#6117: Memakan Daging Seladang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah seladang halal dimakan kerana ia termasuk dalam jenis lembu?  Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mendefinisikan terlebih dahulu seladang ini. Seladang (Bos gaurus, dahulu Bibos gauris) ialah sejenis haiwan bovin yang besar dan berbulu warna gelap di Asia Selatan dan Asia Tenggara. Bilangannya yang terbesar pada hari ini adalah di India. Seladang ialah spesies lembu liar yang terbesar dan adalah lebih besar daripada Kerbau Tanjung, Kerbau Air Liar Asia, dan bison. Dalam konteks pelancongan safari, ia dikenali sebagai bison India, akan tetapi istilah ini tidak tepat daripada segi teknikal. Bentuk bela jinak seladang dikenali sebagai gayal atau mithun.

undefined

Gambar di atas: Seekor seladang di Taman Negara Bandipur, India (Sumber gambar: https://ms.wikipedia.org/wiki/Seladang#/media/Fail:Gaur_bandipur.jpg)

Seladang dapat dikenal pasti menerusi rabung cembungnya yang tinggi pada dahi di antara tanduknya yang melentur dengan tetap ke depan. Ini menyebabkan lekuk pada tampang bahagian atas kepalanya. Hujung tanduk melentur ke dalam dan sedikit ke belakang, manakala kaki tanduk sangat leper. Telinga Seladang amat besar, tetapi ekornya hanya sampai ke pergelangan kaki belakang. Tidak terdapat gelambir yang jelas pada leher dan dadanya. Rabung di bahagian belakang sangat ketara.

Seladang jantan dewasa berwarna antara perang gelap sehingga hampir hitam bagi seladang yang amat tua. Bagaimanapun, bahagian atas kepala dari atas mata sehingga tengkuk berwarna kelabu atau kekadangnya putih kotor. Muncung seladang jantan berwarna pucat, dengan bahagian bawah kakinya berwarna putih tulen. Bulu jantan yang tua sangat nipis pada bahagian belakangnya. Sebaliknya, warna seladang betina dan anak lebih pucat dan kekadang mempunyai warna kuning keperang-perangan sedikit yang paling ketara bagi seladang yang hidup di daerah kering dan terbuka. Tanduk seladang berwarna hijau pucat atau kuning hampir pada sepanjangnya tetapi hujung tanduk berwarna hitam.

Seladang tergolong dalam keluarga yang sama dengan Lembu, Banteng dan Kambing Gurun. Seladang jantan yang matang boleh membesar dan mencapai ketinggian 2 meter (6 kaki) dan berat sehingga 900 kilogram. Jangka masa bunting/mengandung adalah 9 bulan dan biasanya seekor anak dilahirkan. Anaknya mencapai tempoh matang dalam masa 3 tahun dan ia boleh hidup selama 25 tahun.

Seladang hidup di dalam kumpulan 4-8 ekor yang boleh mencapai sehingga 30 ekor. Kumpulan ini diketuai oleh seladang jantan yang berkuasa. Seladang lebih aktif ketika subuh dan senja serta berehat daripada pancaran terik matahari di bawah pokok sepanjang hari. Seladang adalah haiwan maun dan makanan utama Seladang adalah tumbuhan, terutamanya rumput-rumpai. Seladang mudah ditemui di kawasan di mana rumput, pokok herba, pokok renek dan daun-daun mudah diperolehi.[1]

Hukum memakan seladang

Mengenai hal ini, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal (yakni dalam menentukan status halal) bagi suatu haiwan darat itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).

Begitu juga al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.

Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).

Oleh itu, kami berpendapat bahawa daging seladang adalah halal dimakan. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Lebih-lebih lagi, seladang bukanlah tergolong dalam kategori haiwan pemangsa yang memburu mangsanya sebagai makanan seperti singa, harimau dan lain-lain. Akan tetapi ia merupakan haiwan herbivor yang hanya makan tumbuh-tumbuhan.

Selain itu, seladang ini juga dilihat hampir kepada lembu atau kerbau dan tergolong dalam keluarga lembu. Maka boleh untuk kita katakan bahawa ia termasuk dalam jenis lembu liar. Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, al-Baqar ialah nama sejenis kumpulan lembu yang meliputi lembu jantan dan betina. Ahli zoologi berpendapat bahawa Baqar (البقر) ialah sejenis keluarga baqariyyat (Bovidae) yang merangkumi lembu jantan dan kerbau. Begitu juga istilah ini boleh digunakan untuk kedua-dua haiwan jantan dan betina, termasuk ternakan ternakan dan liar. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/297).

Mengenai lembu liar ini juga, telah dinukilkan bahawa para ulama telah menyatakan ijmak — yakni bersepakat — akan kehalalannya. Hal ini disebutkan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa setiap haiwan liar yang tidak mempunyai taring yang digunakan untuk memburu haiwan lain sebagai makanannya, dan bukan daripada jenis haiwan yang melata (yakni hasyarat), dan haiwan tersebut adalah seperti antelop, lembu liar, keldai liar, unta liar. Jenis-jenis haiwan seperti ini adalah halal menurut ijmak (kesepakatan) kaum Muslimin kerana ia termasuk dalam makanan yang baik-baik. ( Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/134)

Tambahan lagi, pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebutkan bahawa antara binatang yang halal dimakan ialah binatang ternakan (الأنعام), iaitu unta, lembu, biri-biri, kambing, kuda, lembu dan keldai liar, kijang, arnab dan lain-lain, yang dianggap elok oleh orang Arab, yang kemudiannya diakui halal oleh syarak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/68).

Di samping itu, Ibn Qudamah juga ada menyatakan bahawa lembu liar kesemuanya adalah diharuskan untuk memakannya, tanpa mengira jenisnya seperti rusa, ibex (sejenis kambing gurun), al-Wa‘l (sejenis kambing gurun), oryx (sejenis antelop) dan lain-lain. Kesemua ini juga telah disepakati dalam kalangan ulama mengenai keharusan memakannya dan tidak diketahui adanya khilaf mengenai perkara itu. (Lihat al-Mughni, 9/327.)

Tambahan pula, Imam al-Nawawi turut menyebutkan bahawa al-Wa‘l — yakni salah satu haiwan yang termasuk dalam jenis lembu liar sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Qudamah — adalah halal dimakan tanpa sebarang khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/9.)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa daging seladang adalah halal dimakan. Hal ini kerana ia mirip kepada haiwan ternakan seperti kerbau dan lembu serta termasuk dalam keluarga lembu. Justeru, ia merupakan salah satu jenis daripada lembu liar yang halal dimakan sebagaimana yang telah disebutkan oleh para ulama. Bahkan, kini terdapat juga seladang bela jinak.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Seladang. Diakses pada 11 Jun 2024.