenayah rogol dan segera melaporkan kes jenayah rogol kepada pihak berkuasa. Jangan takut atau gentar untuk membela keadilan dan kebenaran. Allah pasti membantu.

Kami berharap agar hukuman yang diimplementasi dan dipraktikkan bagi jenayah rogol ditingkatkan kepada tahap hukuman yang sewajarnya dan setimpal dengan kesalahan serta memberi kemaslahatan jua keuntungan kepada pihak mangsa, sepertimana yang telah kami nyatakan berupa penjelasan para ulama dan fuqaha berdasarkan syariat Islam.

Hal ini demi membela keadilan dan mengangkat kembali maruahnya yang tercalar dengan penuh kezaliman tanpa rela. Hanya pedoman Syariat Islam yang memenuhi dan merealisasikannya.

Sudah tentu kami berharap agar gerak kerja penambahbaikan ini, dilaksanakan dengan penuh kepatuhan terhadap syariat Allah, menuruti hukum-hakam Islam yang telah ditetapkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Kita harus bekerjasama dengan semua pihak untuk membasmi jenayah rogol daripada berlaku, jauh sekali berleluasa dalam kalangan kita. Kami mencadangkan agar:

  1. Mendidik lelaki agar menghormati perempuan, memandang wanita dengan pandangan kemuliaan, dan memupuk cara-cara melayani perempuan dengan penuh santun.
  2. Mendidik perempuan untuk memelihara maruah diri, melazimi adab-adab seorang Muslimah, menghindari persekitaran dan rakan-rakan yang buruk.
  3. Perempuan mestilah mengelakkan diri daripada menyendiri atau berseorangan, dan mempersiapkan diri dengan asas pertahanan diri.
  4. Mempermudahkan urusan pernikahan dengan mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang.
  5. Menjayakan peningkatan dan penambahan hukuman bagi jenayah rogol berdasarkan undang-undang Syariah.

Kita memerlukan kerjasama semua pihak untuk merealisasikan harapan yang murni ini. Semoga Allah SWT memelihara keselamatan maruah dan kehormatan kita semua. Kita berdoa kepada Allah agar Allah melindungi kita sentiasa daripada kejahatan sekalian makhluk. Hanya Allah SWT merupakan pelindung dan penjaga kita sentiasa. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu, dan Dia pasti melindungi orang-orang yang baik.

Kami akhiri dengan doa memohon agar menghindari sebarang bahaya dan mudarat dengan berkat nama Allah SWT yang Maha Agung sebagai pendinding buat kita semua:

بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السِّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dengan Nama Allah, dengan keagungan Nama-Nya, tiada kemudaratan di langit dan di bumi yang bakal menimpa. Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

Riwayat al-Tirmizi (3388)

Wallahu a‘lam