#6113: Perbezaan “البِرُّ” dan  “التَقْوَى” Dalam Surah al-Maidah Ayat 2

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah perbezaan antara kebaikan dan ketaqwaan berdasarkan surah al-Ma’idah ayat 2 , menyebut tentang البِرُّ dan التَقْوَى ? Mohon pencerahan dan penjelasan. Syukran jazilan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan ketakwaan, dan janganlah tolong-menolong dalam melakukan dosa serta permusuhan.”

(Surah al-Maidah: 2)

Al-Sabuni berkata: Iaitu bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara melakukan kebaikan dan kebajikan dan meninggalkan kemungkaran serta (bertolong-tolonganlah dalam) perkara yang membawa ketaatan kepada Allah SWT. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/301)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan, kalimah بَرَّ-يَبِرًّ-بِرًّا yang membawa maksud melakukan kebaikan. Menurut para ilmuan istilah الْبِرُّ membawa maskud sebagaimana berikut:

  • Al-Raghib menyatakan bahawa الْبِرُّ ialah : Melakukan kebaikan dengan meluas. (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran,hlm. 114 )
  • Al-Munawi menyatakan الْبِرُّ itu adalah: Melakukan kebaikan dengan meluas, dan melakukan perbuatan yang diredhai, yang merupakan penyucian bagi (Lihat al-Tauqif, hlm.122)
  • Al-Razi pula menyatakan bahawa الْبِرُّ : Nama yang merangkumi segala ketaatan dan perbuatan baik yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 5/213)

Berbuat baik dalam erti kata ini merangkumi semua ketaatan batin, seperti beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, dan rasul-rasul-Nya; serta ketaatan zahir, seperti membelanjakan harta pada perkara yang disukai Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menepati janji, dan bersabar atas takdir, seperti ditimpa penyakit dan kemiskinan, serta bersabar dalam ketaatan, dan  ketika menghadapi musuh. (Lihat Jami ‘Ulum wa al-Hikam oleh ibn Rejab, 2/97 )

Manakala kalimah التَّقْوَى dari sudut bahasa menurut Ibn Manzur adalah membawa maksud menjaga diri atau berhati-hati. Dikatakan: ‘اِتَّقَيْتُ الشَّيْءَ وَتَقَيْتُهُ أَتَّقِيْهِ وَأَتْقِيْهِ تُقًى وَتَقِيَّةً وَتِقَاءً’, maksudnya: “Aku menjaga diri daripada sesuatu atau aku berhati-hati terhadapnya.” (Lihat Lisan al-’Arab, 15/401)

Dari sudut istilah pula ulama mendefinisikan  kalimah التَّقْوَى adalah sebagaimana berikut:

  • Menurut al-Raghib al-Asfahani, takwa bermaksud menjaga diri daripada perbuatan yang membuatkannya berdosa, dan hal itu adalah dengan meninggalkan apa yang dilarang, dan menjadi sempurna dengan meninggalkan sebahagian yang dihalalkan. (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 531 )
  • Imam al-Nawawi pula menjelaskan bahawa takwa itu adalah mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Yakni, menjaga diri daripada kemurkaan dan azab Allah SWT. (Lihat Tahrir Alfaz al-Tanbih, hlm. 322 )
  • Al-Jurjani pula menyebut bahawa takwa adalah menjaga diri daripada azab seksa Allah SWT dengan mentaati-Nya. Dengan erti kata yang lain, seseroang menjaga diri daripada perbuatan yang boleh mengakibatkan diazab dan diseksa, sama ada dengan melakukan perbuatan atau meninggalkannya. (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 68)

Berkaitan kalimah “الْبِرُّ” dan “التَّقْوَى” dalam Surah al-Maidah ayat 2, Imam al-Tabari dalam tafsirnya menyatakan bahawa: الْبِرُّ itu ialah ialah melaksanakan apa yang diperintahkan Allah untuk dilakukan dan ‘taqwa’, pula ialah menjauhi apa yang diperintahkan Allah untuk dijauhi dan meninggalkan perbuatan dosa. (Lihat Jami’ al-Bayan, 9/490)

Manaka Ibn Juzai pula menyebutkan bahawa: Perbezaan antara berbuat baik (الْبِرُّ) dan ketakwaan (لتَّقْوَى) adalah bahawa berbuat baik itu umum dalam melaksanakan kewajipan dan amalan sunat serta meninggalkan perkara yang haram, dan dalam segala sesuatu yang mendekatkan diri kepada Allah. Manakala ketakwaan (لتَّقْوَى) adalah dalam melaksanakan kewajipan dan meninggalkan perkara yang haram tanpa melibatkan amalan sunat. Oleh itu, berbuat baik lebih umum daripada ketakwaan. (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 1/220)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.

Wallahua‘lam