#6112: Solat Sunat Awwabin

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimanakah cara solat sunat awwabin?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Awwabin (الأَوَّبِينَ) merupakan perkataan bahasa Arab yang berasal dari kata terbitan (الأَوْبُ) yang bererti kembali. Sekiranya orang yang hilang dijumpai semula, maka dalam bahasa Arab disebutkan: (آبَ الْغَائِبُ), yakni “Orang yang hilang itu telah kembali dijumpai.” Rasulullah SAW sendiri, apabila Baginda kembali daripada peperangan, atau haji, atau umrah, baginda bertakbir sebanyak tiga kali ketika melalui tanah yang tinggi, kemudian melafazkan beberapa zikir, antaranya:

آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ، لِرَبِّنَا حَامِدُونَ

Maksudnya: “Kami kembali, kami bertaubat, beribadah dan memuji Tuhan kami.”

Riwayat al-Bukhari (6385) dan Muslim (1344)

Disebutkan juga dalam bahasa Arab: (آبَتْ الشَّمْسُ), dengan maksud terbenam. Ini kerana matahari itu kembali terbenam semula setelah mana ia terbit. (Lihat al-Qamus al-Muhit, hlm. 59; Lisan al-‘Arab, 1/217)

Dalil pensyariatan solat awwabin ini jelas dalam hadith Rasulullah SAW, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Zaid bin Arqam R.A:

صَلَاةُ الْأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمَضُ الْفِصَالُ

Maksudnya: “Solat Awwabin ialah solat yang dilakukan ketika pasir memanaskan anak unta yang masih kecil.”

Riwayat Muslim (748)

Apabila disebutkan awwabin dalam konteks solat sunat, ia difahami dengan maksud orang yang banyak kembali kepada Allah SWT dengan bertaubat. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 1/79)

Syeikh ‘Abd al-Ra‘uf al-Munawi juga berkata, awwwabin ini adalah mereka yang kembali kepada Allah SWT dengan bertaubat, mengikhlaskan diri melakukan ketaatan, dan meninggalkan hawa nafsu dari dijadikan ikutan. (Lihat Faidh al-Qadir, 4/216)

Hadith di atas pula menceritakan tentang waktu solat awwabin. Pasir yang panas tersebut disebutkan sebagai al-ramdha’ (الرَّمْضَاءُ), yakni pasir yang teramat panas akibat terik matahari. Anak unta yang masih kecil pula disebutkan sebagai fasil (فَصِيلٌ). Apabila pasir yang panas itu menyebabkan tapak kaki anak unta itu melecur kerana terik matahari, maka ketika itu dianjurkan solat awwabin. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/30)

Hakikat Solat Awwabin

Solat awwabin ini difahami dengan dua maksud menurut fuqaha’ al-Syafi‘iyyah:

Pertama: Solat sunat Dhuha.

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa solat awwabin ini adalah solat Dhuha yang dilakukan pada waktu yang paling afdhal. Beliau juga menukilkan kalam Imam Abu al-Hasan al-Mawardi daripada kitabnya al-Hawi al-Kabir, waktu solat Dhuha yang dipilih adalah selepas seperempat siang, dan ini berhujjahkan hadith Zaid bin Arqam R.A di atas. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/30; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/36)

Pandangan mereka ini dikuatkan lagi dengan riwayat lain dari Zaid bin Arqam R.A, katanya:

أنَّ نَبِيَّ اللهِ ﷺ أَتَى عَلَى مَسْجِدِ قُباءٍ – أَوْ دَخَلَ مَسْجِدَ قُباءٍ –، بَعْدَمَا أَشْرَقَتِ الشَّمْسُ، فَإِذَا هُمْ يُصَلُّونَ، فَقَالَ: إِنَّ صَلَاةَ الْأَوَّابِينَ كَانُوا يُصَلُّونَهَا إِذَا رَمِضَتِ الْفِصَالُ

Maksudnya: “Nabi Allah SAW pernah menuju ke Masjid Quba’ – atau memasukinya – setelah matahari terbit, yang ketika itu ada beberapa orang sedang mendirikan solat (sunat). Lalu Baginda bersabda: ‘Solat Awwabin, mereka melakukannya ketika anak unta kepanasan.”

