#6119: Isteri Tidak Tidur Sekatil dengan Suami

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya nak bertanya adakah jatuh nusyuz seorang isteri jika tidur pada katil yang berasingan? Terima kasih dato.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

kami membawakan terlebih dahulu hadith Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا بَاتَتِ الْمَرْأَةُ مُهَاجِرَةً فِرَاشَ زَوْجِهَا لَعَنَتْهَا الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تَرْجِعَ

Maksudnya: “Apabila seorang wanita bermalam dengan meninggalkan tempat tidur suaminya, maka para malaikat melaknatnya hingga dia kembali ke tempat tidur suaminya.”

Riwayat al-Bukhari (5194) dan Muslim (1436)

Berdasarkan hadith ini, laknat yang disebutkan itu kerana perbuatan wanita meninggalkan tempat tidur suami itu merujuk kepada wanita yang menolak untuk bersama dalam keadaan dia mampu. Perbuatan ini merupakan salah satu perkara yang boleh menjatuhkan wanita ke dalam kancah nusyuz, dan isteri yang nusyuz itulah yang dilaknat oleh malaikat. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, hlm. 90-92)

Seorang suami boleh mendidik isterinya dengan cara yang syari’e seperti menasihati, memulaukan di tempat tidur, serta pukulan yang tidak melibatkan tindakan fizikal yang menyakiti. Dalam Islam, didikan ini boleh dilakukan sekiranya terdapat tanda-tanda nusyuz atau derhaka dari pihak isteri terhadap suami. Hal ini boleh dilihat melalui firman Allah SWT:

وَٱلَّٰتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَٱهۡجُرُوهُنَّ فِي ٱلۡمَضَاجِعِ وَٱضۡرِبُوهُنَّۖ فَإِنۡ أَطَعۡنَكُمۡ فَلَا تَبۡغُواْ عَلَيۡهِنَّ سَبِيلًاۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيّٗا كَبِيرٗا (٣٤ ) وَإِنۡ خِفۡتُمۡ شِقَاقَ بَيۡنِهِمَا فَٱبۡعَثُواْ حَكَمٗا مِّنۡ أَهۡلِهِۦ وَحَكَمٗا مِّنۡ أَهۡلِهَآ إِن يُرِيدَآ إِصۡلَٰحٗا يُوَفِّقِ ٱللَّهُ بَيۡنَهُمَآۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرٗا (٣٥ )

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.”

(Surah al-Nisa’: 34-35)

Imam Ibn Kathir menyatakan, nusyuz (النُّشُوزُ) itu bererti meninggi diri, dan wanita yang nusyuz itu adalah yang meninggi diri terhadap suaminya, meninggalkan perintahnya, menjauhi dan membencinya.

Jika tanda-tanda nusyuz ini muncul, maka nasihatilah si isteri dan takutkanlah dia dengan hukuman Allah SWT atas kemaksiatannya. Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan hak-hak suami ke atas isteri, serta ketaatan kepadanya, dan Allah SWT mengharamkan berbuat derhaka kepada suami kerana apa yang Allah SWT telah anugerahkan kepadanya berupa keutamaan dan kemuliaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/257)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sekiranya si suami redha atas perbuatan si isteri untuk tidur berasingan, maka hukumnya adalah harus. Namun, sekiranya si isteri meninggalkan si suami di tempat tidur tanpa redha si suami, maka hukumnya berdosa. Hal ini sebagaimana satu hadith, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah ﷺ bersabda:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَلَمْ تَأْتِهِ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ

Maksudnya: “Apabila suami mengajak isteri untuk tidur bersama-sama, kemudian isteri tidak mahu datang dan suaminya tidur dalam keadaan marah, maka malaikat melaknati isterinya sehingga ke pagi.”

Riwayat Muslim (1436)

Justeru itu, dalam isu ini ia bergantung dengan redha di antara suami dan isteri. Terutamanya pada hari ini pelbagai faktor yang membawa ke arah sedemikian seperti perhubungan jarak jauh (pjj), penyakit berjangkit dan sebagainya.

Namun, sekiranya si isteri berpisah tempat tidur kerana mahu menolak untuk bersama suami dalam keadaan dia mampu dan tiada halangan yang memudarat seperti penyakit. Perbuatan ini merupakan salah satu perkara yang boleh menjatuhkan wanita ke dalam kancah nusyuz, dan isteri yang nusyuz itulah yang dilaknat oleh malaikat.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Wallahu a’lam.