Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kereta dirasakan kena sedikit najis anjing dah dua minggu dan najis tersebut telah tiada. Bila dah hantar basuh di car wash baru teringat belum di sanak. Adakah najis tersebut berpindah keseluruhan badan kenderaan dan perlu disamak keseluruhan kenderaan tersebut. Mohon pencerahan Dato.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Menurut mazhab Syafi‘i, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘i, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Manakala al-Zuhri, Malik dan Daud pula berpendapat, anjing adalah suci kerana diwajibkan untuk membasuh bekas yang dijilat oleh anjing disebabkan oleh ta‘abbudi — yakni semata-mata mematuhi perintah Allah. Dinukilkan mengenai pendapat ini daripada al-Hasan al-Basri dan ‘Urwah bin al-Zubair. Mereka berhujah dengan firman Allah SWT:
فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: “Oleh itu makanlah daripada apa yang mereka tangkap untuk kamu.”
(Surah al-Ma’idah: 4)
Hal ini kerana dalam ayat di atas, tidak disebutkan untuk membasuh tempat yang disentuh atau dipegang oleh anjing terlatih itu ketika menangkapnya. Begitu juga berdasarkan riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:
كَانَتِ الكِلاَبُ تَبُولُ، وَتُقْبِلُ وَتُدْبِرُ فِي المَسْجِدِ، فِي زَمَانِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمْ يَكُونُوا يَرُشُّونَ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ
Maksudnya: “Pada zaman Rasulullah SAW, anjing-anjing kencing dan keluar masuk ke dalam masjid. Tetapi mereka (para sahabat) tidak merenjis (membasuh) apa-apa pun (pada tempat itu).”
Riwayat al-Bukhari (174)
Manakala ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berhujah bahawa anjing keseluruhannya adalah najis berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasululullah SAW bersabda:
إذا ولَغَ الكَلبُ في إناءِ أحدِكُم فلْيُرِقْهُ ثم ليَغسِلْهُ سَبعَ مَرّاتٍ
Maksudnya: “Apabila anjing meminum pada bekas salah seorang daripada kamu, maka tuanglah (yakni buang) air itu. Kemudian, basuhlah ia (bekas) sebanyak tujuh kali.”
Riwayat al-Nasa’i (66)
Hadith ini jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing itu. Dalam erti kata lain, jika ia bukan dianggap sebagai najis, sudah tentu tidak diperintahkan untuk menuangnya — yakni membuang baki air daripada sisa minum anjing — kerana perbuatan tersebut termasuk dalam merosakkan harta benda dan kita dilarang daripada mensia-siakan (membazir) harta. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567-568).
Selain daripada itu, kenajisan anjing juga dikategorikan sebagai najis mughallazah — yakni najis jenis yang berat. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat ialah ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya dengan air tanah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40).
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sekiranya ain najis anjing itu sendiri sudah hilang (warna, bau, rasa), sedangkan badan kereta anda telah dicuci seperti car wash dan seumpamanya, maka cukup anda samak bahagian yang anda lihat terdapat najis sebelum itu.
Namun, berbeza dengan tayar kereta. Sekiranya anda terlupa untuk samak, tetapi tayar tersebut telah melalui tanah atau seumpamanya, maka ia dikira suci kerana mengambil kira faktor panas matahari, hujan, angin, tanah dan seumpamanya, secara tidak langsung, turut membantu dalam menghilangkannya.
Firman Allah SWT:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya: “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”
(Surah al-Baqarah: 185)
Akan tetapi, sekiranya jelas anjing tersebut kencing atau membuang tahi di tayar kereta anda, maka wajib untuk anda samak, namun sekiranya terlupa maka ianya dimaafkan.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Wallahu a‘lam