Riwayat Ahmad (19347)

Kedua: Solat sunat antara Maghrib dan Isya’.

Sebahagian fuqaha’ al-Syafi‘iyyah pula memahami Solat Awwabin ini dengan maksud solat antara waktu Maghrib dan Isya‘. Solat ini juga turut dikenal dengan nama Solat al-Ghaflah. Kalimah al-Ghaflah dalam bahasa Melayu bermakna alpa atau leka. Al-Bujairimi mengatakan, Solat Awwabin ini juga dikenali sebagai Solat al-Ghaflah; kerana waktu antara Maghrib dan Isya’ itu, kebiasaannya manusia akan leka dan disibukkan dengan urusan keduniaan atau seumpamanya. (Lihat Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 1/427)

Mereka berhujjah dengan hadith Abu Hurairah R.A, katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى بَعْدَ الْمَغْرِبِ سِتَّ رَكَعَاتٍ، لَمْ يَتَكَلَّمْ فِيمَا بَيْنَهُنَّ بِسُوءٍ، عُدِلْنَ بِعِبَادَةِ ثِنتَي عَشْرَةَ سَنَةً

Maksudnya: “Sesiapa yang mendirikan solat 6 rakaat selepas Maghrib, tidak diselangi antaranya dengan percakapan yang buruk, nescaya solatnya itu menyamai ibadah selama 12 tahun.”

Riwayat al-Tirmizi (435) dan Ibn Majah (1167). Al-Albani telah menilai hadith ini sebagai Dha‘if Jiddan (469) dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha‘ifah.

Dan mereka juga menguatkan lagi pandangan ini dengan sebuah hadith lain yang diriwayatkan daripada Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ عِشْرِينَ رَكْعَةً، بَنَى اللهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan solat (sunat) 20 rakaat antara Maghrib dan Isya’, Allah akan membina untuknya satu rumah di dalam syurga.”

Riwayat Ibn Majah (1373). Hadith ini dinilai maudhu‘ atau palsu oleh al-Albani (467) dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha‘ifah.

Melihat hujjah dan pandangan beberapa fuqaha’ di atas, kami lebih cenderung mengatakan Solat Awwabin ini adalah solat Dhuha, dan yang demikian itu bersesuaian dengan kekuatan hujjah yang dibawa. Adapun persoalan saudara berkenaan cara mendirikan solat sunat ini, ia sama sahaja seperti solat sunat mutlak yang lain. Dalam pada itu, kami tidak menafikan kelebihan mendirikan solat sunat mutlak pada mana-mana waktu yang tidak dilarang untuk solat, seperti waktu antara Maghrib dan Isya‘. Dirikanlah sebanyak mungkin solat-solat sunat dengan harapan agar kita dicintai Allah SWT. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadith qudsi daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman:

وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ: كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ، وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ، وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا، وَإِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنِ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ

Maksudnya: “Dan hamba-Ku berterusan mendekatkan diri kepada-Ku dengan melakukan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku telah mencintainya, maka Aku menjadi pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, menjadi penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, menjadi tangannya yang dia gunakan untuk melakukan sesuatu, dan menjadi kakinya yang dia gunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepada-Ku nescaya Aku akan mengurniakannya, dan jika dia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya Aku akan melindunginya.”

Riwayat al-Bukhari (6502)

Amalan sunat yang dimaksudkan adalah apa jua amalan sunat yang dilakukan seiring dengan ibadah-ibadah fardhu, dan ibadah sunat itu melengkapkan amalan fardhu tersebut. (Lihat Fath al-Bari, 11/343)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam