#6124: Pembahagian Sifat Rahmat Allah SWT

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Mohon penjelasan Dato’,  apakah maksud memasuki syurga dengan rahmat Allah, dan apakah benar rahmat Allah terbahagi kepada dua, iaitu rahmat umum (untuk semua makhluk)dan rahmat khusus (untuk umat Islam)? Harap berikan pencerahan pada diri yang hina ini. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Rahmah adalah memberi maksud kasih sayang daripada Allah SWT serta kurniaan ihsan kepada hamba-Nya. Allah SWT sendiri menamakannya dengan nama Rahman dan rahim sebagaimana dalam surah al-Fatihah ayat 1:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Maksudnya: “Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.”

Perkataan al-Rahman (الرَّحْمَٰنِ) dan al-Rahim (الرَّحِيمِ), kedua-duanya musytaq daripada kalimah al-rahim (الرَّحِمُ) iaitu tempat kandungan bayi. Betapa kasih sayang Allah kepada kita dan makhluk-Nya bermula dengan keadaan yang naif dan dha’if yang hanya bergantung harap kepada Allah, akhirnya membesar menjadi makhluk yang sempurna dengan sifatnya. Alangkah baiknya mereka taat dan patuh kepada perintah Allah yang menciptakannya.

Sayyid Qutb berkata: Allah SWT sifatkan diri-Nya di permulaan dengan sifat-sifat al-Rahman (الرَّحْمَٰنِ) “Maha Penyayang” dan al-Rahim (الرَّحِيمِ) “Maha Pengasih” iaitu dua sifat yang mencakup segala pengertian, kasih sayang dan kasihan belas dan segala keadaannya. Hanya pada Allah SWT sahaja terkumpul dua sifat ini. Begitu juga hanya Allah sahaja yang wajar disifatkan dengan al-Rahman (الرَّحْمَٰنِ) “Maha Penyayang.” Mana-mana hamba Allah boleh disifatkan dengan sifat al-Rahim (الرَّحِيمِ), tetapi tidak boleh disifatkan dengan sifat al-Rahman (الرَّحْمَٰنِ) dari segi kepercayaan dan lebih tidak wajar lagi dikembarkan kedua-dua sifat itu padanya.

Walaupun terdapat perselisihan pendapat tentang pengertian dua sifat ini, iaitu manakah di antara kedua-duanya yang mempunyai pengertian kasih sayang dan kasihan belas yang lebih luas, namun perselisihan itu bukanlah dari perbahasan yang kita hendak bicarakan dengan terperinci dalam Tafsir Fi Zilal ini, malah kita hanya membuat kesimpulan sahaja dari perbahasan itu bahawa kedua-dua sifat al-Rahman (الرَّحْمَٰنِ) dan al-Rahim (الرَّحِيمِ) adalah meliputi segala pengertian kasih sayang dan kasihan belas juga meliputi segala keadaan dan bidangnya.

Jika memulakan sesuatu dengan nama Allah yang mengandungi maksud mentauhidkan Allah dan beradab sopan dengan-Nya itu merupakan dasar pokok dalam kefahaman Islam, maka pencakupan segala pengertian kasih sayang dan kasihan belas dengan segala keadaan dan bidangnya dalam dua sifat al-Rahman (الرَّحْمَٰنِ) dan al-Rahim (الرَّحِيمِ) itu merupakan dasar yang kedua di dalam kefahaman ini dan ia juga menggariskan hakikat hubungan yang wujud di antara Allah dengan para hamba-Nya. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 1/22)

Dalam menajawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini para ulama ada yang membahagikan rahmat Allah SWT kepada dua bahagian iaitu rahmat secara umum dan rahmat secara khusus . Yang demikian sebagaimana yang disebutkan dalam Mukhtasar al-Asilah wa al-Ajwibah al-Usuliyyah  ‘ala al- ‘Aqidah al-Wasatiyyah (Hlm.52). Kami perincikan sebagaimana berikut:

Pertama : Rahmat Umum

Bahagian ini adalah bahagian yang meliputi orang Islam dan orang kafir, orang yang baik dan orang yang jahat, haiwan dan semua makhluk. Allah SWT berfirman:

وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ

Maksudnya: “Dan rahmat-Ku meliputi tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-A‘raf: 156)

Fakhruddin al-Razi menyebutkan bahawa ayat di atas bermaksud rahmat Allah itu umumnya adalah kepada semua semasa di dunia. Manakala di akhirat kelak ia adalah dikhususkan hanya untuk orang yang beriman. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/379)

Begitu juga firman Allah SWT:

رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَىْءٍۢ رَّحْمَةًۭ وَعِلْمًۭا

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Rahmat dan ilmu-Mu meliputi segala sesuatu..”

(Surah Ghafir: 7)

Syeikh al-Sa‘di ketika ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Ilmumu telah meliputi segala sesuatu, tiada sesuatu pun yang tersembunyi daripadamu, tidak hilang dari ilmumu seberat zarah di bumi atau di langit, tidak juga yang lebih kecil dari itu atau yang lebih besar. Rahmatmu meliputi segala sesuatu, maka seluruh alam atas dan bawahnya telah dipenuhi oleh rahmat Allah SWT dan meliputi mereka. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.732)

Berdasarkan nas-nas di atas jelaslah kepada kita bahawa rahamat Allah itu sangat  luas dan ia meliputi setiap makhluk sama ada seberat zarah di bumi atau di langit, ataupun yang lebih kecil atau lebih besar dari itu. Maka, segala rezeki dan kesihatan yang sampai kepada makhluk adalah daripada rahmat-Nya. Ini menunjukkan betapa besarnya kasih sayang dan keagungan Allah dalam menjaga serta memberikan kebaikan kepada semua ciptaan-Nya.

Kedua: Rahmat Khusus

Bahagian ini adalah Rahmat Allah SWT khusus nabi-nabi-Nya, rasul-rasul-Nya, wali-wali-Nya, dan hamba-hamba-Nya yang beriman. Allah SWT berfirman:

وَكَانَ بِالْمُؤْمِنِينَ رَحِيمًا

Maksudnya:dan adalah Ia sentiasa Melimpah-limpah rahmatNya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di akhirat).”

(Surah al-Ahzab:43)

Abu Bakar al-Jazairi menyatakan bahawa: Sesungguhnya Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman umumnya, maka Dia tidak akan menyiksakan mereka dan tidak akan menyusahkan mereka.

Kemudian Allah SWT berfirman:

تَحِيَّتُهُمْ يَوْمَ يَلْقَوْنَهُ سَلَامٌ

Maksudnya: “Sambutan penghormatan yang akan diberi Tuhan kepada mereka semasa menemuiNya ialah ucapan “Salam” (selamat sejahtera)”

(Surah al-Ahzab:44)

Ucapan kepada mereka pada hari kiamat di Dar al-Salam adalah ucapan Salam. Para malaikat masuk kepada mereka dari setiap pintu, (dengan mengucapkan): ‘سَلَامٌ عَلَيْكُم.’ iaitu sejahtera bagi kamu yang tidak ada lagi ketakutan dan kedukaan. (Lihat Aisar al-Tafasir, 4/276 )

Allah juga berfirman:

 إِنَّهُ بِهِمْ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “sesungguhnya Allah Amat belas, lagi Maha Mengasihani terhadap mereka.”

(Surah al-Taubah: )

Fakhruddin al-Razi menyebutkan bahawa: keduanya adalah sifat bagi Allah Yang Maha Tinggi, dan maknanya dekat, dan ia mirip dengan kasih sayang berupa daya dalam menghilangkan kemudaratan. Rahmat pula  adalah upaya untuk memberikan manfaat. Dikatakan: Salah satu daripada keduanya adalah  untuk kasih sayang dan belas kasihan terhadap perkara  yang lalu, dan yang lain pula  untuk kemudian hari. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 16/163)

Ayat-ayat yang telah disebutkan sebelumnya menunjukkan kepada kita bahawa Allah SWT sangat mencintai dan merahmati hamba-hamba-Nya yang beriman dan soleh, disebabkan keimanan dan ketaatan mereka kepada-Nya. Allah SWT menjanjikan syurga bagi mereka dan melindungi mereka dari azab di akhirat. Ini menunjukkan betapa agungnya kasih sayang Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya yang soleh.

Justeru, berdasarkan perbincangan yang telah kita lakukan, kita dapat melihat dengan jelas bahawa Rahmat Allah SWT amatlah luas dan merangkumi setiap makhluk-Nya. Dengan ini, marilah kita bersama-sama berdoa dan meminta agar Allah SWT sentiasa melimpahi kita dengan rahmat dan kasih sayang-Nya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

(Surah al-Kahfi: 10)

Wallahua‘lam